Apple Akan Menggunakan Wang Sendiri Untuk Membiayai Perkhidmatan Pay Later Mereka

Diterbitkan pada Jun 9, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sewaktu acara WWDC beberapa hari yang lalu, Apple telah memperkenalkan perkhidmatan BNPL mereka yang dinamakan Apple Pay Later. Ia membolehkan pelanggan-pelanggan mereka untuk membeli peranti-peranti Apple dengan bayaran ansuran selama empat bulan dengan cepat dan mudah.

Secara lazimnya, kebanyakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan pinjaman BNPL ini akan mendapatkan pembiayaan daripada institusi-institusi kewangan untuk memastikan mereka tidak memakan kerugian apabila sesuatu produk tidak dibayar balik dalam masa yang ditetapkan.

Bercakap kepada Reuters, Apple mengesahkan bahawa perkhidmatan Pay Later mereka akan dibiayai sepenuhnya oleh wang Apple sendiri, dan syarikat tersebut tidak akan mengambil sebarang pinjaman daripada mana-mana bank.

Bahagian kewangan syarikat tersebut akan mengendalikan mekanisma pengeluaran wang untuk membiayai perkhidmatan ini. Mereka juga berkata sekiranya ciri ini akan dilanjutkan penggunaannya, sumber kewangan untuk membiayai perkhidmatan ini juga mungkin boleh bertukar di kemudian hari.

Apple turut mengesahkan bahawa anak syarikat mereka, Apple Financing LLC akan bertanggungjawab untuk mengesahkan kelayakan kredit dan pengeluaran pinjaman kepada para pelanggan mereka.

komen


© Amanz / 2022 Kami