Menerusi aplikasi Setel anda boleh melakukan pembelian minyak dari stesen Petronas terus dari aplikasi telefon pintar. Tidak perlu mengimbas kad fizikal pada pam atau berjalan ke kaunter bagi melakukan pembayaran yang amatlah menyenangkan khususnya ketika pandemik. Akaun media sosial Setel hari ini telah berkongsi imej yang mengacah pula sokongan pengecasan kenderaan elektrik.
Berdasarkan imej teks yang dikongsi, memang sudah pasti sokongan pengecasan kenderaan elektrik akan diberikan dalam masa terdekat. Persoalannya ialah dimana ia akan disokong serta sama ada ia juga hanya terhad pada rangkaian stesen Petronas sahaja. Misteri akan terjawab dalam masa terdekat kerana berdasarkan ciapan balas yang diberikan pengumuman rasmi akan dilakukan seawal hari esok.
Sistem pengecasan kenderaan elektrik amatlah diperlukan di Malaysia untuk meningkatkan penggunaannya bersama dengan kenderaan elektrik yang lebih mampu milik. Kelak kita akan melihat pelancaran kereta Geely mampu milik dan juga Smart #1 yang diedarkan oleh Proton.