Kanser menyebabkan saya kehilangan ibu tahun lalu. Minggu-minggu terakhir beliau di muka bumi adalah sangat traumatik kepada saya dan keluarga kerana ia melihat ibu secara perlahan-lahan lemah kerana kanser yang semakin membesar. Pelbagai rawatan baharu ini sedang diuji untuk menentang penyakit yang cukup berbahaya ini. Sebuah rawatan baharu yang dilakukan di Amerika Syarikat telah berjaya menghapuskan tumor kanser pada tubuh tanpa pembedahan ataupun radioterapi.

Sebanyak 12 pesakit kanser kolon dari New York Memorial Sloan Kettering Cancer Center menjalani rawatan imunoterapi menggunakan ubat dostarlimab. Selepas rawatan imunoterapi selama enam bulan, tumor pada kesemua pesakit berjaya dihapuskan yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana ujian klinikal kanser sebelum ini.
Pesakit dipilih menjalani ujian rawatan kerana mereka mempunyai mutasi genetik yang dipanggil mismatch repair deficiency (MMRd) yang menyebabkan mereka tidak memberikan reaksi positif ke atas rawatan radioterapi dan kemoterapi. Ini hanya dikesan pada 5-10% pesakit kanser kolon.
MMRd juga menyebabkan sel kanser lebih mudah diserang oleh rawatan imunoterapi. Sistem imun badan diperkukuhkan untuk menyerang sel kanser. Dostarlimab diberikan setiap 3 minggu selama 6 bulan. Selepas enam bulan tiada tumor dikesan menggunakan kaedah imbasan MRI, imbasan PET, endoskopi, biopsi dan pelbagai lagi. Tumor hapus dari tubuh sepenuhnya.
Ujian klinikal tahap ketiga akan dilakukan pula dengan 30 orang pesakit. Bulan lalu ujian klinikal ke atas manusia rawatan kanser menggunakan virus telah dimulakan Imugene Limited selepas menunjukkan reaksi positif pada haiwan makmal. Masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada rawatan ini boleh digunakan pada jenis kanser yang lain tetapi ia memberikan harapan bahawa kita semakin hampir untuk mencari penawar.