Carian
Malaysia Diantara Lokasi Ujian Skuter Elektrik Yamaha E01 – Ujian Akan Bermula Julai Ini
April 22, 2022 Nazrin

Sekitar 2019, syarikat-syarikat automotif di Jepun seperti Yamaha, Kawasaki, Honda dan Suzuki telah memeterai kerjasama untuk menyeragamkan teknologi bateri dan pengecasan elektrik untuk kenderaan motorsikal.

Terkini, Yamaha dilihat sedang menguji motorsikal elektrik pertama mereka, iaitu Yamaha E01 yang telah dibangunkan di lokasi Eropah mereka. Motorsikal tersebut sedang diuji di beberapa lokasi sebagai bukti konsep (proof of concept) dan Yamaha telah mengumumkan beberapa negara sebagai lokasi ujian ini.

Di Asia, negara-negara ini termasuklah Malaysia, Thailand, Indonesia, Taiwan dan juga Jepun. Untuk lokasi Asia Tenggara seperti Malaysia, ia dikatakan bahawa ujian konsep tersebut dilakukan di negara-negara ini untuk menguji bagaimanakan motorsikal ini akan berfungsi di lokasi-lokasi dengan iklim tropikal.

Ujian yang akan dilakukan keatas motorsikal Yamaha E01 ini termasuklah ujian jarak perjalanan, jenis pengecasan dan juga masa pengecasan. Untuk rantau ini, dua perkara terakhir ini dilihat sebagai cabaran kepada penggunaan kenderaan elektrik kerana lokasi pengecasan yang terhad.

Yamaha E01 ialah sebuah motorsikal elektrik 155cc dengan motor elektrik dengan kuasa 8.1kW pada 5000RPM yang mempunyai kelajuan 100km/j. Menguasakan motor elektrik ini ialah sebuah bateri  4.9 kWh dengan jarak perjalanan 100km dengan satu pengecasan penuh.

Motorsikal elektrik ini dibangunkan sebagai sebuah kenderaan perjalanan jarak dekat, dan hadir dengan tiga mod pengecasan. Pengecasan asas Yamaha E01 akan memberikan pengecasan penuh dalam masa 5 jam, manakala dengan mod pengecasan pantas, bateri motorsikal ini akan dicas ke 80 peratus penuh dalam masa 1 jam.

Mod pengecasan ketiga pula menggunakan sebuah pengecas mudah-alih yang akan mengecas bateri motorsikal ini dari kosong ke penuh dalam masa 14 jam.

Ujian bukti konsep ini akan dijalankan bermula bulan Julai ini, dan data penggunaan kenderaan ini akan dikumpul dan dihantar ke sebuah mesin pelayan menggunakan teknologi data mudah-alih dan akan digunakan untuk pembangunan teknologi kenderaan elektrik di masa hadapan.

Komen