Ulasan RedmiBook 15 – Komputer Kerja Yang Mampu Milik

Diterbitkan pada Jun 20, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Komputer riba masih lagi relevan dalam penggunaan seharian walaupun ada golongan yang mengatakan sudah tiba masanya untuk berubah ke tablet. Tetapi sesiapa yang pernah menggunakan tablet dan komputer riba pastinya arif kedua-dua peranti ini mempunyai kelebihan serta kekurangannya yang tersendiri.

RedmiBook 15 dilancarkan di Malaysia dua minggu lalu pada harga bermula RM1899. Kami diberikan unit ulasan dengan cip Intel Core i5 yang dijual pula pada harga RM2799 yang adalah lebih murah berbanding sebuah tablet Samsung Galaxy Tab S8 dan iPad Air M1 yang dijual sebagai tablet untuk produktiviti.

Ini menimbulkan persoalan sama ada komputer riba mampu milik seperti RedmiBook masih lebih berbaloi ataupun lebih baik anda membelanjakan wang membeli sebuah tablet? Ulasan ini akan menjawab persoalan ini.

Spesifikasi Dan Rekabentuk

RedmiBook 15
Skrin15.6″ TN LCD, FHD, 60Hz
PemprosesIntel Core i5-11300H
GrafikIntel Iris Xe
RAM8GB DDR4 3200MHz
Muatan Dalaman512GB PCIe NVMe SSD
Kamera720p
I/O1 x USB 2.0
2 x USB 3.2 Gen 1
1 x HDMI 1.4
1 x RJ45 (LAN port)
1 x Bicu audio 3.5mm
HDMIYa
Pembaca KadYa
ImbasanTiada
SIMTiada
Bateri46WHr
Harga JualanRM 2799

Plastik, plastik dan lebih banyak plastik! Bagi mengurangkan kos keseluruhan tubuh RedmiBook 15 diperbuat daripada bahan plastik dengan kemasan tidak berkilat. Kotoran tidak mudah diperangkap kerana kemasan ini tetapi ia membuatkan komputer riba kelihatan murah. Ia hanya ditawarkan dalam warna kelabu gelap yang merupakan warna biasa komputer riba di pasaran.

Tubuh adalah agak lembut dengan ia dengan mudah melentur apabila ditekan. Apabila bahagian belakang panel skrin ditekan, ia membuatkan warna pada skrin berubah. Komputer riba ini tidak mempunyai tubuh yang kukuh tetapi penggunaan bahan plastik membuatkan ia ringan – hanya 1.8 kg – untuk sebuah komputer riba 15″.

Mari bercakap mengenai skrin. Ia adalah amat sebesar 15.6″ tetapi dari jenis panel TN LCD dengan sokongan resolusi HD penuh dan kadar segar semula 60Hz. Tiada sokongan skrin sesentuh diberikan dengan bezel yang tebal digunakan pada keeempat-empat bucu. Ini bukanlah isu besar sebenarnya kerana skrin masih lagi besar.

Isu paling besar ialah penggunaan panel TN. Ia mempunyai sudut pandangan yang sangat tragis. Jika skrin tidak dilihat pada sudut 90 darjah dari mata, kesemuanya menjadi kelabu sehingga sukar dibaca. Pada sudut pandangan paling optimum sekalipun warna kurang bermaya dan skrin tidak cukup terang membuatkannya sukar digunakan di luar atau dalam pejabat yang terang.

Engsel membenarkan skrin dibuka ke sekitar 120 darjah. Ini masih belum mencukupi untuk mendapatkan sudut pandangan yang baik apabila komputer diletakkan pada riba untuk menaip. Satu lagi isu yang boleh kami katakan agak kronik ialah engsel adalah dari jenis memanjang dengan terdapat ruang yang menyebabkan tangan kami tersepit ketika cuba membuka penutup. Engsel yang sama walau bagaimanapun cukup kukuh kerana memastikan skrin tidak bergoyang ketika menaip.

Di belakang engsel ini terdapat lubang pengudaraan untuk sistem penyejukan. Kedudukannya yang tersorok ini membuatkan tiada isu bunyi kipang penyejuk dan lebih penting lagi menghembuskan udara panas jauh dari tubuh pengguna.

