Bersama-sama pengenalan telefon pintar Vivo X Fold dan juga Vivo X Note, pihak Vivo turut mengambil peluang dalam memperkenalkan tablet pertama mereka secara rasminya, iaitu Vivo Pad.

Vivo Pad hadir dengan skrin 11-inci pada resolusi 2560×1600 pixel, dan menawarkan kadar segar semula 120hz. Ia dijana dengan cip Snapdragon 870, serta menawarkan bateri berkapasiti 8040mAh dengan pengecasan pantas 44W.

Vivo juga turut melakukan pengoptimasian khusus pada antaramuka mereka supaya ia lebih mesra tablet. Vivo memanggil antaramuka baharu ini sebagai Origin HD. Salah satu ciri yang disertakan adalah kemudahan multi-pengguna yang memudahkan anda berkongsi tablet dengan ahli keluarga lain.

Disamping itu, Vivo Pad turut menyertakan sokongan NFC – membolehkan anda sentuh telefon pintar, dan menghubungkan ia terus ke tablet berkenaan. Ruangan USB-C turut boleh dihubungkan dengan sejumlah aksesori untuk memudahkan tugasan.


Melengkapkan Vivo Pad juga adalah sokongan stylus berteknologi Wacom. Ini memudahkan pelbagai input dan lakaran menggunakan tablet berkenaan.

Buat masa ini, tablet ini hanya diumumkan untuk pasaran China sahaja. Kita mungkin akan dapat melihatnya di Malaysia tidak lama lagi. Vivo turut memasarkan ia bersama sebuah papan kekunci khusus untuk memudahkan ia digunakan sebagai komputer riba.