Cari @ Amanz

iPhone 12 Mini dan iPhone 13 Mini adalah antara peranti mercu premium yang bersaiz kompak. Tiada jenama lain yang mempunyai peranti mercu dengan saiz sebegini. Benar, tidak ramai yang meminati peranti seperti ini – tetapi peminat setia masih ada.

Terkini, pengasas Pebble iaitu Eric Migicovsky menginginkan sebuah peranti mercu premium Android bersaiz kompak. Apa yang beliau inginkan adalah iPhone 13 Mini, tetapi versi Android. Beliau adalah antara golongan yang meminati peranti bersaiz kompak.

Dalam satu laman web ringkas yang beliau bangunkan, ini adalah spesifikasi yang beliau rancang;

  • Rekaan mirip iPhone 13 Mini, termasuk dengan skrin dengan bezel yang sekata.
  • Skrin bersaiz 5.4-inci, resolusi 1080p dan 60Hz pun tidak mengapa.
  • Kamera setaraf Pixel 5, paling penting mod malam cantik.
  • Menjalankan sistem operasi Android asli.
  • Dijana cip Snapdragon siri 8 dengan sokongan 5G.
  • Kamera swafoto melalui skrin berlubang, kamera utama sekurang-kurangnya konfigurasi dwi-kamera.
  • Memori 8GB RAM, storan dalaman 128GB atau 256GB.
  • Ketahanan bateri adalah 4 jam SOT.
  • Bootloader boleh dinyahkunci.
  • NFC
  • Harga jualan adalah sekitar $700-$800 iaitu sekitar RM3000 ke RM3500 (mahal pun tidak mengapa, kerana tiada pilihan untuk peranti seperti ini).

Berikut adalah yang beliau nyatakan mesti ada pada peranti ini. Tetapi jika ia menyokong IP68, ada pengimbas cap jari, ada butang fizikal untuk kawal nada dering, pengecasan nirwayar dan eSIM adalah satu bonus.

Menurut Eric, jika ada lebih 50,000 yang berminat dengan peranti ini ia mungkin tidak mustahil untuk menghasilkannya. Tambahan beliau lagi, jika Apple menghentikan pengeluaran iPhone bersaiz Mini ini – peranti ini boleh menjadi pengganti. Dengan Beeper juga di bawah beliau, iaitu sistem pemesejan universal untuk menjalankan iMessage pada Android boleh dimuatkan dalam peranti ini dan terus menjadi pengganti iPhone 12 Mini atau iPhone 13 Mini

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd