Meta ingin menjadikan metamesta pengganti kepada Internet. Pengguna perlu menyelami dunia realiti maya metamesta menggunakan set kepala Meta Quest keluaran mereka. Bagi memenuhi pelbagai keperluan pengguna dalam masa terdekat, Meta akan melancarkan empat set kepala realiti maya menjelang 2024 menurut laporan The Information.
Pelan hala tuju yang tertiris menunjukkan empat set kepala realiti maya (VR) dan terimbuh (AR) akan dilancarkan. Sebelum ini Mark Zuckerberg telah mengesahkan Project Cambria akan dilancarkan pada penghujung tahun ini sebagai ganti kepada komputer riba. Ia akan menggunakan sistem operasi Android yang telah diubahsuai dengan skrin beresolusi tinggi sehingga teks boleh dibaca dengan selesa oleh pemakai.
Ini membolehkan ia dijadikan sebagai pengganti sebuah komputer kerja lengkap dengan ciri membolehkan pandangan tembus dunia sebenar secara AR semasa dipakai. Project Cambria ialah set kepala prestasi tinggi dengan harga jualan melangkaui $800 sebuah.
Seterusnya ialah set kepala Project Cambria akan dikemaskini pula dengan yang lebih berkuasa dengan nama kod Funston pada tahun 2024. Maklumat mengenai Funston masih samar ketika artikel ini ditulis.
Dua lagi set kepala menggunakan nama kod Stinson dan Cardiff yang memberikan tumpuan kepada kemampuan gaming VR yang lebih menyeluruh. Stinson akan dilancarkan pada tahun 2023 sebagai set VR prestasi tinggi manakala Cardiff dilancarkan pada tahun 2024 sebagai model yang lebih mampu milik.
Dengan set kepala dihasilkan bukan sahaja untuk hiburan tetapi juga untuk keperluan kerja serta industri, Meta percaya mereka akan mempunyai kelebihan untuk menjadikan usaha metamesta mereka berjaya.