Permainan L.O.L Surprise Doll adalah amat popular di kalangan kanak-kanak sekarang. Setiap patung kerdil dimasukkan ke dalam bola plastik yang kemudiannya perlu dibuka untuk melihat kejutan di dalamnya. Tetapi bola plastik yang mempopularkan mainan ini tidak lagi akan digunakan dan sebaliknya akan digantikan dengan bola yang diperbuat daripada kertas.

MGA Entertainment Inc yang mengeluarkan patung mini ini sejak 2016 berkata sempena Hari Bumi mereka akan mula mengeluarkan LOL Surprise Earth Love dengan bungkusan sfera yang diperbuat daripada kertas. Ia lebih lestari kerana boleh dikitar semula dengan muda berbanding bola plastik.
Mereka menyasarkan 65% bungkusan akan menjadi lebih mesra alam menjelang musim bunga akan datang. Sebanyak 45 juta permainan dengan bungkusan baharu ini dijangka dijual sepanjang 2022 sekaligus mengurangkan penggunaan 3 tan metrik plastik. Bagi pembeli model lama, mereka menawarkan program kitar semula di Amerika Syarikat.

Bukan sahaja syarikat elektronik seperti Samsung dan Apple yang mula cakna mengenai pengguna plastik pada bungkusan mereka sejak akhir-akhir ini. Selepas ini jika anda membeli L.O.L Doll untuk anak, anda boleh merasa lebih lega kerana tidak lagi menyumbang kepada lambakan plastik yang kini telah ditemukan dalam darah manusia.