Tidak dapat dinafikan, Vivo juga merupakan salah satu pengeluar yang sering mengetengahkan kebolehan kamera baik pada perantinya. Misalnya seperti siri Vivo X dan ia bakal dikemaskini dengan penawaran baharu tidak lama lagi. Dikenali sebagai Vivo X80, rekaannya telah didedahkan dengan bonggol kamera gergasi dan lensa keluaran Zeiss.

Seperti yang telah kami katakan dalam artikel sebelum ini, pendedahan seumpama itu jelas menunjukkan tarikh pelancaran turut bakal diumumkan dalam masa terdekat. Ternyata benar dan ia dijadualkan berlangsung pada 25 April 2022. Hal ini diperoleh menerusi perkongsian video promosi rasmi di Weibo, hari ini.

Tidak dapat dipastikan bilangan model yang bakal diumumkan. Namun, spekulasi awal mendakwa sekurang-kurangnya ia akan terdiri dengan tiga model berbeza. Ini termasuklah Vivo X80, Vivo X80 Pro dan Vivo X80 Pro. Seperti biasa, lebih banyak butiran berkaitan peranti bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi ini.