Thor terbang merentasi pelbagai dunia dengan melontar tukul mistik Mjolnir. Tukur diputarkan laju seperti helikopter sebelum momentumnya membuatkan Thor terbang. Tahun lalu SpinLaunch diperlihatkan sebagai sistem pelancaran satelit ke angkasa lepas dengan sistem seakan tukul besi ini dan kini ia akan diuji pula oleh NASA.

Kargo dari NASA akan diterbangkan dalam pelancaran ujian pada penghujung tahun ini menggunakan Pemacu Jisim Suborbital A-33 yang telah dibina oleh SpinLaunch. Kemudian data yang dikumpul akan dikongsi NASA dan SpinLaunch bagi membangunkan lagi sistem pelancaran yang lebih besar.
SpinLaunch menyasarkan ujian pelancaran ke orbit akan dilakukan menjelang 2025. A-33 kini mempunyai kebuk vakum berdiameter 300 kaki yang akan memecutkan kenderaan pengorbit hingga kelajuan melebihi 8000 km/j. Apabila kelajuan dicapai, kenderaan akan dilepaskan dari pemegang sebelum dilontar ke orbit menggunakan hanya kuasa putaran tanpa sebarang penggunaan enjin roket.