Touch ’n Go Mula Menjual Kad Generasi Baru Dengan Sokongan NFC (Dikemaskini)

Diterbitkan pada Apr 14, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .
Kemaskini : TNG dilihat telah menghentikan sementara jualan kad baharu ini. Mungkin menantikan pelancaran rasmi. Namun, masih terdapat beberapa penjual di Shopee dan Lazada menawarkannya – tetapi pada harga lebih tinggi.

Mungkin ramai sedia maklum yang mana Touch ’n Go kini dalam persiapan untuk memperkenalkan kad generasi baharu yang hadir dengan sokongan NFC – sekaligus membolehkan para pengguna melakukan tambah-nilai terus melalui Touch ’n Go eWallet.

Selari dengannya, kita sedia melihat halaman sokongan untuknya telah aktif, dan kini Touch ’n Go turut telah mula menjual kad generasi baharu ini kepada para pembeli. Kad ini dijual pada harga RM10 setiap satu.

Melalui semakan kami di Nu Sentral, hab Touch ’n Go telah mula menjual kad ini kepada pengguna yang mencari kad Touch ’n Go baharu. Semakan pada petang ini menyaksikan TNG telah menarik balik, dan tidak lagi menjual kad baharu ini kepada pengguna.

Menurut perkongsian jurujual di sana, ciri tambah-nilai secara NFC menggunakan aplikasi TNG eWallet dijangka mungkin hanya aktif sekitar bulan Mei kelak.

Dengan penjualan kad generasi baharu ini, TNG dilihat semakin menghampiri pelancaran ciri baharu ini. Daripada kad yang kami beli, ia memperlihatkan tarikh luput pada tahun 2029 – memperlihatkan kad berkenaan mampu bertahan selama 7 tahun lamanya daripada tarikh pembelian.

Melalui perkongsian di halaman sokongan sebelum ini, pengguna boleh menggunakan iPhone atau telefon Android dengan sokongan NFC untuk melakukan tambah-nilai pada kad. Anda hanya perlu melakukan pemilihan nilai kredit yang ingin ditambah, dan seterusnya menyentuh kad TNG generasi baharu ini pada bahagian NFC di telefon untuk tambah nilai. Langkah ini sekaligus akan memudahkan anda melakukan tambah-nilai tanpa perlu ke kiosk TNG.

komen


© Amanz / 2022 Kami