Cari @ Amanz

Ketirisan Data : Laman Dibawah MITI Dilihat Mendedahkan Data Peribadi Jutaan Pekerja

Oleh Aman

Link Copied!

Sebelum ini, dalam mempercepatkan proses vaksinasi, kerajaan melalui MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), telah mengadakan program PIKAS yang menyediakan kemudahan vaksinasi. Ini dalam memastikan ekonomi dapat beroperasi dengan pantas kembali.

Ketika itu, majikan perlu muat-naik dokumen data pekerja dalam mendapatkan vaksinasi dan sebagainya. Apa pun, kini, melalui laporan CodeBlue merujuk kepada perkongsian Dr Suresh Ramasamy, ia dilihat pelayan sistem PIKAS terdedah memberikan akses kepada jutaan data pekerja.

Data yang terlibat termasuklah nama, jawatan, nombor telefon, nombor kad pengenalan dan beberapa data lain.

Ketika artikel ini ditulis, sistem PIKAS tidak lagi boleh diakses, dan Dr Suresh melalui perkongsian beliau menyatakan perkara ini telah dimaklumkan kepada CyberSecurity Malaysia – dan kerentanan berkenaan telah diatasi.

Ia tidak diketahui berapa lama pelayan berkenaan terbiar terdedah sebelum ini, dan adakah data berkenaan dimuat-turun pihak tidak bertanggungjawab. Seperti biasa, orang ramai dinasihatkan agar berjaga-jaga dan menyemak pelbagai perkara sekiranya dihubungi sesiapa sahaja.

Perkongsian baharu ini hadir selepas pada bulan Mei lepas, kami melaporkan berkenaan data ramai rakyat Malaysia yang dijual di arena web secara terbuka.


Komen ()