Cari @ Amanz

Realme 9 Pro dan 9 Pro+ telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia semalam. Kedua-duanya dilengkapi spesifikasi kelas pertengahan dengan harga jualan yang cukup kompetitif. Di antara kedua-dua peranti ini, Realme 9 Pro+ adalah model yang dipasarkan sebagai yang lebih premium dan hadir dengan ciri menarik waran tubuh yang berubah dengan haba. Pasaran peranti kelas pertengahan di awal tahun 2022 semakin kompetitif dan adakah dengan gimik ini mampu membuatkan Realme 9 Pro+ sebagai peranti pilihan?

Spesifikasi Dan Rekaan

Realme 9 Pro+
Skrin6.4″ SAMOLED
FHD+, 90Hz, HDR10+
PemprosesMediaTek Dimensity 920 (6nm)
Cip2 X 2.5 GHz Cortex-A78
6 X 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G68 MC4
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman256 GB UFS 2.2
Kamera Utama50+8+2 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4, OIS
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.4
Bateri4500 mAh
Pengecasan berwayar 60W
SIM/TelefoniDwi SIM / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 1599 (8/256GB)

Mulakan dengan bismillah dan mari bercakap mengenai skrin 6.4″ SAMOLED dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 90Hz. Skrin adalah terang, tajam dan responsif kepada sentuhan. Warna yang dipaparkan pada skrin adalah hidup tanpa sebarang isu color banding dalam ujian yang telah dilakukan. Lubang kamera pada bucu atas kiri sebenarnya tidak begitu mengganggu apabila menonton video 16:9. Tetapi pada nisbah 18:9 misalnya ianya agak besar.

Skrin juga menyokong paparan HDR 10 dengan keterangan yang agak memuaskan. Ia tidak akan dapat menandingi keterangan S22 Ultra atau iPhone 13 Pro Max tetapi perbandingan ini adalah tidak adil kerana dua peranti tersebut adalah kelas mercu paling premium. Aplikasi yang disokong mod HDR adalah YouTube sahaja pada waktu ini. Netflix dan Disney+ Hotstar hanya disokong dalam mod HD sahaja tanpa HDR.

Isu yang lebih besar sebenarnya terletak pada keterangan di bawah matahari yang terik. Walaupun menggunakan panel SAMOLED, skrin sukar dibaca apabila matahari secara figuratif terletak sehasta dari ubun-ubun kepala. Pada keterangan maksimum sekalipun ikon dan teks pada skrin tidak boleh dibaca dengan mudah. Ia masih lebih baik berbanding LCD tetapi ini membuktikan bahawa tidak semua skrin OLED pada telefon pintar mampu digunakan di bawah cahaya matahari yang terik.

Isu yang lebih kecil ialah bahagian bezel dagu yang lebih tebal berbanding tiga sisi yang lain. Sebagai insan yang menyukai keseimbangan, bezel yang tebal ini sedikit sebanyak mencacatkan kecantikan “muka” peranti.

Kekecewaan kami ini terubat kerana sekurang-kurangnya Realme tidak lokek memberikan pengimbas cap jari yang terletak di bawah skrin. Ia dari jenis optikal dan tidak begitu pantas. Ia juga diletakkan lebih ke bawah berbanding yang ditemukan pada peranti Samsung dan Oppo. Kami merasakan selepas teknologi ini sudah digunakan selama beberapa tahun, pengeluar sepatutnya sudah tahu pengimbas cap jari perli diletakkan 1.5″ dari bawah skrin bukan 2mm dari bezel bawah.

Oh tidak dilupakan sensor pengimbas cap jari Realme 9 Pro+ turut boleh mengimbas nadi pengguna. Dari apa yang dapat kami lihat bacaan yang diambil sedikit lebih tinggi berbanding menggunakan jam tangan pintar yang kamu gunakan. Satu lagi ciri menarik yang dahulunya wujud pada peranti mercu Samsung tetapi kini muncul pula pada peranti kelas pertengahan Realme.

Peranti dijana cip lapan-teras MediaTek Dimensity 920 yang dihasilkan menerusi teknologi 6nm. Ia terdiri daripada dua teras Cortex-A78 dan enam teras Cortex-A55 (berasaskan Cortex-A55) dengan GPU Mali-G68 MC4. Ini meletakkan ia dalam kelas sama dengan Snapdragon 695 yang digunakan pada Realme 9 Pro.

Ini dipadankan pula dengan memori 8GB RAM dan storan 256GB di Malaysia. Tiada model lain dibawa masuk oleh Realme Malaysia. Jika anda merasakan saiz RAM tidak memuaskan, ciri Dynamic RAM Expension disertakan dengan pilihan penambahan 2GB, 3GB atau 5GB RAM secara maya. Kekurangan storan? Malang sekali peranti tidak hadir dengan slot untuk kad mikro SD.

Bateri yang digunakan pula berkapasiti 45000 mAh yang menyokong pengecasan pantas 60W menerusi port USB-C. Saiz bateri yang besar untuk peranti kelas ini dan sistem pengecasan yang lebih pantas dari biasa dengan kemampuan mengecas dalam masa 45 minit. Realme menyertakan pengecas dengan sambungan USB-A ke USB-C dengan setiap pembelian. Ciri tambahan lain ialah bicu audio 3.5mm pada bahagian bawah dan sistem audio Dolby Atmos stereo.

Sistem kamera pula terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 8MP dan makro 2MP di bahagian belakang. Hanya lensa sudut lebar sahaja dilengkapi sistem OIS tetapi ini sudah cukup baik kerana penggunaannya tidak standard pada peranti kelas ini. Kamera diletakkan dalam bonggol yang agak tingi menyebabkan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Pada bahagian hadapan pula sensor 16MP digunakan dengan kamera diletakkan pada dalam lubang kamera di bucu atas kiri.

Keseluruhan kerangka diperbuat daripada logam tetapi dengan panel belakang plastik yang boleh b berubah warnanya. Model yang diulas berwarna biru tetapi berubah menjadi warna merah jambu apabila ia memanas. Ciri yang agak unik tetapi mungkin hanya sekadar gimik. Peranti amat selesa di dalam tangan kerana tidak terlalu berat. Butang kuasa diletakkan pada sisi kanan dan laras audio pula pada sisi kiri. Sebuah talam dwi-SIM bersaiz nano juga terletak pada sisi kiri peranti.

Peranti mempunyai rekaan serta kemasan yang amat baik bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Kekurangan yang ada hanyalah ia tidak mempunyai sebarang tahap ketahan kalis air.

Perisian

Sistem operasi Android 12 digunakan dengan pelancaran Realme UI 3.0 yang terkini. Semasa sedang mengulas kemas kini diterima bagi mengaktifkan ciri tambahan seperti Dynamic RAM Expension yang kami sebutkan beberapa perenggan di atas.

Realme mengesahkan siri Realme 9 akan diberikan sokongan kemas kini versi Android selama dua tahun dan tampalan sekuriti selama tiga tahun. Ini bukanlah sokongan yang terbaik tetapi kami rasakan munasabah untuk peranti Android kelas pertengahan.

Dengan penggunaan Android 12, peranti menyokong sistem tema warna automatik yang berubah mengikut latar belakang Material You. Ciri yang cukup menarik kerana kesemua elemen antaramuka boleh dikustomasi dengan cukup mudah. Antaramuka juga mirip dengan Android stok bagi dengan ikon minimalis. Sepanjang tempoh ulasan peranti berjalan amat lancar tanpa sebarang isu yang kronik.

Cir tambahan yang diberikan oleh Realme ialah:

  • Flexible Windows – Memaparkan beberapa aplikasi dalam tingkap terapung.
  • Gestur – Sokongan pelbagai gestur untuk mengawal peranti dan melakukan tangkapan layar.
  • Kids Space – Mod untuk kanak-kanak dengan sesetengah aplikasi boleh dikunci.
  • Smart Sidebar – Pintasan pantas ke lapan aplikasi pilihan terus dari talam sisi.
  • Quick Launch – Melancarkan tiga aplikasi popular terus dari skrin kunci.
  • Simple Mode – Mod mudah untuk warga tua dengan antaramuka lebih besar dan deringan lebih lantang.
  • Edge Lighthing – Lampu notifikasi yang menggunakan sisi skrin secara menyeluruh.
  • Always on Display – Paparan maklumat penting walaupun skrin dimatikan.

