Cari @ Amanz

Beberapa bulan yang lalu, MSI telah mengacahkan kolaborasi dengan siri dan filem anime popular Neon Genesis Evangelion yang terdiri daripada rangka komputer dan juga beberapa komponen.

Terkini, MSI nampaknya telah memperlihatkan butiran lanjut mengenai kolaborasi ini, dan memperlihatkan kesemua komponen-komponen yang boleh dibeli kelak. Ia termasuklah papan induk MSI MAG B660 TOMAHAWK EVA e-PROJECT, penyejuk CPU MSI MAG CORELIQUID C240 EVA e-PROJECT, bekalan kuasa MSI MAG A650BN EVA e-PROJECT dan rangka komputer desktop MSI MPG GUNGNIR 110R EVA e-PROJECT.

Komponen-komponen ini dilihat hadir dengan corak warna ungu dan hijau, sama seperti corak warna mecha EVA-01 yang dipandu oleh Ikari Shinji, watak utama siri anime tersebut. Pada kesemua komponen ini juga dapat diperlihatkan logo NERV, iaitu organisasi yang membangunkan mecha Evangelion untuk menentang makhluk asing yang menyerang Bumi.

MSI mengatakan bahawa komponen-komponen ini akan ditawarkan di pasaran sekitar bulan ini, tetapi untuk pasaran Malaysia, kami masih sedang menunggu maklum balas daripada pihak tempatan samada ia akan ditawarkan di sini ataupun tidak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd