Carian
Pandang Pertama Huawei MatePad 10.4″ 2022 – Tablet Baharu Spesifikasi Lama
April 20, 2022 Effi Saharudin

Jualan tablet meningkat ketika pandemik kerana keperluan pembelajaran atas talian yang mencanak naik selari dengan jumlah kes harian Covid-19. Dengan semakin banyak negara sudah mula kembali ke kehidupan pra-pandemik, masih wujudkah permintaan untuk tablet?

Hari ini Huawei MatePad 10.4″ 2022 telah dilancarkan secara rasmi sebagai sebuah lagi tablet untuk keperluan bekerja lengkap dengan sokongan papan kekunci dan stylus. Adakah ia memenuhi keperluan semasa? Ini ialah pandang pertama kami untuk tablet produktiviti ini.


Spesifikasi Dan Rekaan

Huawei MatePad 10.4″ 2022
Skrin10.4″ IPS LCD, 2000 x 1200, 60Hz
PemprosesKirin 710A
Cip4 x Cortex-A73 2.0 GHz
4 x Cortex-A53 1.7 GHz
Cip GrafikMali G51
Sistem OperasiHarmony OS 2.0
RAM4GB
Storan Dalaman128GB (MicroSD 512TB)
Kamera Utama13 Megapixel f/1.8
Kamera Swafoto8 Megapixel f/2.0
Bateri7250 mAh
Pengecasan berwayar 18W
SIM/Telefoninano/4G
Pembesar Suara4 Harman Kardon
Bicu AudioTiada
Sistem ImbasanImbasan Wajah, Kamera
Harga JualanRM1599

Skrin masih lagi LCD tetapi dengan saiz 10.4″ bernisbah 16:9 adalah cukup besar untuk menjadikannya selesa digunakan dengan sebelah tangan tetapi pada waktu yang sama memudahkan ia turut digunakan untuk kerja. Dari pengalaman peribadi tablet dengan saiz lebih kecil memang selesa untuk menonton video tetapi sedikit kurang selesa untuk menulis artikel kerana ruang yang kecil. Sebagai insan yang sudah berusia lebih 40 tahun, teks di skrin kini sukar untuk dilihat pada paparan bawah 10-inci.

Memang penggunaan skrin LCD sedikit mengecewakan kerana kami sudah biasa dengan skrin OLED yang jauh lebih tajam, terang dan baik. Penggunaan kadar segar semula 60Hz juga kurang memuaskan tetapi serasi dengan status MatePad 10.4″ 2022 yang merupakan sebuah tablet kelas pertengahan.

Saiz bezel agak besar tetapi boleh dimaafkan kerana pada tablet ia perlu untuk memudahkan tablet dipegang pada pelbagai orientasi. Bahagian bingkai diperbuat daripada logam dengan sisi yang dibulatkan. Butang kuasa dan suara diperbuat daripada loga tetapi masih selesa apabila ditekan serta teguh buatannya. Tiada isu dari segi keselesaan apabila menggunakan tablet ini.

Peranti turut menggunakan cip Kirin 710a yang sudah berusia hampir dua tahun dan sebenarnya berasaskan Kirin 710 yang sudah berusia hampir empat tahun. Lebih tragis Kirin 710a adalah cip 14nm berbanding Kirin 710 yang adalah cip 12nm. Dari segi prestasi ia tidak akan membuatkan anda kagum kerana dipadankan pula dengan memori hanya sekadar 4GB. Di tahun 2022 peranti dengan memori sebesar ini adalah tidak mencukupi.

Terdapat juga empat pembesar suara yang ditala oleh Harman Kardon serta sokongan sistem audio Huawei Histen. Audio yang dikeluarkan lantang dan jelas walaupun pada tetapan paling tinggi. Yang tiada ialah bicu audio 3.5mm. Sedikit mengecewakan kerana tablet pada saiz ini mempunyai ruang mencukupi untuk meletakkannya. Tetapi apa yang boleh dibuat kerana ketiadaan bicu audio kini sudah menjadi norma baharu pada pelbagai peranti elektronik pintar.

Panel belakang juga diperbuat daripada bahan logam dengan kemasan pudar. Baik untuk mengelakkan kotoran melekat mudah dan menjadikan permukaan terasa kasar tetapi tiada risiko peranti terlepas dengan mudah dari tangan. Bonggol untuk kamera utama 13MP juga tidak begitu ekstrem.

Sebenarnya rekaan tablet ini tiada yang menakjubkan ataupun mengecewakan. Amat mirip dengan tablet-tablet MatePad lain pernah dikeluarkan oleh Huawei. Jika rekaan lama mendapat sambutan yang baik tanpa komen negatif, tidak perlu banyak perubahan mendadak perlu dilakukan.

Pengalaman Penggunaan

Sistem operasi HarmonyOS 2.0 yang digunakan adalah sama dengan yang kami lihat pada MatePad Pro sebelum ini. Antaramukanya lebih ke arah tablet berbanding yang ditemukan pada P50 Pro. Terdapat talam di bahagian bawah untuk aplikasi yang paling kerap digunakan dan juga yang telah dibuka sebelum ini.

Ia mengingatkan kami kepada dermaga yang digunakan pada macOS Big Sur dan iPadOS. Sehingga empat aplikasi yang dibuka boleh dipaparkan pada dermaga ini untuk membukanya dengan pantas tanpa perlu mengakses skrin multi-tugas. Terdapat ciri untuk melancarkan aplikasi dalam tetingkap kecil atau dua aplikasi serentak menggunakan cir Multi Windows.

Sedikit aneh skrin multi tugas memaparkan aplikasi yang dibuka secara mendatar dan bukan lagi grid seperti pada MatePad Pro. Mengapa ini diubah adalah misteri bagi kami kerana antaramuka grid adalah lebih mesra pengguna kerana memaparkan lebih banyak aplikasi serentak.

Talam notifikasi dibuka dengan menatal bucu atas kiri dan talam tetapan pula dengan menarik dari bucu atas kanan. Dengan dua talam berbeza, pengguna dapat membaca notifikasi dengan lebih pantas tanpa perlu melihat talam pintas yang mempunyai pelbagai butang yang boleh mengelirukan. Pelbagai tetapan untuk Huawei Share, Multi Screen Collaboration, WiFi, bluetooth dan Hotspot boleh diakses menerusi talam pintasan ini.

HarmonyOS juga meminjam beberapa elemen dari Android 11 dengan memperkenalkan ciri kawalan setempat pelbagai peranti pintar, aksesori dan peranti berhubung yang dimiliki. Aksesori seperti fon telinga dan stylus M Pencil akan dapat dilihat terus dari talan pintasan pantas. Kami tidak mempunyai lebih dari satu peranti HarmonyOS pada waktu ini tetapi demo Multi Screen Collaboration ketika pelancaran menunjukkan bagaimana proses menggunakan MatePad sebagai skrin sekunder kepada komputer Windows 11 dan memaparkan skrin P50 Pro dalam MatePad telah diperlihatkan. Ciri yang amat berguna bagi mereka yang mempunyai lebih daripada satu peranti Huawei di rumah.

Kami menyedari apabila aplikasi tidak ditawarkan di App Gallery, pautan terus ke Petal Search kini diberikan. Dahulu jika aplikasi tidak dijumpai (seperti Netflix, Twiter dan Spotify) kami perlu keluar dari App Gallery sebelum sekali lagi melakukan carian dari Petal Search. Sesuai dengan nama HarmonyOS, App Gallery dan Petal Search kini berharmoni untuk memudahkan pengguna.

Keharmonian diteruskan dengan aplikasi yang dahulunya tidak berfungsi dengan baik atau dihalang kini boleh digunakan dengan lebih baik. Kejutan pertama ialah Netflix boleh digunakan pada HarmonyOS walaupun APK sistem operasi Android dimuat turun dari Petal Search. Semua video boleh dimainkan dan lengkap dengan sokongan Google Chromecast.

Ini adalah perkara yang cukup tidak kami sangka kerana sebelum ini ciri Cast milik Google ini dihalang sama sekali. Seperkara lagi penstriman di Netflix terhad kepada SD sahaja kerana tiadanya sokongan DRM Widevine L1 yang diperlukan. Turut hilang ialah sokongan HDR. Pada waktu ini kami bergembira aplikasi boleh digunakan dan tidak peduli jika sokongan penuh tidak boleh diaktifkan.

Masih ada beberapa kekurangan iaitu aplikasi Google yang memerlukan GMS masih tidak boleh digunakan langsung. Ini tidak dapat dielakkan selagi Amerika Syarikat enggan menarik sekatan ekonomi ke atas Huawei yang kini memasuki tahun ketiga.

Seperti dalam ulasan Huawei P50 Pro sebelum ini, Huawei Mobile Services kini sudah semakin baik dengan pelbagai aplikasi alternatif berfungsi dengan baik. Perasaan terseksa kerana tiada sokongan aplikasi tidak lagi berulang dan sebenarnya semakin baik tahun demi tahun.

Stylus M-Pencil

M-Pencil generasi baharu boleh digunakan pada skrin tablet ini. Ia hadir dengan kemampuan mengesah 4096 tahap tekanan sama seperti pada peranti Samsung dan Apple. Yang berbeza ialah cara stylus ditambat kepada peranti. Tiada kawasan khas untuk M Pencil disambung ke sisi tablet. Sebaliknya kali pertama tambatan dilakukan ia adalah dengan kabel pengecas bermagnet khas. Ini juga cara M Pencil perlu dicas setiap masa.

Bukanlah penyelesaian dan penggunaan stylus yang paling mesra pengguna pernah kami lihat. Maaf tetapi kami tidak mahu membawa kabel tambahan apabila melakukan tugasan luar. Kami sudah dimanjakan dengan pengalaman M Pencil yang lebih baik pada MatePad Pro sebelum ini. Jadi pengalaman M Pencil kali ini satu langkah di belakang dari segi kesenangan. Berita baik ialah M Pencil boleh disambungkan ke belakang papan kekunci yang diberikan dengan setiap pembelian.

Sungguhpun begitu M Pencil adalah responsif apabila digunakan untuk menulis dan melakar pada skrin. Sebalik stylus lain di pasaran. Terdapat ciri pintasan pantas pada bucu atas kanan yang mempercepatkan akses kepada melakukan tangkapan layar dan anotasi. Sementara ciri Freescript pula mengubah tulisan tangan kepada teks bertaip di skrin.

Papan Kekunci

Pujian yang menggunung tidak boleh kami berikan kepada papan kekunci fizikal merangkap kerangka yang diberikan. Ia diperbuat daripada bahan plastik keran dengan tekstur seakan kulit. Sungguh tidak premium dan tidak serasi dengan kemasan tablet yang jauh lebih baik. Tambahan kepada peranti juga menggunakan bluetooth. Terdapat buang kuasa pada sisi kanan dengan port pengecasan bateri papan kekunci USB-C.

Agak canggung kembali ke sistem tambatan bluetooth dan pengecasan semula menggunakan USB-C. Sekali lagi kami telah dimanjakan dengan pengalaman pada MatePad Pro yang lebih premium dan mesra pengguna. Kedudukan sudut pemandangan tablet hanya ada satu sahaja yang pada hemat kami masih terlalu menegak. Ia hanya selesa digunakan jika tablet diletakkan di atas permukaan meja. Panel plastik papan kekunci tidak begitu teguh dan jika tablet ingin digunakan untuk menaip ketika berbaring misalnya, ia akan melentur.

Bagaimana pula dengan kekuncinya? Ianya selesa digunakan dengan rekaan chicklet. Pergerakan menegak apabila menekan papan kekunci juga selesa tetapi harus kami akui kurang selesa memandangkan saiz papan kekunci yang agak kecil. Tetapi kami adil kepada Huawei kerana kami juga tidak selesa menggunakan papan kekunci iPad Air terkini memandangkan ia bersaiz terlalu kecil. Tangan terasa terhimpit sehingga membuatkan pergelangan tangan sakit. Bagi mereka yang sudah biasa dengan peranti kecil ini mungkin tidak mendatangkan isu yang besar.

Kesimpulan

Huawei MatePad 10.4″ 2022 akan mula dijual pada harga RM1599 di Malaysia bermula 22 April ini. Sedikit sukar untuk menyarankan pembeliannya tahun ini kerana penggunaan cip Kirin 710a yang sudah agak berusia dan aksesori yang kurang memuaskan. Ini mungkin tablet yang paling mengecewakan kami cuba tahun ini kerana ianya mempunyai serba serbi kekurangan. Jika anda mencari tablet HarmonyOS, terdapat pilihan lain yang lebih baik. Maaf Huawei tetapi MatePad 10.4″ 2022 tidak boleh kami katakan “Best wei”

Pro

  • Skrin besar dengan resolusi 2K
  • Rekaan yang baik dengan kemasan yang tegap.
  • Sokongan M Pencil yang baik dan lancar.
  • Saiz bateri yang agak besar.
  • Antaramuka HarmonyOS 2.0 yang khusus untuk tablet.
  • Kuad speaker yang lantang.

Kontra

  • Cip Kirin 710a ialah cip yang sudah berusia hampir dia tahun berasaskan cip berusia empat tahun.
  • 4GB RAM terlalu kecil untuk sebuah tablet.
  • Aksesori papan kekunci yang mengecewakan.
  • Harga kurang kompetitif.
  • Skrin LCD sudah menunjukkan usianya.
Komen