Pilihan I/O adalah agak mewah dengan 1x USB-A 2.0, 2x USB-A 3.2 Gen 1, 1x HDMI 1.4, 1x RJ45, 1x bicu audio 3.5mm dan 1x pembaca kad SD. Pengecasan hanya boleh menggunakan kepala AC tanpa sebarang sokongan USB-C. Tiada juga port Thunderbolt 4 yang sedikit mengecewakan kerana Infinix InBook X1 Pro yang juga mampu milik dilengkapi satu port USB-C untuk pengecasan dan sambungan kepada monitor.

Papan Kekunci

Papan kekunci adalah dari jenis chicklet yang diperbuat daripada plastik keras. Permukaannya sedikit kasar tetapi memberikan pengalaman menaip yang baik kerana pergerakan kekunci yang tidak begitu cetak. Konfigurasinya mirip dengan yang digunakan pada sebuah papan kekunci Apple Magic Keyboard cuma kami kurang gemar dengan saiz butang shift yang agak kecil.

Tiadanya lampu terbina juga adalah mengecewakan kerana kami kerap menaip dalam situasi gelap atau malap khususnya ketika dalam kapal terbang. Kami merasakan lampu pada papan kekunci perlu menjadi ciri standard pada komputer riba moden. Ramai yang bekerja dalam gelap dan ciri ini akan dapat membantu proses menaip dalam apa jua situasi. Ketiadaannya pada komputer riba moden adalah seperti sebuah telefon pintar tanpa aplikasi lampu.

Pad Sesentuh

Pad sesentuh menggunakan Windows Precision Driver dan kesemua gesture untuk Windows 11 disokong. Saiznya sederhana besar sahaja dengan permukaan terasa seperti plastik. Walaupun sentuhan dan gestur dapat dikesan dengan jitu, permukaan pad sesentuh yang agak lembik membuatkan kadang kala ia mengesan klik yang tidak disengajakan. Ini membuatkan proses melakukan suntingan yang tepat dalam Photoshop misalnya hampir mustahil. Selepas berusaha selama dua hari untuk membiasakan diri dengan pad sesentuh ini kami mengangkat bendera putih dan berpindah terus ke sebuah tetikus. Pad sesentuh adalah antara komponen paling lemah komputer riba ini.

Penggunaan

Menggunakan RedmiBook 15 adalah memuaskan untuk tugasan yang memerlukan anda banyak menaip. Terdapat ruang yang luas untuk menempatkan tangan ketika menaip yang membuatkan pengalaman menaip amat selesa. Isu hanyalah seperti yang kami katakan di atas mencari sudut terbaik untuk menaip sedikit sukar kerana skrin panel TN yang kurang memuaskan. Anda ubah sikit posisi duduk dan skrin perlu diubah sudutnya. Ini adalah amat menyusahkan dan tidak berlaku pada komputer riba dengan skrin IPS LCD yang memberikan sudut pandangan lebih baik.

Menggunakan RedmiBook 15 pada paha juga selesa kerana ia tidak menjadi terlalu panas walaupun semasa menggunakan aplikasi berat seperti Photoshop. Ia sekadar suam-suam sahaja tetapi paha tidak terasa akan menjadi daging Bulgogi. Hanya perlu berhati-hati dengan kewujudan lubang udara di bawah RedmiBook 15. Selepas sekian lama menggunakan MacBook Air M1, kami terlupa akan kewujudannya sehingga hampir terletak komputer riba ini di permukaan meja yang sedikit basah di restoran mamak.

Bercakap juga dari sudut pandangan pemilik MacBook Air M1, bila agaknya Intel boleh menawarkan cip yang sejuk sepanjang masa seperti Apple M1? RedmiBook 15 memang tidak panas tetapi ia tidak sejuk serta senyap seperti sebuah MacBook Air M1.

Penanda Aras

Pemproses Intel Core i5-11300H hadir dengan empat teras dan dipadankan dengan memori sebesar 8GB RAM LPDDR4. Ini ialah spesifikasi yang cukup baik bagi sebuah komputer riba untuk kegunaan pejabat. Aplikasi Photoshop masih boleh dijalankan dengan memuaskan juga. Dengan hanya sekadar grafik terbina Intel Iris Xe, tidak banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan pada komputer riba ini.

Anda boleh cuba untuk memainkan permainan video dari 10 tahun yang lalu dengan baik. Permainan retro klasik seperti Command and Conquer, Hitman Absolution dan Commandos berjalan dengan baik. Tetapi semua percubaan menjalankan permainan yang lebih moden seperti Overwatch, Wolfenstein, Hitman dan GTA V akan membuatkan komputer ini meraung kerana terseksa. Walaupun pada tetapan paling rendah sekalipun mustahil untuk mendapatkan 30 FPS. RedmiBook 15 ialah sebuah komputer kerja bukan komputer untuk permainan video.

Audio

Kedua-dua speaker diletakkan di bahagian bawah dan audio yang dihasilkan tidak begitu terang. Walaupun diletakkan di atas permukaan meja, ia tidak cukup jelas dan lantang. Semuanya rata tanpa sebarang dinamik. Memang kedengaran seperti sebuah komputer riba kelas permulaan. Nasib baik masih ada bicu audio 3.5mm yang membolehkan aksesori audio lebih senonoh dipasang untuk pengalaman audio yang lebih memuaskan. Walaupun terdapat ruang yang besar bersebelahan papan kekunci, keputusan Redmi meletakkan speaker di bawah adalah langkah kurang bijak. Jika diletakkan di atas paha, lubang audio akan tertutup dan audio menjadi semakin tenggelam.

Bateri

Bateri 46 Whr diiklankan boleh bertahan sehingga 10 jam dengan sekali caj. Ini ialah hayat penggunaan yang kami rasakan teramat optimis. Walaupun pada keterangan skrin 50% serta penggunaan kuasa “balanced” kami hanya mampu menggunakan RedmiBook 15 sekitar 6-7 jam sahaja bergantung kepada jenis kerja yang dilakukan. Hanya sekadar keperluan kerja menaip menggunakan pelayar web dan menyunting beberapa gambar di Photoshop bateri komputer riba ini mengalir seperti air.

Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk mencapai hayat penggunaan selama 10 jam. Mengecas semula mengambil masa sekitar 2.5 jam menggunakan pengecas 65W yang disertakan. Pengecas agak besar dengan bongkah kuasa yang besar. Pastikan anda mempunyai ruang yang mencukupi dalam beh jika ingin membawa RedmiBook 15 untuk tugasan luar. Sekali lagi kami tidak tahu mengapa sistem pengecasan dengan kepala USB-C tidak digunakan. Redmi ada menawarkan pengecas telefon pintar dengan kuasa lebih besar dan saiz lebih kecil berkepala USB-C.

Kesimpulan

RedmiBook 15 ialah sebuah komputer riba mampu milik yang mempunyai pelbagai kompromi bagi membolehkan ia dijual pada harga yang lebuh murah berbanding sebuah telefon pintar mercu. Kita mulakan dengan positif iaitu cip pemproses Intel Core-i5 pada unit yang diulas tidak mempunyai masalah menjalankan pelbagai tugasan kerja dan perisian seperti Photoshop. Menaip juga amat selesa kerana jarak antara kekunci yang baik serta pergerakan menegak yang mencukupi. Tiada isu untuk menaip selama beberapa jam. Jari langsung tidak terseksa.

Tetapi skrin yang digunakan mempunyai sudut pandangan yang tidak memuaskan langsung, tiada port USB-C, speaker yang lemah dan hayat bateri yang tidak mampu bertahan separuh hari. Ia hanya sesuai dibeli sebagai komputer riba pertama bagi mereka yang baru ingin belajar tanpa perlu berbelanja lebih. Bagi ibu bapa yang ingin melihat anak mampu ataupun tidak menjaga sebuah komputer riba, RedmiBook 15 ialah pilih selamat yang tidak akan mengoyakkan dompet.

PRO dan Kelebihan
  • Skrin besar 15.6″ FHD.
  • Pemproses Intel Core-i5 pada unit yang diulas cukup berkuasa untuk pelbagai tugasan harian.
  • Papan kekunci yang sedap digunakan untuk menaip kertas kerja panjang.
  • Agak ringan untuk saiznya yang besar.
  • Pilihan I/O yang amat baik lengkap dengan LAN dan HMDI saiz penuh.
KONTRA dan Kekurangan
  • Bateri tidak begitu bertahan lama.
  • Tiada lampu pada papan kekunci.
  • Skrin yang amat tidak memuaskan.
  • Pad sesentuh yang lembik.
  • Binaan terasa dan kelihatan murah.

komen


© Amanz / 2022 Kami