Inilah Essential Home – Speaker Pintar Dengan Skrin Bulat Essential Yang Tidak Dilancarkan

Diterbitkan pada Apr 8, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Lima tahun lalu, Essential ada mengumumkan Essential Home iaitu pembesar suara pintar tersendiri mereka. Produk ini kelihatan unik kerana hadir dengan skrin berbentuk bulat, menjalankan Ambient OS, boleh dikawal dengan pembantu digital, dan boleh dikatakan adalah pesaing kepada Google Home (kini Nest) dan Amazon Echo.

Namun produk ini tidak berjaya dilancarkan dan terus terkubur begitu sahaja. Baru-baru ini, sebuah prototaip yang didakwa adalah untuk Essential Home telah disenaraikan di eBay pada harga $900 iaitu sekitar RM3800.

Rekaan peranti ini kelihatan sama dengan imej pengolokan yang Essential kongsi beberapa tahun lalu. Logo Essential turut kelihatan ketika pembesar suara ini dihidupkan. Cuma perisian yang dijalankan dilihat adalah berasaskan Android 8.1.0 dengan versi sekuriti tahun 2018. Ia kelihatan hanyalah Android asli. Mungkin Ambient OS adalah tema atau pelancar untuk menjayakan projek ini.

Essential Home juga sepatutnya boleh dihidupkan skrinnya dengan satu sentuhan, tinjauan, atau juga arahan suara. Produk ini juga dikatakan ingin cuba menghentikan pelbagai standard dan piawaian peranti berhubung agar semua produk boleh disambungkan dan dikawal dengan satu kaedah sahaja.

Prototaip ini juga tidak pasti sejauh mana ia berfungsi, ketahanan dan bagaimana si penjual mendapatkannya.

Sumber: 9to5Google

komen


© Amanz / 2022 Kami