Kanser ialah penyakit yang telah meragut jutaan nyawa manusia sejak ribuan tahun. Kes pertama yang direkodkan ialah pada tahun 1500 sebelum masihi di Mesir. Penyakit ini sungguh menyeksakan sehingga saya tidak langsung mahu ia dihidapi oleh musuh yang paling kejam sekalipun. Terdapat beberapa usaha dilakukan oleh saintis untuk menentang penyakit ini seperti pembangunan rawatan moden dan juga vaksin menggunakan teknologi mRNA.

Terkini penyelidik dari City of Hope dan Imugene Limited mengumumkan mereka telah memulakan ujian klinikal fasa pertama rawatan kanser menggunakan virus CF33-hNIS VAXINIA. Dalam ujian dalam makmal, virus CF33-hNIS VAXINIA mengecilkan saiz saiz kanser di ovari, pankreas, paru-paru, payudara, dan usus pada haiwan. Virus disuntik terus ke tumor atau secara intravena.
Virus ini akan menyerang sel kanser sebelum membiak dan membunuh sel kanser yang lain tanpa menyerang sel tubuh lain yang sihat. Pesakit turut diberikan rawatan imunoterapi permbrolizumab yang merupakan antibodi yang memberikan tubuh ketahanan dari sel yang menghasilkan kanser.
Ujian klinikal pertama ini adalah bagi melihat keberkesanan dan juga sama ada ia selamat untuk digunakan pada manusia. Penyelidik akan mengembangkan eksperimen ke 100 pesakit di 10 lokasi yang terletak di Amerika Syarikat dan Australia secara berperingkat.