Carian
Realme GT Neo 3 Naruto Edition Membuatkan Kami Terasa Seperti Seorang Ninja
June 16, 2022 Amy Maizuraa

Kepada semua peminat setia fanatik siri anime Naruto di luar sana! Artikel pandang pertama kali ini pasti akan menarik perhatian anda. Sebabnya, kami diberi peluang untuk mencuba sendiri Realme GT Neo 3 Naruto Edition untuk tempoh yang terhad. Pada dasarnya, ia mempunyai perkakasan dalaman yang sama seumpama variasi standard.

Cuma fizikalnya direka semula dengan kemasan menarik yang bertemakan anime berkenaan. Perkara paling menarik mengenai edisi khas kali ini adalah kotak skrol khas yang didatangkan bersama. Di dalamnya terkandung dengan telefon pintar dan sejumlah aksesori bertemakan Naruto. Tanpa melengahkan masa, berikut adalah pandang pertama kami untuk Realme GT Neo 3 Naruto Edition.


Spesifikasi Ringkas

Realme GT NEO 3
Skrin6.7″ AMOLED
FHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesMediaTek Dimensity 8100 (5nm)
Cip4 X 2.85 GHz Cortex-A78
4 X 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G610 MC6
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman256 GB UFS 2.2
Kamera Utama50+8+2 Megapixel f/1.8+f/2.3+f/2.4, OIS
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.5
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 80W
SIM/TelefoniDwi SIM / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 2099 (8/256GB)

Bagi yang bertanyakan mengenai perkakasan dalaman peranti ini. Ia masih sama seperti Realme GT Neo 3 yang diumumkan sebelum ini. Cumanya, telefon pintar ini didatangkan dengan sejumlah ikon dan gambar latar yang bertemakan Naruto. Dalam masa sama, perubahan ketara juga hanya dilakukan pada reka bentuk fizikal pada panel belakang sahaja.

Sementara itu, tiada perubahan ketara yang dilakukan pada panel hadapannya. Penggunaan skrin rata juga dikekalkan dengan saiz bezel yang boleh diterima. Ia sejenis AMOLED sebesar 6.7-inci beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Skrin yang cantik dipadankan dengan kerangka aluminium yang teguh. Pengimbas cap jari bawah skrin turut disertakan, di samping sokongan imbasan wajah sebagai pilihan lain.

Seterusnya menyentuh soal spesifikasi, cip MediaTek Dimensity 8100 digunakan dengan padanan memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman 256GB. Di atas kertas, ia hadir dengan binaan 5nm yang menggabungkan empat teras Cortex-A78 dan empat teras Cortex-A55. Ia kemudiannya dipadankan dengan GPU Mali-G610 MC6 yang dioptimasikan sehingga 10% lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya.

Sistem kamera pula terdiri dengan sensor utama 50MP (Sony IMX766) yang kemudiannya diikuti dengan sensor ultra-lebar 8MP dan sensor makro sebesar 2MP. Menariknya di sini, kamera turut dibekalkan dengan beberapa ciri tambahan seperti OIS + EIS untuk kebolehan penggambaran lebih memuaskan. Turut melengkapi peranti adalah penstabilan terbina bagi membolehkan rakaman video dibuat dengan baik sekali. Seterusnya, kamera hadapan pula sebesar 16MP.

Realme GT Neo 3 Naruto Edition juga dilengkapi bateri sebesar 4,500mAh dengan sistem pengecasan pantas 150W. Kepala pengecas turut disertakan di dalam kotak pembelian dengan kabel berjenis USB-A ke USB-C. Sistem audio yang dibekalkan adalah sejenis stereo yang menyokong Dolby Atmos. Namun begitu, ia tidak mempunyai sokongan untuk bicu audio 3.5mm yang sepertinya akan menyukarkan sesetangah pihak untuk mendapatkan aksesori tambahan. Anda juga boleh membaca artikel ulasan penuh kami mengenai Realme GT Neo 3 menerusi pautan yang disediakan.


Apa Ada Di Dalam Kotak?

