Satu perkara baharu yang saya lakukan semasa pandemik ialah mula menggunakan semula peranti kelas pertengahan selepas bertahun lamanya hanya mengulas peranti mercu. Keputusan diambil kerana terasa bosan mengulas peranti mercu yang hampir tiada perbezaan antara satu sama lain dan kelemahan yang tidak begitu ketara. Ini menyukarkan proses menulis ulasan peranti yang menarik.

Peranti keluaran Realme adalah antara yang saya mula ulas ialah Realme C25s – sebuah peranti kelas asas. Menarik sekali ia tidak begitu mengecewakan. Kemudian saya berpeluang mengulas pula Realme 9 Pro+ yang sekali lagi adalah lebih baik dari jangkaan awal. Kali ini saya mengulas pula Realme GT NEO 3 dengan spesifikasi yang lebih tinggi berbanding dua peranti tadi. Adakah pengalaman baik saya menggunakan peranti Realme akan berterusan? Teruskan membaca ulasan ringkas ini.
Spesifikasi Dan Rekaan
Realme GT NEO 3 | |
---|---|
Skrin | 6.7″ AMOLED FHD+, 120Hz, HDR10+ |
Pemproses | MediaTek Dimensity 8100 (5nm) |
Cip | 4 X 2.85 GHz Cortex-A78 4 X 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G610 MC6 |
RAM | 8GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 256 GB UFS 2.2 |
Kamera Utama | 50+8+2 Megapixel f/1.8+f/2.3+f/2.4, OIS |
Kamera Swafoto | 16 Megapixel f/2.5 |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 80W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM 2099 (8/256GB) |
Realme GT NEO 3 bolehlah dilihat sebagai model Realme GT2 Pro yang lebih mampu milik dan oleh sebab itu ia mempunyai beberapa persamaan dengan model tersebut. Skrin 6.7″ AMOLED dengan sokongan 120Hz dan HDR10+ digunakan semula. Skrin cantik, rata dan mengesan sentuhan dengan baik. Kehadiran lubang kamera adalah sedikit mengganggu apabila menonton video tetapi ini ialah antar masalah dunia pertama yang sudah saya biasakan kerana hampir semua peranti di pasaran sekarang mempunyai lubang kamera.

Paparan warna adalah amat memuaskan dan kerana ia panel AMOLED, kandungan yang dipaparkan pada skrin masih lagi jelas kelihatan di bawah sinaran matahari. Sebuah pengimbas cap jari juga diletakkan di bawah skrin dan ia berfungsi dengan pantas walaupun saya difahamkan ia dari jenis optikal. Pengimbas cap jari ini juga hadir dengan pengimbas nadi terbina yang diakses menerusi menu Realme Labs.
Saya tidak mempunyai sebarang isu dengan skrin kerana ianya tidak mengecewakan. Bezelnya juga nipis walaupun ini bukan sebuah peranti mercu premium.
Yang mengecewakan ialah pelindung skrin yang disertakan dengan pembelian. Ia tidak begitu baik kerana tercalar dan terkoyak selepas beberapa hari diulas. Maka saya cabut pelindung skrin ini dan sarankan anda membeli pelindung skrin baharu yang lebih tahan lasak jika perlu.

Rekaan peranti yang saya ulas adalah amat agresif dimana panel biru dipadankan dengan dua jalur lumba. Terdapat juga pilihan warna lain hitam dan putih. Mengingatkan saya kepada rekaan kereta Shelby Cobra yang dikeluarkan pada dekad 60an. Dengan “belang tarung” di belakang, ia seakan memberikan anda petanda bahawa ini sebuah peranti yang berprestasi tinggi.
Panel diperbuat daripada bahan plastik yang membuatkannya tidak memerangkap kotoran dengan mudah tetapi tidak terasa premium. Bonggol kamera adalah sederhana besar mengikut standard 2022 dan juga tidak terlalu tinggi. Jika kehadiran bonggol dan belang tarung di panel belakang kurang anda gemari, Realme memberikan sebuah kerangka silikon berwarna hitam yang menutup kedua-dua elemen ini dengan cukup efektif.

Butang laras kuasa dan suara terletak di sisi kanan. Port pengecas, talam SIM dan salah satu dari dua speaker stereo diletakkan di bahagian bawah. Secara keseluruhan peranti selesa dalam tangan. Jika ada kekurangan ialah peranti ini tidak kalis air, tiada bicu audio 3.5mm dan tiada sokongan untuk kad mikroSD. Inilah hakikat majoriti peranti moden Android di tahun 2022 dengan banyak ciri yang dahulunya standard kini tidak disertakan lagi.

Perisian
Sistem operasi Android 12 digunakan dengan pelancaran Realme UI 3.0 yang terkini. Pelancar ini adalah ringan dan amat mirip Android asli. Tetapi ciri tambahan seperti RAM Expansion yang menambah 2/3/5 GB RAM ditambah secara maya dengan sebahagian storan dikorbankan turut disertakan bagi membezakannya dengan sebuah Pixel. Dari segi rekaan, pelancar ini kelihatan kemas dan tidak berserabut. Paling penting sekali masih beroperasi walaupun peranti hanya dibekalkan 8GB RAM.

Dengan penggunaan Android 12, peranti menyokong sistem tema warna automatik yang berubah mengikut latar belakang Material You. Ciri yang cukup menarik kerana kesemua elemen antaramuka boleh dikustomasi dengan cukup mudah. Antaramuka juga mirip dengan Android stok bagi dengan ikon minimalis. Sepanjang tempoh ulasan peranti berjalan amat lancar tanpa sebarang isu yang kronik.

Cir tambahan yang diberikan oleh Realme ialah:
- Flexible Windows – Memaparkan beberapa aplikasi dalam tingkap terapung.
- Gestur – Sokongan pelbagai gestur untuk mengawal peranti dan melakukan tangkapan layar.
- Kids Space – Mod untuk kanak-kanak dengan sesetengah aplikasi boleh dikunci.
- Smart Sidebar – Pintasan pantas ke lapan aplikasi pilihan terus dari talam sisi.
- Quick Launch – Melancarkan tiga aplikasi popular terus dari skrin kunci.
- Simple Mode – Mod mudah untuk warga tua dengan antaramuka lebih besar dan deringan lebih lantang.
- Edge Lighthing – Lampu notifikasi yang menggunakan sisi skrin secara menyeluruh.
- Always on Display – Paparan maklumat penting walaupun skrin dimatikan.
Penanda Aras
Markah penanda aras yang dicatatkan adalah seperti di bawah:
- Geekbench 5 – 963 markah (1 teras)/ 4008 markah (multi teras)
- Antutu 3D – 742,992 markah
Skor yang dicatatkan Dimensity 8100 adalah setanding dengan Snapdragon 870. Ini ialah amat baik baik MediaTek yang lima tahun lalu menjadi bahan jenaka kerana cip mereka dilihat sebagai murah tetapi lemah. Siri Dimensity berjaya membersihkan arang di muka MediaTek dengan ia bukan sahaja mampu memberikan prestasi yang tinggi tetapi pada harga yang lebih mampu milik. Malahan dalam ujian Geekbench 5, markah untuk multi-teras adalah lebih tinggi berbanding Snapdragon 8 Gen 1.

Tiada isu memainkan permua mercu seperti PUBG Mobile, Diablo Immortal dan COD Mobile pada tetapan yang tinggi. Lebih penting sekali ialah jumlah haba yang dikeluarkan selepas beberapa sesi MP berterusan juga lebih baik jika ingin dibandingkan dengan cip Snapdragon 8 Gen 1. Saya lebih mementingkan peranti yang sejuk di dalam tangan untuk keselesaan berbanding prestasi tinggi tetapi tangan terasa seperti akan terbakar.
Isu hanya muncul apabila ingin memasang aplikasi Netflix. Cip MediaTek tidak diuji sepenuhnya untuk menggunakan aplikasi popular ini. Akibatnya ia tidak boleh dimuat turun di Play Store. Aplikasi juga enggan beroperasi apabila dipasang secara sideloading. GT NEO 3 ialah peranti yang baik untuk gaming tapi mempunyai masalah untuk memasang sesetengah aplikasi penstriman video.

Telefoni dan GPS
Peranti dilengkapi modem 5G sub-6GHz tetapi pada waktu ini ia masih belum disokong oleh DNB. Sepanjang tempoh ulasan hanya rangkaian LTE sahaja dapa dapat diuji dan tiada isu ditemukan. Panggilan telefon adalah terang dengan wujud juga sokongan VoWiFI tetapi tiada pula sokongan VoLTE. Kelajuan WiFi juga amat memuaskan kerana sokongan sehingga WiFI 6.
Prestasi GPS sebaik prestasi selular. Lokasi dapat dijejak dengan mudah apabila aplikasi dibuka. Sambungan GPS tidak pernah terputus walaupun ditengah-tengah Kuala Lumpur antara bangunan tinggi.
Kamera
Sistem trikamera yang digunakan dilengkapi sensor sudut lebar, ultra sudut lebar dan makro. Ini adalah amat sama dengan yang ditemukan pada Realme 9 Pro+ sebelum ini. Lensa sudut lebar utama dipadankan dengan sensor Sony IMX766 dengan OIS seperti yang digunakan pada Oppo Find X5 Pro.
Jarang sekali sebuah peranti gaming dilengkapi dengan sistem kamera yang baik lengkap dengan OIS. Kesemua ciri menarik yang ada pada Realme 9 Pro+ juga disertakan pada GT NEO 3. Berita baik kerana pada hemat saya sistem kamera ini adalah antara yang terbaik bagi sebuah peranti bukan mercu.

Ciri menarik pada aplikasi kamera adalah mod malam, potret, panaroma dan Street Photography. Street Photography membolehkan gambar yang artistik diambil. Antaranya ialah Neon Trail yang mengikut laluan lampu kenderaan yang memanjang dan juga Light Painting. Berikut ialah antara sampel gambar yang diambil menggunakan GT NEO 3.






Bateri
Bateri 5000 mAh yang diberikan adalah besar bagi sebuah peranti dengan cip hampir mercu. Saya mampu mendapatkan waktu operasi sehingga 16 jam dalam penggunaan yang sederhana dengan SOT sekitar 8 jam. Dalam penggunaan lebih berat dengan permua dimainkan berterusan, saya mampu bertahan sekitar 5 jam sahaja.
Ini adalah waktu penggunaan yang setanding dengan peranti mercu Android yang lain. Dengan pengecas pantas 80W yang disertakan dengan setiap pembelian, proses mengecas semula bateri hanya mengambil masa sekitar 40 minit. Ini adalah amat pantas waktu mengecas yang amat pantas.
Audio
Terdapat speaker stereo yang menyokong audio Dolby Atmos tetapi hanya apabila ia disambungkan ke fon kepala atau fon telinga. Mod ini tidak boleh digunakan pada speaker fizikal yang terletak di bawah dan atas peranti. Adalah lebih baik jika Atmos boleh digunakan pada speaker fizikal bagi memberikan pengalaman gaming yang lebih baik. Tetapi hakikatnya ialah pada peranti yang lebih mampu milik inilah yang berlaku untuk mengurangkan kos.

Pesaing
Realme GT Neo 3 | Black Shark 5 | Realme GT2 Pro |
6.7″ AMOLED, 120Hz, 1080 x 2412, HDR10+,(~394 ppi) | 6.67″, AMOLED, 144Hz, 1080 x 2400, (~395 ppi) | 6.7″ AMOLED, 120Hz, 1080 x 2412, HDR10+,(~394 ppi) |
Dimensity 8100 (5nm) 4 x 2.85 GHz Cortex A78 4 x 2.0 GHz Cortex A55 | Snapdragon 870 (7nm) 1 x 3.2 GHz Kryo 585 Prime 3 x 2.42 GHz Kryo 585 Gold 4 x 1.8 GHz Kryo 585 Silver | Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1 x 3.2 GHz Cortex-X2 3 x 2.5 GHz Cortex-A710 4 x 1.8 GHz Cortex-A510 |
Mali-G610 MC6 | Adreno 650 | Adreno 730 |
8 GB RAM 256 GB UFS 3.1 | 8/12 GB RAM 128/256 GB UFS 3.1 | 12GB RAM 256GB UFS 3.1 |
50MP, f/1.9, OIS (utama) 8MP, f/2.3, (ultra-lebar) 2MP, f/2.4 (makro) | 64MP, f/1.8 (utama) 13MP, f/2.4 (sudut ultra-lebar) 2MP, f/2.4 (makro) | 50MP, f/1.8, OIS (utama) 50MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar) 3MP, f/3.3 (mikroskop) |
16MP | 16 MP | 32 MP (f/2.4) |
Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5000 mAh Pengecasan pantas 80W | 4650 mAh Pengecasan pantas 120W | 5000 mAh Pengecasan pantas 65W |
RM2099 (8/ 256 GB) | RM2299 (8GB/128 GB) | RM2999 (12/256 GB) |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Realme GT Neo 3.
- 1x Kerangka silikon lutcahaya.
- 1x Pengecas 80W SuperDart.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pin SIM.
- 1x Manual
Kesimpulan
Realme GT NEO 3 dipasarkan sebagai sebuah peranti gaming. Memang layak ia dikategorikan sebagai peranti gaming kerana prestasinya yang amat baik khususnya dari segi menjalankan permua pada tetapan tinggi, kadar bingkai yang tinggi dan pengawalan haba yang baik. Tiada isu pemanasan melampau saya alami sepanjang tempoh ulasan. Malahan ia mungkin peranti gaming paling sejuk pernah diulas setakat ini. Yang menjadikannya unik ialah masih hadir dengan sistem kamera yang senonoh. Gambar yang diambil amat baik berbanding peranti gaming lain yang sekadar ala kadar prestasi kameranya.

Tetapi ia masih bukan sebuah peranti gaming sebenar kerana tidak mempunyai butang bahu tambahan atau aksesori khusus gaming seperti yang dapat dilihat pada peranti Black Shark, ROG dan Red Magic.
Sungguhpun begitu pada harga RM2099 sebuah, saya boleh sarankan Realme GT NEO 3 kepada mereka yang mencari peranti gaming yang berfungsi seperti diiklankan. Yang negatif hanyalah tiada bicu audio dan tiada butang gaming tambahan. Tetapi pada harga yang ditawarkan dan prestasi lebih baik berbanding Snapdragon 870 saya rasakan kekurangan ini boleh dimaafkan.
Pro
- Skrin besar dengan paparan warna baik dan 120Hz
- Prestasi MediaTek Dimensity 8100 adalah amat baik dan tidak panas.
- Pengecasan pantas sehingga 80W.
- Kemampuan fotografi yang baik untuk sebuah telefon untuk permua.
- Antaramuka seakan Android asli.
Kontra
- Tiada bicu audio.
- Masalah memasang Netflix.
- Terdapat beberapa aplikasi gendut terpasang.
- Dolby Atmos tidak disokong pada speaker stereo fizikal.