Penanda Aras

Markah penanda aras yang dicatatkan adalah seperti di bawah:

  • Geekbench 5 – 813 markah (1 teras)/ 2314 markah (multi teras)
  • Antutu 3D – 494.818 markah

Mengikut skor yang dicatatkan, Dimensity 920 adalah lebih berkuasa jika dibandingkan dengan sebuah Snapdragon 695 yang mencatatkan 687/2023 markah dalam ujian Geekbench 5 dan 404.530 markah dalam ujian Antutu 3D. Ini ialah markah yang kami catatkan dalam ujian ke atas Redmi Note 11 Pro 5G. Ini menjawab persoalan mengapa Realme 9 Pro+ dijual pada harga lebih tinggi berbanding Realme 9. Jika prestasi adalah penting bagi anda, 9 Pro+ ialah peranti yang lebih berkuasa.

Sungguhpun begitu markah penanda aras yang dicatatkan ini adalah sekitar 40% lebih rendah berbanding Snapdragon 8 Gen 1. Dalam dunia sebenar peranti boleh menjalankan permua berat PUBG Mobile dan COD Mobile pada tetapan sederhana sahaja. Peranti juga akan menjadi sedikit suam selepas sesi permainan berat sekitar 40 minit tetapi tidaklah sehingga ia tidak selesa dipegang.


Telefoni dan GPS

Peranti dilengkapi modem 5G sub-6GHz tetapi pada waktu ini ia masih belum disokong oleh DNB. Sepanjang tempoh ulasan hanya rangkaian LTE sahaja dapa dapat diuji dan tiada isu ditemukan. Panggilan telefon adalah terang dengan wujud juga sokongan VoWiFI tetapi tiada pula sokongan VoLTE. Kelajuan WiFi juga amat memuaskan kerana sokongan sehingga WiFI 6.

Prestasi GPS sebaik prestasi selular. Lokasi dapat dijejak dengan mudah apabila aplikasi dibuka. Sambungan GPS tidak pernah terputus walaupun ditengah-tengah Kuala Lumpur antara bangunan tinggi.


Kamera

Sistem trikamera yang digunakan dilengkapi sensor sudut lebar, ultra sudut lebar dan makro. Sistem yang standard pada sebuah peranti kelas pertengahan. Zum optikal adalah sehingga 2X sahaja tetapi zum digital adalah sehingga 20X. Kelebihan paling ketara 9 Pro+ ialah kamera sudut lebarnya dilengkapi sistem penstabilan imej optikal (OIS) yang tidak diberikan kepada 9 Pro. Secara lazimnya gambar yang lebih tajam dan mod malam lebih baik boleh diambil apabila kamera dilengkapi OIS.

Sensor Sony IMX766 pada lensa sudut lebar juga adalah yang sama digunakan pada Oppo Find X5 Pro yang menjadikannya sensor kelas mercu. Penggunaan sensor makro 2MP masih lagi membingungkan kerana tahun demi tahun kita mempunyai bukti empirikal ia adalah sekadar membuang masa kerana hingar pada gambar yang tinggi.

Ciri menarik pada aplikasi kamera adalah mod malam, potret, panaroma dan Street Photography. Street Photography membolehkan gambar yang artistik diambil. Antaranya ialah Neon Trail yang mengikut laluan lampu kenderaan yang memanjang dan juga Light Painting.

Kualiti gambar yang mampu diambil kamera 9 Pro+ adalah lebih baik dari majoriti peranti kelas pertengahan yang kami uji di Amanz. Gambar tajam dengan penghasilan warna yang cukup baik kerana dibantu OIS. Mod HDR juga bijak mengawal dedahan walaupun lensa diarahkan terus ke matahari ketika waktu tengah hari.

Mod zum pula adalah hanya memuaskan sehingga 5x sahaja. Tanpa sistem periskop kemampuan zum yang baik adalah terhad. Sebagai contoh di bawah pada tetapan zum 10X gambar sudah menjadi terlalu pecah untuk sehingga kualitinya kurang memuaskan.


