Video Menunjukkan Lampu Di Belakang Nothing Phone (1) Bukan Sekadar Gimik

Diterbitkan pada Jun 22, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sejak Nothing mula memperlihatkan rekaan panel belakang Phone (1) mereka beberapa hari yang lalu timbul pelbagai persoalan sama ada ia sekadar gimik yang menarik atau sebenarnya lebih berguna dari yang disangka. Menerusi video yang telah dimuat naik oleh MKBHD, jawapan kepada persoalan ini ialah ia sebenarnya mempunyai pelbagai kegunaan yang menarik.

Ribuan lampu LED diletakkan di panel belakang dengan satu mengelilingi bonggol kamera, satu mengelilingi pad pengecasan nirwayar, satu berhampiran port pengecas dan satu lagi pada bucu atas kanan.

Dalam video MKBHD, tahap pengecasan bateri boleh dilihat pada lampu berhampiran port pengecas. Ia akan meningkat sedikit demi sedikit bagi melihatkan sejauh mana bateri telah dicas. Lampu pada penegcas nirwayar menyala apabila ia mengecas peranti lain seperti fon telinga. Kesemua lampu juga boleh dinyalakan serentak untuk menjadi sumber cahaya ketika mengambil video atau gambar. Ia turut boleh digunakan sebagai lampu suluh.

Kerlipan lampu juga boleh diubah sendiri oleh pemilik dengan Nothing memberikan 10 nada dering lengkap dengan nyalaan lampu panel belakang yang berbeza. Akhir sekali terdapat satu lagi lampu LED merah yang menyala apabila rakaman video dilakukan.

Nothing Phone (1) hanya akan dilancarkan pada Julai hadapan tetapi kesemua pandangan awal yang telah dikongsi ke arena web mengesahkan ia antara telefon pintar paling unik pernah dihasilkan setakat ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami