Carian
Versi Beta iOS 16 Dilaporkan Dipenuhi Kod-Kod Berkaitan Set Kepala Apple
April 11, 2022 Aman

Apple sedia mengumumkan tarikh acara WWDC pada bulan Jun 2022 ini, dimana ia akan menjadi acara pengenalan untuk sejumlah kemaskini perisian dan sistem operasi, termasuk pengenalan iOS 16.

Kini, laporan lanjutan hadir melalui Bloomberg, mengatakan melalui versi pembangunan beta untuk iOS 16 – ia dilihat dipenuhi dengan kod-kod berkaitan set kepala Apple, dan interaksinya bersama iPhone.

Sebelum ini, ia telah sedia diperkatakan Apple akan memperkenalkan set kepala khusus, yang bakal menjadi kategori produk baharu untuk Apple. Ia juga dijangka akan membawa setapak kehadapan bagaimana orang ramai berinteraksi dengan arena realiti terimbuh dan realiti maya hari ini.

Tarikh pelancaran set kepala Apple sedia menjadi tanda tanya sebelum ini. Namun, kini dengan kod awal yang memenuhi iOS 16, ia sekaligus memberikan petanda kita akan melihat set kepala berkenaan sebelum pengenalan iOS 17 pada Jun 2023 kelak.

Ini juga bermakna kita mungkin akan dapat melihat sedikit gambaran berkaitan set kepala Apple dalam tahun ini – atau berkemungkinan pada acara WWDC kelak.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan arena ini, dan bagaimana ia akan memberikan kesan terhadap arena metamesta yang turut hangat diperkatakan.

Komen