Realme GT Neo 3 Naruto Edition tiba dengan kotak skrol khas yang menarik. Ia tidak telalu besar dan mudah untuk dikendali. Ia menggunakan bahan berasaskan plastik bewarna hijau pada bahagian dalam. Sementara itu, luarannya pula dilengkapi kain seakan kulit yang bewarna merah burgandy. Pada awalnya, kami berpendapat yang mana dengan membuka kain luaran berkenaan seterusnya akan mendedahkan keseluruhan produk. Ternyata silap dan ia hanyalah untuk tujuan perhiasan semata-mata. Cara yang betul adalah dengan membuka penutup pada salah satu bahagian sisi beg gulungan tadi.

Seterusnya, terdapatnya kotak berwarna hitam yang perlu ditarik untuk melihat kandungannya. Kotak ini mengandungi telefon pintar Realme GT Neo 3 Naruto Edition. Kemudian ia turut diikuti dengan beberapa aksesori lain seperti kepala pengecas, kabel, pencungkil sim dan manual pengguna. Menariknya di sini, pencungkil SIM berkenaan turut direka semua untuk dipadankan dengan tema peranti pintar itu sendiri. Kemudian, kabelnya berwarna hitam dengan sedikit hiasan berona jingga. Kerangka pula sejenis jernih, namun terdapat juga beberapa pilihan lain yang tersedia.


Bertemakan Naruto Di Era Shippuden

Realme GT Neo 3 Naruto Edition menggunakan tubuh dengan kombinasi warna jingga dan hitam yang sepadan dengan jumpsuit ikonik yang dipakai oleh Uzumaki Naruto sewaktu era Shippudden. Ketika pelancaran di China tempoh hari, kami beranggapan panel belakangnya menggunakan bahan berasan kulit vegan. Ternyata tidak, sebaliknya ia adalah sejenis matte yang sepatutnya membantu untuk cengkaman peranti lebih baik. Namun begitu, ia terlalu licin untuk dipegang.

Gabungan permukaan sebegini dan peranti yang agak berat membuatkannya amat mudah terlucut dari genggaman. Sebuah kerangka plastik turut disertakan dengan setiap pembelian dan kami menyarankan anda untuk menggunakannya sepanjang masa. Kerangka ini bukan sahaja membuatkan peranti lagi mudah untuk dipegang, malahan turut mengelakkan panel belakangnya dicemari oleh kotoran. Dalam masa sama, ia juga hanyalah kerangka plastik jernih yang langsung tidak menghalang seni dekoratif pada panel belakang.

Seterusnya, bonggol kamera pula diperbuat daripada plat logam berwarna kelabu. Ia menampilkan rekaan seperti pengikat kepala Naruto. Kalau perasan, terdapatnya simbol daun yang mewakili kampung Konoha iaitu kampung asal Naruto sendiri. Dalam masa sama, terdapat juga penjenamaan Realme dan Naruto bersama-sama dengannya. Susunan kamera bagaimanapun masih sama seperti yang terdapat pada variasi standard. Di mana, ia menggunakan sistem tri-kamera di belakang yang disusun dalam bentuk segi tiga. Salah satu daripada sensor mempunyai saiz yang besar, selain turut dilengkapi LED Flash berbentuk memanjang di bawahnya.


Kesimpulan

Sejujurnya, Realme GT Neo 3 Naruto Edition adalah sebuah telefon pintar yang benar-benar cool! Khususnya buat peminat setia fanatik siri anime Naruto. Perlu kami akui, kami juga berasa agak teruja sewaktu awal pengenalannya di China, tempoh hari. Pada kami, Realme GT Neo 3 Naruto Edition memiliki aura yang tersendiri. Ia bukan sahaja tampil dengan rekaan yang berbeza malah mampu membuat orang ramai tidak berpaling sewaktu memandangnya.

Tapi sayang seribu kali sayang, telefon pintar ini tidak akan ke pasaran Malaysia. Pihak Realme Malaysia telah memaklumkan yang mana mereka tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membawa masuk ke pasaran tempatan atas sebab tertentu. Sebaliknya, mereka kini lebih memfokuskan terhadap penawaran Realme GT Neo 3 (80W) yang baru sahaja dilancarkan dengan tanda harga RM2,099 dengan pilihan warna seperti Nitro Blue dan Spirit White.

Komen