Apple Dilaporkan Akan Menggunakan Kamera Periskop Yang Sama Dengan Samsung Pada iPhone

Diterbitkan pada Apr 15, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apple dijangka akan akhirnya menggunakan kamera dengan sistem zum periskop bagi menawarkan zum optikal yang lebih tinggi. Terdapat pelbagai spekulasi mengenai sistem apakah yang akan digunakan oleh Apple kelak. Menurut laporan The Elec, Jahwa Electronics mengumumkan akan membelanjakan 191 bilion Won (~RM 658 juta) untuk membina fasiliti pengeluaran baharu. Apple melakukan lawatan ke kilang Jahwa tahun lalu dan pengumuman hari ini ialah petanda bahawa mereka akan menggunakan komponen yang dikeluarkan syarikat Korea ini.

Secara lazimnya Apple akan meminta pembekal membina fasiliti pengeluaran baharu apabila bersetuju menggunakan komponen yang dikeluarkan. Jahwa Electronics membekalkan aktuator sistem OIS untuk kamera periskop yang digunakan oleh peranti Samsung sebelum ini. Maka bolehlah disimpulkan iPhone kelak akan menggunakan sistem kamera periskop yang sama dengan Samsung.

Tahun lalu kami melaporkan Apple menghadapi masalah dengan penggunaan sistem kamera periskop kerana patennya dipegang oleh Samsung. Dengan penggunaan pengeluar yang sama, mungkin Apple bersetuju untuk melakukan pembayaran royalti bagi membenarkan sistem ini digunakan. Terdapat banyak peranti dengan sistem periskop di pasaran sekarang tetapi pada peranti Galaxy Ultra kami menyedari ia paling stabil walaupun pada tetapan zum 100x.

komen


© Amanz / 2022 Kami