ASUS ROG Phone 6 ialah peranti untuk permua yang dinantikan ramai kerana menjadi yang terawal menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang menjanjikan prestasi yang tinggi. Bagi peminat peranti untuk permua, siri ROG Phone setakat ini tidak mengecewakan. Hari ini rekaan peranti ini dengan beberapa aksesori telahpun tertiris ke arena web menerusi @evleaks.

Panel belakang ROG Phone 6 dilengkapi skrin LCD yang boleh memaparkan maklumat mengenai peranti dan imej yang dimuat naik sendiri oleh pengguna. Lebih menarik ialah aksesori kipas penyejuk tahun ini hadir dengan dua lagi butang kawalan tambahan untuk permainan berbanding hanya dua sahaja pada model tahun lalu.

Rekaan kerangka getah untuk telefon pintar ini juga menarik. Panel belakang tidak ditutup sepenuhnya bagi membolehkan kipas penyejuk terus digunakan serta tidak menghalang skrin LCD di belakang. Pertahanan masih diberikan pada bahagian bucu bagi mengelakkan sebarang kerosakan jika peranti terjatuh.

Dari segi rekaan juga kipas penyejuk tahun ini kelihatan jauh lebih menarik lengkap dengan lampu LED. Kombinasi dua dalam satu menjimatkan perbelanjaan kepada pengguna disamping tidak membazirkan ruang pada panel belakang peranti. ASUS ROG Phone 6 akan diancarkan pada 5 Julai akan datang.