Jika sebelum ini aplikasi Go Selangor diperkenalkan bagi mempromosikan produk pelancongan di negeri berkenaan. Terbaru, kerajaan melalui Tourism Perak turut hadir dengan aplikasi tersendiri dengan matlamat yang sama. Melaluinya, aplikasi Perak Pass Plus (PPP) telah diperkenalkan bagi memenuhi keperluan orang ramai untuk mencari tempat makan, melancong dan menerokai negeri Perak.

Dari segi penampilan, antara muka aplikasi kelihatan minimalis dengan fungsi utama padanya yang boleh dikatakan mirip kepada aplikasi Go Selangor. Cuma bezanya, ia menggunakan padanan warna latar hijau dan putih secara keseluruhannya.
Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan secara setempat termasuklah tempahan penginapan hotel, pengangkutan awam, kupon serta diskaun dan sebagainya. Dalam masa sama, anda turut boleh membaca dan berkongsi pengalaman mengenai lokasi yang dilawati menerusi ruangan Review Feeds.

Aplikasi Perak Pass Plus (PPP) dikatakan telah tersedia menerusi Apple App Store, Google Playstore dan Huawei App Gallery. Namun begitu, semakan kami mendapati ia hanya boleh didapati di Google Playstore sahaja setakat artikel ini ditulis.
- Sumber
- Sumber – BERNAMA