Bersempena dengan pelancaran rasmi langganan PC Game Pass untuk pasaran Malaysia, saya berkesempatan untuk menemu-bual Jeremy Hinton, Pengarah dan Ketua Bisnes Xbox Asia baru-baru ini untuk bercakap mengenai penawaran terbaru dari Microsoft ini.

Sejak konsol Xbox yang pertama dilancarkan 20 tahun dahulu pada 2002, gamer-gamer di Malaysia telah bersorak dan mahukan ia ditawarkan secara rasmi di negara ini. Anehnya, walaupun Microsoft sudah bertapak di Malaysia untuk beberapa dekad dengan penawaran untuk mungkin 80-90 peratus penawaran produk mereka di negara ini, kehadiran rasmi konsol Microsoft Xbox dan perkhidmatan Xbox Live masih lagi belum ditawarkan untuk pasaran ini.
Beberapa minggu yang lalu, Microsoft dilihat telah mula menguji langganan PC Game Pass mereka di lima negara di rantau Asia Tenggara, termasuklah Malaysia. Sewaktu fasa ujian tersebut, Microsoft Malaysia memperlihatkan penawaran langganan bulan pertama berharga 50 sen, dimana langganan bulan-bulan seterusnya adalah RM15.

Pada minggu lepas, penawaran langganan PC Game Pass diperkenalkan secara rasmi yang menawarkan langganan RM5 untuk tiga bulan pertama sekaligus dan juga RM15 untuk bulan-bulan seterusnya. Microsoft kini dilihat menawarkan lebih 100 permainan komputer daripada studio-studio mereka dan juga syarikat-syarikat penerbitan lain.
Langganan PC Game Pass ini dapat dilihat sangat berbaloi kerana ia disertakan bersama-sama dengan langganan EA Play secara percuma juga yang membolehkan anda memainkan sejumlah besar permainan-permainan komputer yang dikeluarkan mereka secara percuma.
Tetapi berbalik kepada temu-bual bersama Jeremy Hinton, kami menanyakan kepada beliau apakah yang mendorong Microsoft untuk akhirnya menawarkan langganan ini untuk rantau ini, beliau mengatakan bahawa permintaan banyak untuk langganan PC Game Pass, bersama-sama dengan pasaran PC gaming yang sangat besar merupakan dua aspek utama mengapa ia akhirnya ditawarkan di pasaran ini.
Apabila ditanya mengenai harga yang ditetapkan untuk langganan PC Game Pass di Malaysia, Jeremy Hinton mengatakan bahawa harga untuk langganan-langganan mereka, termasuklah Office 365, Xbox Game Pass, PC Game Pass dan sebagainya ditetapkan dari rantau ke rantau dan tidak hanya mengikut pertukaran harga matawang USD untuk memastikan orang ramai dapat menikmati permainan-permainan komputer yang ditawarkan pada harga berpatutan.

Asia Tenggara secara teknikalnya ialah diantara pasaran terbesar di dunia untuk pasaran permainan mudah-alih (permua) dan apabila ditanya mengenai pelan Microsoft untuk platform permua, sistem operasi Windows 11 hadir dengan sokongan untuk aplikasi Android terbina.
Ia tidaklah mengejutkan sekiranya Amazon Appstore yang merumahkan aplikasi-aplikasi Android setakat ini akan juga hadir dengan sejumlah permua yang boleh dimainkan melalui komputer-komputer dengan sistem operasi Windows 11.
Tetapi soalan yang masih tidak terjawab sehingga kini ialah bilakah konsol permainan Xbox akan ditawarkan secara rasmi di Malaysia. Seperti yang kami katakan di beberapa perenggan awal, konsol tersebut yang diperkenalkan sejak tahun 2002 dan sehingga kini, ia masih belum dijual secara rasmi di pasaran tempatan.
Secara teknikalnya, ia boleh dibeli di kedai-kedai permainan video di sekitar Malaysia, malah cakera permainan fizikal Xbox juga boleh didapati dengan mudah, tetapi tanpa pengesahan rasmi oleh Microsoft, sebarang waranti adalah terhad kepada kedai yang dijual sahaja, dan perkhidmatan langganan seperti Xbox Game Pass hanya boleh dilanggani menggunakan perkhidmatan VPN.

Buat masa ini, Jeremy tidak boleh memberikan kata putus tentang sekiranya Microsoft akan memperkenalkan sokongan rasmi untuk konsol permainan video mereka dan juga langganan Xbox Game Pass yang disertakan bersama perkhidmatan penstriman permainan Xbox Cloud Gaming yang kami juga pasti sangat ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak mempunyai komputer berkuasa untuk menggerakkan sejumlah permainan-permainan yang ditawarkan melalui PC Game Pass.
Bercakap mengenai Xbox Cloud Gaming, Jeremy Hinton mengatakan juga bahawa penawaran Xbox Game Pass Ultimate terhad kepada pasaran-pasaran tertentu khususnya kerana Xbox Cloud Gaming memerlukan infrastruktur tertentu yang perlu dibangunkan oleh Microsoft untuk menjanjikan pengalaman gaming yang baik.
Xbox Cloud Gaming boleh menstrim semua permainan-permainan yang ditawarkan pada resolusi Full HD dan kadar segar semula 60FPS, dan walaupun ini tidak begitu memerlukan kelajuan internet yang tinggi (10Mbps melalui aplikasi, 20Mbps melalui komputer), masa pendam (latency) merupakan isu yang lebih sukar kerana ia akan memberi kesan kepada input dan juga output pemain apabila mereka memainkan permainan secara penstriman.
Aspek-aspek seperti ini dilihat memberi impak kepada mengapa Microsoft masih lagi belum sedia menawarkan langganan Xbox Game Pass, khususnya Ultimate kepada pasaran ini buat masa ini.

Tetapi Jeremy turut mengatakan bahawa ia tidak mustahil bahawa langganan Xbox Game Pass boleh ditawarkan di Malaysia di masa akan datang apabila infrastruktur semakin sesuai untuk memperkenalkan perkhidmatan tersebut dan mungkin juga konsol Xbox di Malaysia secara rasmi.
Bagi kami, ini adalah langkah pertama yang baik dari Microsoft khususnya kerana mereka akhirnya sedar bahawa ada permintaan di negara-negara selain daripada lokasi-lokasi dunia pertama seperti Amerika, Eropah, Australia, bahkan Singapura.

Penawaran PC Game Pass yang dilihat sangat mampu milik juga merupakan sesuatu yang sangat bagus kerana ia bermakna lebih ramai orang boleh mencuba pelbagai jenis permainan komputer tanpa perlu membelinya, dan sekiranya permainan tersebut tidak kena dengan jiwa, pelanggan hanya perlu memadam permainan tersebut dan mencuba permainan yang lain.
Menariknya, Microsoft kini juga dilihat sedang membeli pelbagai studio permainan video, yang mana terbesar darinya ialah Activision-Blizzard. Pengambil-alihan ini dilihat akan mengubah bagaimana perkhidmatan langganan permainan boleh ditawarkan kepada pengguna, khususnya untuk permainan yang memerlukan langganan tambahan seperti World of Warcraft.
Untuk masa ini, fokus gaming Microsoft untuk rantau ini adalah untuk memastikan PC Game Pass dapat dinikmati oleh seramai yang mungkin. Ia dilihat bahawa Microsoft akan memperkenalkan pas PC Game Pass yang boleh dibeli secara fizikal di kedai-kedai serbaneka seperti 7-11, dan juga promosi bersama kedai-kedai komputer tempatan untuk mereka yang mungkin tidak mempunyai kemampuan untuk membayar langganan secara atas talian.
Sekiranya jumlah langganan di rantau Asia Tenggara dilihat memberangsangkan, mungkin Microsoft akan berasa senang hati untuk menambahkan sokongan rasmi ke negara-negara selain daripada Singapura.