Carian
Program PerantiSiswa Mungkin Akan Dikembangkan Untuk Memberi Peranti Berkuasa Tinggi Kepada Pelajar Tertentu
April 14, 2022 Nazrin

Program PerantiSiswa diperkenalkan untuk memberi peranti tablet dengan spesifikasi umum untuk membantu dengan pembelajaran di institusi pengajian tinggi bagi mereka yang tidak mampu untuk mendapatkan peranti komputer ataupun komputer riba mereka sendiri.

Sewaktu acara pelancaran program tersebut pagi ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa turut mengumumkan bahawa di masa akan datang, program ini turut akan dilanjutkan untuk membolehkan para siswa B40 dalam fakulti-fakulti tertentu untuk mendapatkan peranti-peranti yang lebih berkuasa untuk tujuan pembelajaran tersebut.

Sebagai contoh, mereka yang melanjutkan pengajian dalam fakulti multimedia, kejuruteraan, IT dan pelbagai jurusan teknikal pastinya akan memerlukan peranti-peranti seperti komputer riba ataupun desktop yang lebih berkuasa untuk menggerakkan perisian-perisian profesional yang akan dipelajari dan digunakan didalam kuliah-kuliah mereka.

Beliau berkata bahawa selepas fasa pertama agihan peranti tablet PerantiSiswa dilakukan, pihak KKMM, Kementerian Pengajian Tinggi dan sebagainya akan melakukan bancian untuk melihat berapa ramaikah diantara siswa B40 yang memerlukan peranti-peranti seperti ini.

Beliau tidak menghuraikan mengenai bagaimanakah lanjutan kepada program ini akan diperkenalkan, tetapi kami jangkakan bahawa sekiranya ia berlaku, pihak K-KOMM akan membuat satu lagi pengumuman tambahan mengenainya di masa akan datang.

Komen