Speaker kecil ialah aksesori audio yang hanya tiga tahun lalu kami rasakan adalah tidak diperlukan. Kenapa perlukan speaker kecil jika speaker besar wujud dengan kualiti audio lebih baik. Pandemik membawakan perubahan besar hidup kami dengan speaker kecil menjadi sistem audio yang paling terbaik untuk digunakan mendengar muzik ketika memasak di dapur dan santai di beranda rumah sambil mendengar podsiar kegemaran.

Huawei Sound Joy dilancarkan di Malaysia minggu ini sebagai penawaran mereka dalam segmen speaker nirwayar kompak. Adakah ianya masih berbaloi pada harga RM699 sebuah? Jawapannya di akhir ulasan ini.
Spesifikasi
Huawei Sound Joy | |
---|---|
Jenis | Speaker nirwayar mono |
Pemandu | 50mm / 19mm Tweeter |
Mikrofon | 3 mikrofon |
Bateri | 8000 mAh / 26 Jam |
Port pengecas | USB-C (40W) |
Pengecasan nirwayar | Tiada |
CODEC | AAC, SBC |
Sistem operasi disokong | Semua |
Sokongan pembantu maya | Ya/Assistant dan Alexa |
Pad Kawalan | Butang laras audio dan ciri fizikal |
Kemampuan kalis air | IP67 |
Harga Jualan | RM 699 |
Rekaan Sound Joy mirip sebuah tin air aluminium dengan ketinggiannya sekitar dua kali ganda. Ini adalah disengajakan bagi membolehkan ia diselitkan pada poket sisi beg atau pemegang air pada sebuah basikal. Kerana saiz yang sama ia juga selesa dipegang dalam genggaman tangan. Terdapat sebuah tali tambahan ytang membolehkan ia disangkut pada pergelangan tangan atau cangkuk ketika digunakan di luar.

Kedua-dua hujungnya juga rata membolehkan Sound Joy digunakan pada kedudukan berdiri jika perlu. Dua kaki getah pada bahagian sisi disertakan sekiranya speaker ini ingin digunakan secara mendatar. Kaki getah ini pada hemat kami terlalu kecil untuk mengelakkan ia dari bergolek. Jika muzik dengan bass yang kuat dipasang, kami sedari Sound Joy bergegar cuma masih belum mampu bergolek sepenuhnya.

Tubuh diperbuat daripada bahan kanvas kasar yang sama seperti pada tubuh Google Home. Unit yang diulas berwarna hitam yang kali kotoran selepas dua minggu digunakan. Tetapi speaker ini turut ditawarkan dalam warna merah dan hijau di pasaran Malaysia. Tekstur kasar tubuh Sound Joy membuatkannya ia tidak mudah terlepas dari tangan walaupun dalam keadaan basah. Jangan risau sekiranya basah sekalipun kerana speaker melepasi piawaian kalis air IP67.
Dua butang fizikal untuk laras audio yang diperbuat daripada getah diletakkan pada bahagian atas. Ia berbentuk “+” dan “-” yang memudahkan jari membezakan antara dua butang yang besar ini tanpa melihat. Lima butang fizikal untuk kuasa, bluetooth, mikrofon, menjeda muzik dan mod stereo turut diletakkan pada sisi speaker. Satu butang getah untuk Huawei Share berbentuk bulat pula disertakan untuk melakukan sentuhan NFC.

Port pengecasan USB-C juga diletakkan sebaris dengan butang-butang di atas. Agak menarik melihat port ini terbuka tanpa sebarang pintu getah bagi mengelakkan air memasuki lubang. Berbeza dengan speaker LG XBOOM GO PL5 yang kami gunakan di rumah yang menyorokkan port pengecasan dan butang tambahan di belakang sebuah penutup getah kalis air.

Terdapat dua radiator sisi yang menghembuskan udara keluar untuk bass yang kuat. Turut disertakan ialah sebuah lampu RGB pada sisi kanan. Lampu ini boleh dikawal untuk bertukar warna mengikut alunan muzik yang dimainkan. Sebelum bergerak ke segmen seterusnya, harus kami nyatakan bahawa Sound Joy ialah sebuah speaker mono kerana hanya hadir dengan satu pemandu audio 50mm dan satu tweeter 19mm.
Penggunaan dan Perisian
Untuk pengalaman terbaik kami menyarankan Sound Joy digunakan pada sebuah peranti pintar Huawei. Sejurus selepas dihidupkan, ikon tambatan pantas dengan gambar speaker akan muncul pada peranti Huawei. Pada peranti Android dan iOS, tiada sokongan tambatan pantas.

Sokongan Google Fast Pair juga tidak disertakan kerana halangan penggunaan teknologi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Pada peranti Android dan Huawei terdapat satu kelebihan kerana Sound Joy menyokong sentuhan NFC. Sentuh sahaja logo Huawei Share ini dan tambatan dapat dilakukan dengan lebih pantas.
Selepas ditambat kepada peranti, menggunakan Sound Joy sebagai speaker bluetooth adalah mudah. kawal sahaja dari telefon pintar atau menggunakan butang-butang fizikal yang kami sebutkan di atas.

Untuk penggunaan yang lebih menyeluruh aplikasi Huawei AI Life perlu dimuat turun. Ketika artikel ditulis aplikasi telah dikemaskini untuk menyokongnya pada peranti Android dan iOS tanpa sebarang isu. Kami hanya kurang gemar dengan aplikasi ini yang memerlukan akaun Huawei untuk berfungsi. Jika anda tidak mempunyai akaun speaker tidak boleh ditambah ke dalam senarai aplikasi yang disokong.

Tetapi aplikasi ini perlu untuk melakukan kemas kini perisian speaker, mematikan lampu RGB jika ia mengganggu kenikmatan mendengar muzik, EQ, kawalan kekuatan bass, membaca manual dan mengaktifkan mod mematikan speaker secara automatik apabila tidak digunakan. Adalah lebih baik jika aplikasi boleh digunakan tanpa memerlukan akaun terlebih dahulu.
Selain isu di atas, proses menggunakan Sound Joy adalah mudah sama sahaja seperti kesemua speaker bluetooth lain di pasaran.
Kualiti Audio
Ini ialah sebuah speaker mono maka dari segi kualiti audio ia sudahpun mempunyai satu kekurangan yang ketara. Bunyi audio tidak akan memberikan pengalaman audio yang terbaik. Tetapi majoriti speaker bluetooth dalam kategori yang sama dengan Sound Joy juga mono. Jadi perbandingan kualiti audio akan dilakukan dengan speaker Sonic Gear Sonic Shuttle yang pernah kami gunakan sebelum ini untuk lebih adil.

Sebagai sebuah speaker bluetooth mono audio yang dihasilkan adalah memuaskan. Bass yang menumbuk diafragma dan treble yang rangup mampu dihasilkan. Pada tetapan paling tinggi bunyi yang dikeluarkan speaker masih lagi terang dan tidak berkecamuk. Ini dibantu oleh dua pemandu audio yang digunakan. Sound Joy direka untuk mereka yang ingin berparti dan inilah sebab mengapa prestasi bass speaker ini amatlah mantap seakan sebuah kelab malam mudah alih. Tetapi mendengar muzik vokal, instrumen dan podsiar sahaja juga amat memuaskan kerana treblenya yang nyaring.
Pastikan pemandu audio dihalakan ke arah anda semasa digunakan untuk kualiti audio paling optimum. Cari logo Huawei pada sisi speaker dan pemandu audio utama terletak betul-betul di bawah logo ini. Dengan saiz yang kompak ia tidak dilengkapi sistem pancaran audio 360 darjah.

Terdapat sokongan stereo jika dua Sound Joy digunakan serentak tetapi kami tidak pula diberikan unit tambahan untuk menguji ciri ini. Sehingga 100 Sound Joy boleh digabungkan menjadi “dinding bunyi stereo” sekiranya perlu.
Satu lagi ciri yang disokong ialah menyeru pembantu maya di telefon dengan menekan butang mikrofon. Ciri yang menarik tetapi kami dapati ia tidak berfungsi dengan lancar. Kadang kala arahan suara difahami dan kadang kala pula ia menanti arahan tanpa henti. Lebih baik kawal sahaja dari telefon pintar.
Bateri
Bateri diiklankan boleh bertahan sehingga 26 jam yang menjadikan Sound Joy antara speaker bluetooth dengan hayat bateri terbaik pernah kami lihat. Jauh lebih baik berbanding XBOOM GO PL5 yang hanya bertahan selama 18 jam. Kekuatan Sound Joy jelas terletak pada hayat baterinya yang panjang. Ia beroperasi lebih seminggu di dapur semasa ulasan dilakukan.

Semasa dicas ia masih boleh terus digunakan dengan kabel bersambung. Sistem pengecasan 40W disokong dan ini mengisi semula bateri 8800 mAh Sound Joy dalam masa 90 minit. Pengecasan selama 10 minit sahaja boleh memberikan operasi selama 1 jam. Untuk menikmati pengecasan yang pantas ini anda perlu mempunyai sebuah pengecas yang menyokong format PD3.0 dan SCP2.0.
Kami mengecas menggunakan pengecas Huawei SuperCharge 40W yang diberikan bersama Huawei P40 Pro. Kepala pengecas ini tidak diberikan dengan setiap pembelian Sound Joy kerana hanya kabel USB-A ke USB-C sahaja diberikan dalam kotak.
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Huawei Sound Joy
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x manual.
Kesimpulan
Saiz kompak tetapi audio yang dilontar oleh Sound Joy adalah lebih baik dari yang kami jangkakan. Sebagai sebuah speaker bluetooth mudah alih ia adalah amat memuaskan lebih-lebih lagi jika anda peminat muzik electronica dengan bass adalah lebih penting dari segalanya. Kekuatan audio ini dipadankan pula dengan ketahanan bateri 26 jam yang terbaik di dalam kelasnya. Kemampuan kalis air IP67 pula adalah bonus bagi mereka yang bercadang menggunakan Sound Joy di luar rumah tanpa risau ianya rosak jika terkena percikan air.

Pada harga RM699 ia adalah berbaloi untuk apa yang Huawei cuba tawarkan kepada pengguna. Sokongan perisian adalah baik sekali walaupun anda tidak mempunyai peranti Huawei. Kami sarankan speaker ini kepada mereka yang mencari speaker kompak mudah alih yang mampu bertahan melebihi sehari.
Kekurangan hanyalah ia sekadar mono sedangkan pesaing paling hampirnya seperti LG XBOOM GO PL5 menyokong audio stereo dengan harga jualan yang hampir setanding tetapi prestasi bateri lebih pendek.
Pro
- Rekaan kompak dan selesa dipegang.
- Kalis air IP67.
- Ketahanan bateri 26 jam yang amat baik.
- Pengecasan pantas 40W.
- Sokongan aplikasi yang baik pada peranti Huawei, Android dan iOS.
- Audio lantang dan jelas.
Kontra
- Audio mono.
- Pengecas 40W perlu dibeli berasingan.
- Aplikasi memerlukan akaun Huawei sebelum boleh digunakan.
