Kecerdasan buatan hanyalah sepintar data yang digunakan untuk melatihnya. Sejak dari awal penggunaan kecerdasan buatan, wujud ketidakadilan dan berat sebelah kerana data yang digunakan hanya mengambil kira golongan tertentu sahaja. Antara impak paling ketara ialah kecerdasan buatan pada aplikasi kamera yang mempunyai masalah mengambil gambar insan yang berkulit hitam kerana dilatih dengan data insan berkulit cerah sahaja.

Maka Google memperkenalkan skala Monk Skin Tone scale (MST) yang adalah lebih inklusif dengan 10 tona warna kulit individu yang wujud di dunia. Ianya adalah hasil kerjasama Google dengan Dr. Ellis Monk seorang profesor di Harvard dalam bidang sosiologi. Ia menggantikan skala Fitzpatrick yang hanya terdiri daripada enam tona warna kulit sahaja. Skala Fitzpatrick dilihat tidak lagi sesuai kerana dicipta pada tahun 1975.
Google akan menggunakan MST dalam kesemua kecerdasan buatan produk mereka bermula dari sekarang untuk memastikan tiada lagi isu ia tidak berfungsi kerana gagal mengesan individu yang berkulit gelap. Ini sebuah lagi inisiatif Google untuk menjadi lebih inklusif selepas tahun lalu mengumumkan Real Tone pada peranti Pixel yang boleh mengambil gambar individu berkulit gelap dengan lebih tepat.