Siri Honor 70 bakal dilancarkan di China pada penghujung bulan ini. Desas-desus awal mendapat mungkin terdapat sekurang-kurangnya tiga model berbeza yang akan diumumkan. Pada masa sama, Honor juga dijangka menyertakan beberapa penambah-baikan menarik bersama-sama dengan peranti baharu ini.

Menjelang pelancaran rasmi, peranti ini didapati telah tersenarai di kedai atas talian Honor China. Dalam perkembangan berbeza, ia turut ditemui tertiris menerusi beberapa imej sebenar yang tular. Peranti-peranti akan mempunyai beberapa pilihan warna berbeza mengikut variasi model yang ditawarkan. Misalnya seperti Honor X70 disenaraikan dalam 4 pilihan warna seperti hitam, putih, hijau dan biru.

Seterusnya, Honor 70 dan Honor 70 Pro dilihat menggunakan panel hadapan melengkung pada bahagian sisi. Cumanya, saiz bezel pada variasi pro kelihatan lebih nipis dan seimbang berbanding variasi standard. Turut melengkapi kedua-duanya adalah skrin berlubang pada bahagian tengah yang menyokong kamera swafoto tunggal.

Kemudian, panel belakang untuk kedua-duanya menggunakan sistem tri-kamera. Namun begitu, rekaan untuk modul kamera utama ini adalah berbeza di antara satu sama lain. Pada masa sama, panel belakang peranti-peranti ini turut memperlihatkan penggunaan kemasan yang berbeza seperti berkilat, pusam dan potongan seakan berlian.

Tiada maklumat lanjut mengenai spesifikasi untuk kedua-dua peranti yang dikongsi. Namun, Honor didakwa akan bekerjasama dengan Sony untuk penawaran sistem kamera pada peranti-peranti tersebut.