Carian
Realme Pad Mini Kini Di Pasaran Malaysia – Tablet Unisoc Yang Berharga RM699
April 20, 2022 Fahim Zahar

Realme Pad Mini pada awal April telah pun dilancarkan di Filipina. Kini selepas beberapa minggu, Realme Malaysia telah bersedia membawa masuk tablet kompak dengan cip Unisoc mereka ini untuk dijual ke pasaran tempatan.

Tablet ini hadir dengan skrin LCD bersaiz 8.7-inci, beresolusi 1340 x 800 WUXGA+. Ia dijana dengan cip pemprosesan Unisoc T616 dengan GPU Mali-G57 dan dipadankan dengan memori sehingga 4GB RAM. Untuk storan dalaman, ia boleh didapatkan pada saiz sehingga 64GB dengan ruangan kad mikroSD sehingga 1TB. Tablet ini menggunakan cip sama dengan telefon pintar kelas asas mereka sebelum ini, Realme C35.

Kamera yang diletakkan pada tablet mini ini adalah satu lensa di belakang dengan sensor 8MP HD dan kamera swafoto 5MP HD. Realme Pad Mini turut hadir dengan speaker stereo yang diiktiraf Dirac. untuk bateri pula, Realme menggunakan bateri berkapasiti 6400mAh dengan pengecasan asas 18W. Tablet ini turut boleh digunakan sebagai power bank untuk mengecas peranti lain.

Realme Pad Mini ini menjalankan Realme UI for Pad berdasarkan Android 11. Ia adalah sebuah tablet asas yang sesuai untuk pembelajaran asas dan hiburan yang anda boleh dapatkan pada harga RM699 untuk 3/32 GB WiFi, RM749 untuk 3/32 GB LTE dan RM799 untuk 4/64 GB LTE. Realme memberi dua pilihan warna, iaitu kelabu atau biru.

Jualan akan bermula pada 25 April akan datang. Bersempena dengannya, model 3/32 GB kedua-dua WiFi dan LTE akan ditawarkan pada harga RM599 dan RM699.

Komen