Storan MacBook Pro 13″ M2 Didapati Sehingga 50% Lebih Perlahan Berbanding Versi M1

Diterbitkan pada Jun 27, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Peranti lebih baharu secara lazimnya mempunyai komponen yang lebih berprestasi tinggi bagi membuatkan pembelian lebih berbaloi. Storan, RAM dan pemproses adalah komponen yang dipertingkat tahun demi tahun. Tetapi dalam ujian penanda aras yang dilakukan oleh saluran Max Tech ini nampaknya tidak berlau pada komputer riba Apple MacBook Pro 13″ M2 yang baru dilancarkan.

Dalam ujian menggunakan perisian Blackmagic Disk Speed Test yang telah dilakukan, kelajuan SSD 256GB pada versi M2 membaca data mencecah 1446 MBps yang lebih rendah berbanding 2900 MBps pada versi M1. Kelajuan menulis pula mencecah 1463 MBps pada versi M2 berbanding 2215 MBps pada versi M1. Ini meletakkan kelajuan membaca pada model M2 sehingga 50% lebih rendah berbanding model M1.

Kenapa ini berlaku? Storan 256GB pada model M2 didapati hanya menggunakan satu modul NAND berbanding dua pada model M1. Lebih banyak modul lebih pantas SSD akan berfungsi. Ini adalah sebab mengapa pada model dengan storan 512GB dan ke atas isu storan SSD lebih perlahan pada model M2 tidak berlaku.

Jadi sekiranya anda merancang untuk membeli MacBook Pro 13″ M2 baharu, pastikan anda membeli dengan storan lebih besar untuk SSD yang lebih pantas. SSD pada MacBook Pro tidak boleh ditukar kerana dipateri terus ke papan induk.

komen


© Amanz / 2022 Kami