Microsoft hari ini mengumumkan mereka akan berhenti menggunakan ciri pengecaman emosi pada sistem Azure Face. Ini adalah sebahagian langkah yang diambil bagi mengikuti dokumen Piawaian Kecerdasan Buatan (Responsible AI Standard) Yang Bertanggungjawab yang diterbitkan oleh Microsoft. Penggunaan ciri pengecaman emosi ini menerima kritikan kerana dikatakan tidak beretika.

Penggunaannya pada platform Azure oleh Microsoft telahpun dihentikan. Pelanggan yang masih menggunakan API ciri ini diberikan masa sehingga 2023 untuk berhenti menggunakannya. Akses terbuka juga tidak lagi diberikan kecuali kepada penggunaan tertentu seperti untuk golongan OKU.
Selain menghentikan penggunaan kecerdasan buatan pengecaman emosi, Piawaian Kecerdasan Buatan Microsoft juga akan memastikan produk akan menjalani proses pengawasan data, dibantu oleh penyeliaan manusia dan memberikan penyelesaian yang sah kepada masalah ia direka pada awalnya.

Penggunaan sistem pengecaman wajah dan kecerdasan buatan tanpa pemantauan menjadi isu besar khususnya selepas ia telahpun digunakan untuk menindas golongan tertentu di China misalnya. Perisian pengecaman wajah juga didapati bias kepada kaum tertentu kerana data ia dilatih tidak cukup lengkap.
- Sumber
- Sumber – Microsoft