Pada awal tahun ini, Acer telah memperkenalkan model komputer riba Acer Aspire Vero yang menggunakan plastik PCR (Post-Consumer Recyclable) didalam binaan komputer riba tersebut. Ini adalah salah satu cara untuk Acer mengurangkan jejak karbon mereka dalam memperkenalkan komputer-komputer riba baru untuk pengguna.

Acer kini turut bekerjasama dengan National Geographic untuk memperkenalkan komputer riba Acer Aspire Vero edisi National Geographic yang terhad dan akan diperkenalkan di pasaran tempatan tidak lama lagi.

Komputer riba ini dilihat hadir dengan spesifikasi sama seperti komputer riba Acer Aspire Vero sebelum ini, termasuklah penggunaan komponen Intel Core i7 generasi ke-11, memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga storan SSD 1TB.

Perbezaan paling ketara yang diperlihatkan pada model edisi terhad ini ialah dari segi rekaan dan juga pembungkusannya. Bermula dengan rekaan komputer riba ini, ia masih mengekalkan penggunaan 30 peratus plastik PCR, tetapi kini hadir dengan rekaan topografi di bahagian belakang paparan, dan juga logo National Geographic di bahagian tepi tempat letak tangan pada komputer riba ini.

Di bahagian spacebar komputer riba ini juga teks “For Planet Earth” dapat diperlihatkan. Dari segi pembungkusan pula, Acer memperlihatkan rekaan kotak yang hadir dengan motif-motif National Geographic yang menjadikannya sebuah bungkusan komputer riba yang unik.

Menurut Acer Malaysia, pra-tempah untuk komputer riba Acer Aspire Vero edisi National Geographic ini akan dibuka pada 1 Mei 2022 ini pada tanda harga RM4299. Untuk 50 pra-tempahan pertama, para pelanggan juga akan menerima tetikus dan pad tetikus Vero percuma.

Dalam pada itu, pada tarikh yang sama, Acer Malaysia juga akan mengemaskini tanda harga komputer riba Acer Aspire Vero asal untuk model Intel Core i5 dan Intel Core i7 pada harga RM2999 dan RM3699, yang merupakan penurunan berbanding dengan tanda harga sebelum ini.