Bateri

Bateri 4500 mAh adalah agak besar dan peranti mampu bertahan sehingga 18 jam dalam penggunaan yang sederhana dengan SOT sekitar 7 jam. Waktu penggunaan yang memuaskan sebenarnya bagi peranti kelas pertengahan. Jika kehabisan bateri sekalipun pengecasan SuperDart 60W akan dapat mengecas semula bateri dalam masa 45 minit yang adalah amat pantas.


Audio

Terdapat speaker stereo yang menyokong audio Dolby Atmos tetapi hanya apabila ia disambungkan ke fon kepala atau fon telinga. Mod ini tidak boleh digunakan pada speaker fizikal yang terletak di bawah dan atas peranti. Kelantangan audio adalah baik cuma mula berkecamuk pada tetapan audio yang lebih tinggi. Untuk pengalaman audio yang baik kami sarankan muzik didengari dengan aksesori audio.


Pesaing

Realme 9 Pro+Vivo V23 5GOppo Reno7 5G
6.4″ AMOLED, 90Hz,
1080 x 2400, (~411 ppi)
6.44″, AMOLED, 90Hz,
1080 x 2400, (~409 ppi)
6.43″ AMOLED, 90Hz,
1080 x 2400, HDR10+, (~409 ppi)
Dimensity 920 (6nm)
2 x 2.5 GHz Cortex A78
6 x 2.0 GHz Cortex A55
Dimensity 920 (6nm)
2 x 2.5 GHz Cortex A78
6 x 2.0 GHz Cortex A55
Dimensity 900 (6nm)
2 x 2.4 GHz Cortex A78
6 x 2.0 GHz Cortex A55
Mali-G68 MC4Mali-G68 MC4Mali-G68 MC4
8 GB RAM
256 GB UFS 2.1
12 GB RAM
256 GB UFS 2.2
8GB RAM
256GB UFS 2.2
50MP, f/1.8 (utama)
8MP, f/2.2, (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
64MP, f/1.9 (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
64MP, f/1.7 (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
16MP50 MP
8MP
32 MP (f/2.5)
Bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio MonoAudio Mono
4500 mAh
Pengecasan pantas 60W
4200 mAh
Pengecasan pantas 44W
4500 mAh
Pengecasan pantas 65W
RM1599 (8/ 256 GB)RM2099 (12GB/256 GB)RM1999 (8/256 GB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Realme 9 Pro+
  • 1x Kerangka silikon lutcahaya.
  • 1x Pengecas 2 pin 60W SuperDart.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Manual

Kesimpulan

Berdasarkan jadual di atas anda boleh lihat sendiri bagaimana Realme, Oppo dan Vivo mengeluarkan peranti yang seakan sama dengan beberapa perubahan kecil yang memberikan kelebihan yang kecil untuk setiap peranti. Di antara ketiga-tiga ini kami merasakan Realme 9 Pro+ adalah peranti yang paling berbaloi bukan sahaja kerana harganya yang lebih munasabah tetapi juga pada prestasi kamera.

Tubuh boleh berubah warna memang menarik tetap ini juga ditawarkan pada Vibo V23 5G. Kelebihan paling ketara ialah kamera utama 9 Pro+ yang dilengkapi OIS. Kerap kali kami katakan OIS ialah ciri yang membantu mengambil gambar yang bukan sahaja lebih tajam tetapi mod malam yang lebih senonoh. Tak berakhir di situ, 9 Pro+ juga mempunyai audio stereo dan bicu audio tidak seperti dua pesaingnya.

Peranti juga berfungsi dengan lancar lengkap dengan Android 12. Kami percaya pengalaman penggunaan yang lancar adalah penting bagi kesemua pengguna dan 9 Pro+ tidak mengecewakan. Antara tiga peranti di bawah payung BBK Electronics, Realme 9 Pro+ adalah pilihan yang paling selamat pada harga RM1599 sebuah.

Pro

  • Skrin besar yang memaparkan warna yang baik.
  • Rekaan premium dengan panel berubah warna.
  • Pengecasan pantas sehingga 60W.
  • Kemampuan fotografi yang baik untuk kelasnya.
  • Bicu audio 3.5mm.

Kontra

  • Skrin sukar dibaca di bawah matahari terik.
  • Bonggol kamera agak besar.
  • Kamera makro 2MP masih mengecewakan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd