Xiaomi telah lama menggunakan nama peranti dengan huruf “T” sebagai siri baharu versi sebelumnya. Namanya semakin naik sejak Xiaomi melancarkan Xiaomi Mi 10T dan kemudiannya Xiaomi 11T kerana menawarkan harga jualan mampu milik untuk dalaman mirip sebuah peranti mercu mahal.
Model Xiaomi 12T sedang dibangunkan, tapi Redmi tidak mahu tunggu dan akan melancarkan siri Redmi Note 11T terlebih dahulu. Ia besar kemungkinan adalah satu lagi versi kemaskini dalam rekaan lebih kurang sama. Redmi Note 11 kini mempunyai lebih enam model, dan untuk acara pada bulan Mei akan datang – dua lagi model akan tiba.

Dua peranti ini adalah Redmi Note 11T dan Redmi Note 11T Pro. Dalam poster acah mereka, T pada nama peranti ini adalah untuk prestasi tahap turbo bersama dengan kualiti seakan sebuah peranti mercu.
Peranti mungkin akan hadir dengan skrin 6.6-inci FHD+ OLED, kadar segar semula tinggi 120Hz, dijana cip Dimensity 1300 dan Dimensity 8000, bateri mencapai 4980mAh dengan pengecasan pantas sehingga 120W, serta menjalankan MIUI 13 berasaskan Android 12.

Redmi Note 11T buat masa ini akan menjadi terhad di China dan tidak pasti jika ia akan ditawarkan di Malaysia ataupun tidak. Jika ya, adakah nama model sama atau berbeza? Sama-sama kita nantikan.