Ciri peranti terpaut pada WhatsApp untuk menggunakan WhatsApp pada banyak peranti adalah antara kemaskini paling menarik dan berguna untuk saya. Jika telefon saya mati, saya boleh akses pada WhatsApp Web melalui Safari pada iPad atau terus pada komputer saya.
Akan tetapi, WhatsApp masih tidak mampu memberikan ciri seakan Telegram iaitu satu nombor pada banyak peranti dengan semua sejarah sembang kekal disimpan.
Bulan lalu ada saya laporkan yang WhatsApp sedang membangunkan ciri Companion mode untuk menjadikan telefon kedua boleh menggunakan WhatsApp dengan nombor sama.

WABetaInfo baru-baru ini menemui kemaskini baharu mengenai ciri ini. WhatsApp Companion Mode akan menggunakan konsep yang sama dengan peranti terpaut. Imbas kod QR pada peranti baharu sahaja, cuma berbanding WhatsApp Web atau WhatsAppp Desktop – kali ini ia mungkin melalui aplikasi WhatsApp sendiri.
Ia dikatakan ciri ini turut boleh digunakan pada tablet Android. Pengguna juga dilihat perlu memastikan peranti kedua tiada WhatsApp digunakan untuk operasi yang lancar jika ada, data WhatsApp pada peranti kedua akan dipadam jika telah mula menggunakan Companion mode ini.
Tidak pasti lagi bila ia akan dilancarkan. Ciri reaksi emoji juga ambil masa berbulan lamanya, apatah lagi ciri seperti ini? Harap ia mudah digunakan dan tidak menjengkelkan, sama-sama kita nantikan.