Cari @ Amanz

Apa Lagi Yang Anda Boleh Lakukan Dengan Projektor Samsung The Freestyle

Link Copied!

Awal tahun ini Samsung telah melancarkan projektor The Freestyle dengan rekaan sebesar tin milo, dan turut memenuhi citarasa pengguna Gen Z. Malah lebih dari sekadar projektor, ia juga turut mempunyai kegunaan lain yang menarik dan mungkin tidak ditawarkan oleh jenama mereka.

Menjadikannya Sebagai Hiasan Dinding Dengan Ambient Mode

Jika anda berhasrat untuk meletakkan projektor di bilik tidur anda, Samsung Freestyle membolehkan anda memancarkan imej video kearah siling, jadi anda boleh menonton filem dan siri kegemaran anda sambil berbaring. Tapi lebih menarik lagi, anda juga turut boleh menghiasi dinding dengan projektor ini.

Dengan Ambient Mode, anda boleh menjadikan projektor The Freestyle memancarkan gambar kegemaran anda. Jadi anda boleh mencipta suasana yang anda inginkan, baik untuk meraikan sambutan hari lahir, atau gambar landskap yang mendamaikan. Terdapat juga gambar beranimasi bagi menyerikan dinding anda.

Meletakkannya Sebagai Lampu Meja Makan Atau Lampu Tidur

Dengan bentuk dan berat yang ringan, ia turut boleh ditala dari atas kearah permukaan meja anda. Jika kebanyakan projektor adalah berat, The Freestyle ini adalah ringan dan boleh memancarkan imej yang besar. 

Malah dengan penutup lutcahaya anda turut boleh menjadikannya sebagai lampu suasana. Apabila anda menutupnya, cahaya tidak akan menjadi terlalu terang, dan cukup untuk menerangi suasana tanpa menyakitkan mata. 

Kawalan Rumah Pintar Menggunakan Bixby Dan Alexa

Jika anda telahpun meletakkan pelbagai barangan pintar di rumah, projektor The Freestyle ini dapat memberikan lagi kawalan kerana ia turut menyokong aplikasi Bixby dan juga Alexa. Jadi selain dari memberikan arahan untuk peranti, anda juga boleh mengawal peranti berhubung yang lain dengan mudah. 

Boleh Dikuasakan Menggunakan Power Bank 

Kebanyakan projektor memerlukan palam kuasa dan ini merupakan faktor yang melecehkan jika anda ingin membawa projektor bersama untuk aktiviti di luar rumah. Malah mungkin memakan kos jika anda perlu membeli penjana kuasa yang berat dan bising.

Memahami masalah ini, Samsung The Freestyle yang mudah dibawa kemana-mana turut tidak memerlukan kuasa yang tinggi. Anda boleh menggunakan power bank anda yang menyokong Power Delivery dengan 50W/20V, dan tidak memerlukan sebarang palam kuasa.


Dengan ciri-ciri diatas jelas sekali Samsung The Freestyle merupakan projektor yang menarik dan versatil, boleh digunakan dalam pelbagai keadaan. Dengan keupayaan pemancaran sehingga sebesar 100-inci, ia pasti boleh bersaing hebat dengan projektor lain. 


Komen ()