Kos Alat Ganti Samsung Akan 50% Lebih Rendah Dengan Pengenalan Program Kitar Semula

Diterbitkan pada Apr 13, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kos alat ganti peranti boleh merobekkan poket. Pada peranti Samsung misalnya kos menggantikan panel skrin boleh-lipat Galaxy Z Fold3 mencecah RM2060 yang adalah sekitar 30% harga jualan peranti. Tetapi kelak kos alat ganti akan menjadi lebih rendah kerana pengenalan program kitar semula oleh Samsung.

Menurut laporan Business Korea, kos menggantikan panel skrin misalnya akan berkurangan sehingga 50% kerana penggunaan komponen yang dikitar semula. Ini akan menguntungkan pengguna kerana alat ganti lebih murah dan mengurangkan impak ke atas alam sekitar kerana pengurangan pencemaran elektronik.

Program baharu ini dijangka akan diumumkan oleh Samsung pada separuh kedua 2022 akan datang. Hanya beberapa minggu lalu Samsung bekerjasama dengan iFixit bagi menawarkan kit alat ganti kepada pelanggan untuk membaiki sendiri peranti di rumah bagi mengurangkan kos.

Pada waktu ini Samsung telahpun menggunakan plastik yang dikitar semula pada komponen peranti seperti Galaxy S22 dan Tab S8. Jika program ini diperkenalkan kelak, ia akan mempercepatkan lagi usaha Samsung untuk menjadi syarikat yang lebih lestari.

komen


© Amanz / 2022 Kami