Carian
Lightyear 0 Hanya Memerlukan Cahaya Matahari Untuk Bergerak 70 km Sehari
June 11, 2022 Effi Saharudin

Kereta elektrik memang lestari. Kereta elektrik memang lebih senyap. Tetapi kereta elektrik mempunyai had perjalanan yang terhad jika dibandingkan dengan sebuah kereta berkuasa petrol. Kekurangan stesen pengecas sudah mula dirasai pengguna kereta elektrik di Malaysia walaupun jumlah mereka masih kecil.

Lightyear 0 telah diperlihatkan semalam sebagai kereta elektrik yang tidak memerlukan sebarang pengecasan konvensional. Dengan panel solar seluas 5 meter persegi di permukaan tubuh, pengeluar Lightyear 0 mendakwa ia cukup untuk membekalkan kuasa perjalanan sehingga 70 kilometer sehari. Ini adalah model produksi penuh Lightyear One EV yang diperlihatkan pada tahun 2019.

Prestasi tinggi dicapai kerana Lightyear 0 adalah antara kereta paling aerodinamik pernah dihasilkan bagi mengurangkan rintangan udara. Ia menggantikan terus cermin sisi dengan kamera dengan skrin LCD diletakkan dalam kokpit sebagai ganti.

Bateri sebesar 60 kWh telah diuji untuk memberikan jarak operasi sehingga 625 km sekali caj menggunakan piawaian WLTP dengan kelajuan purata 110 km/j. Kenderaan ini tidak mementingkan prestasi dan oleh itu hanya boleh bergerak pada kelajuan maksimum 160 km/j dan memerlukan 10 saat untuk memecut dari 0-100 km/j. Menerusi pengecasan menggunakan palam di rumah, pemilik boleh mendapat 32 km untuk setiap jam ia dicas.

Syarikat baharu ini akan hanya menawarkan 946 Lightyear 0 kepada pelanggan dengan setiap satunya dijual pada harga €250,000 (~RM 1.16 juta). Harga yang jauh lebih mahal berbanding yang ditawarkan oleh Tesla ataupun Porsche untuk kereta elektrik mereka. Tetapi inilah premium yang perlu dibayar untuk sebuah kereta yang boleh dicas menggunakan solar ketika di tempat letak kereta.

Komen