Prism+ adalah antara jenama paparan baharu yang memasuki pasaran Malaysia. Mereka mula menawarkan pelbagai pilihan monitor dengan spesifikasi menarik pada harga jauh lebih murah dengan pesaing. Selain itu, mereka turut melancarkan pelbagai pilihan televisyen pintar Android TV – juga dengan spesifikasi hebat pada harga sekitar 50% murah berbanding pesaing.
Tahun ini Prism+ telah melancarkan televisyen dengan skrin paling besar mereka, iaitu Prism+ Q86 Pro QE. Ia adalah TV 86-ini 4K dengan sokongan Dolby Vision dan Dolby Atmos. Mengembangkan lagi siri Q Pro pada Prism+ hari ini adalah model Q55 Pro dan Q65 Pro.
Setiap satu televisyen ini mempunyai spesifikasi lebih kurang sama sahaja dengan model 86-inci, tetapi hadir dalam saiz lebih kecil dan harga lebih mampu milik dalam kelasnya jika RM8,999 mahal untuk sesetengah pengguna. Skrin kedua-dua Q55 Pro dan Q65 Pro adalah Quantum IPS dengan sokongan Dolby Vision, audio Dolby Atmos dan DTS TruSurround serta paling penting adalah resolusi 4K 3840 x 2160.
Speaker yang terbina pada televisyen ini adalah 2x 10W, turut hadir dengan sokongan Bluetooth, WiFi 5GHz, lubang untuk memasang cagak pada dinding dan turut menyokong HDMI ARC. Walaupun Prism+ masih belum menawarkan Google TV, televisyen mereka ini menjalankan Android TV 10 terkini dengan sokongan aplikasi seperti Disney+ Hotstar, Netflix, Prime Video dan banyak lagi.
Harga jualan untuk Prism+ Q55 Pro QE adalah RM2,399, manakala untuk Prism+ Q65 Pro QE adalah RM3,299. Kepada 100 pembeli terawal, mereka akan menerima hadiah bernilai RM358 (untuk Q55 Pro) dan RM557 (untuk Q65 Pro). Hadiah ini merangkumi daripada pelan langganan Viu, WeTV, kabel HDMI dan banyak lagi.
Televisyen yang baru dilancarkan ini dijual melalui laman web rasmi mereka berserta dua tahun jaminan. Manakala di Lazada atau Shopee anda boleh dapatkan monitor, cagak, aksesori dan lain-lain lagi.