Carian
Ulasan ASUS ROG Phone 6 Pro – Kemuncak Prestasi Peranti Yang Tiada Tolok Bandingan
July 5, 2022 Nazrin

Siri peranti pintar ASUS ROG Phone boleh dikatakan mempopularkan konsep peranti pintar gaming, dengan menggabungkan kuasa pemprosesan berkuasa bersama-sama rekaan agresif yang dapat diperlihatkan pada pelbagai rekaan komputer desktop dan komputer riba keluaran jenama tersebut.

Siri peranti ASUS ROG Phone 6 merupakan penambahan terbaru di dalam siri ini, dan sewaktu pelancaran rasminya, telah memperlihatkan dua model, termasuklah ASUS ROG Phone 6 dan juga ASUS ROG Phone 6 Pro.

Kami telah berpeluang untuk mengulas model yang lebih canggih di dalam siri ini, iaitu ASUS ROG Phone 6 Pro yang tampil dengan spesifikasi peranti yang paling berkuasa setakat ini, bersama-sama dengan rekaan yang lebih agresif di antara kedua-dua peranti yang diperlihatkan.

Rekaan

ASUS ROG Phone 6 Pro
Skrin6.78″ Samsung AMOLED
1080 x 2448 pixel, 165Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM18 GB LPDDR5
Muatan Dalaman512GB UFS 3.1
Kamera Utama50 +13 Megapixel + Macro
Kamera Swafoto12 Megapixel
Bateri6000 mAh
Pengecasan berwayar 65W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioAda
Kalis AirIPX4
Sistem ImbasanImbasan Cap Jari Dalam Skrin
Harga JualanRM4999 (18GB/512GB)

ASUS ROG Phone 6 Pro ini hadir dengan paparan Samsung AMOLED bersaiz 6.78 inci pada resolusi 2448×1080 dengan kadar segar semula setinggi 165Hz. Ia juga tampil dengan nilai kecerahan setinggi 1200 nit dan sokongan untuk teknologi paparan HDR10+ yang menjanjikan olahan warna yang jitu, disamping warna hitam yang benar-benar gelap.

Bahagian sisi kiri peranti ini merumahkan beberapa fungsi, termasuklah butang kuasa, butang menatal kelantangan audio dan juga butang kapasitif AirTrigger 6. Untuk kali ini, butang kapasitif ini dilihat lebih besar, dan mempunyai fungsi tambahan yang akan kami terangkan kemudian.

Di bahagian bawah peranti ini terletak palam pengecasan USB Type-C pertama peranti ini, dan lebih menarik lagi ialah palam audio 3.5mm yang membolehkan pengguna untuk memasang fon telinga berwayar mereka ke peranti ini.

Kami cukup pasti bahawa siri ROG Phone 6 ini merupakan salah satu daripada sejumlah peranti kelas gaming premium yang masih memiliki palam audio 3.5mm ini bagi mereka yang masih lagi gemar menggunakan fon telinga berwayar kelas audiofil mereka.

Di bahagian kanan peranti ini pula terletak palam USB Type-C kedua peranti ini, yang boleh digunakan untuk mengecas peranti ini sewaktu ia dimainkan ataupun untuk menguasakan aksesori ROG AeroActive Cooler terbaru keluaran ASUS, yang kami juga akan ceritakan dengan lebih mendalam selepas ini.

Di bahagian belakang ROG Phone 6 Pro ini ialah sistem kamera tiga lensa yang menggunakan sensor Sony IMX766, sebuah kamera ultra-lebar 13MP dan juga sebuah kamera macro untuk pengambilan gambar pada jarak dekat. Untuk kamera pandang hadapan pula, peranti ini hadir dengan sensor 12MP Sony IMX663.

Di belakang ROG Phone 6 Pro juga hadir dengan paparan kecil yang dinamakan ROG Vision yang sebelum ini diperlihatkan pada peranti-peranti ROG Phone 5 Ultimate dan juga ROG Phone 5S. Paparan ini boleh memperlihatkan animasi-animasi menarik yang boleh diubahsuai melalui perisian Armory Crate yang terbina.

Spesifikasi

Untuk pasaran Malaysia, siri peranti ASUS ROG Phone 6 merupakan peranti pertama yang hadir dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1, iaitu kemas kini naik-taraf kepada Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 yang dilancarkan pada penghujung tahun lalu.

Untuk ROG Phone 6 Pro, peranti ini juga menggunakan memori LPDDR5 sebanyak 18GB RAM dan menggunakan storan dalaman UFS 3.1 sebesar 512GB, yang pada hemat kami cukup pantas dan cukup besar untuk menggerakkan sejumlah besar permua-permua gergasi yang dikeluarkan sekarang, seperti Genshin Impact, Honkai Impact 3rd ataupun Call of Duty Mobile.

Untuk peranti ROG Phone 6 pula, ia tampil dengan pilihan memori LPDDR5 12GB dan 16GB, dan menggunakan storan UFS 3.1 yang sama pada pilihan storan 256GB dan 512GB.

Dari segi perisian, ROG Phone 6 Pro menggunakan sistem operasi Android 12 dengan antaramuka ROG UI dimana ASUS menjanjikan sekurang-kurangnya dua kemas kini sistem operasi dan kemas kini sekuriti selama dua tahun.

Dari segi audio pula, ROG Phone 6 mengekalkan penggunaan pembesar suara stereo, dengan kali ini menggunakan sistem audio 5 magnet dengan amplifier Cirrus Logic CS35L45 yang bukan sahaja menjanjikan bunyi audio yang lantang, tetapi juga berkualiti tinggi, khususnya apabila anda menonton video ataupun mendengar lagu pada platform-platform seperti Netflix, YouTube ataupun Spotify.

ROG Phone 6 juga masih menggunakan bateri 6000mAH yang dibahagikan kepada dua dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen1 memisahkannya. Ia juga tampil dengan fungsi pengecasan pantas 65W, dan hadir dengan pengecas yang menyokong teknologi pengecasan pantas tersebut.

Rekaan memisahkan bateri kepada dua bahagian bukanlah sebuah konsep yang baru. Malah, ASUS dilihat sebagai pelopor rekaan ini di dalam peranti pintar untuk memastikan bahawa bahagian bateri tidak menjadi begitu pantas apabila digunakan sewaktu dicas.

Malah dengan ROG Phone 6, ASUS telah menaiktarafkan lagi sistem penyejukan yang terbina melalui sistem penyejukan GameCool 6 yang menggabungkan penggunaan sistem penyejukan kebuk wap (vapor chamber) dan juga helaian grafit (graphite sheet) di bahagian atas dan bawah cip pemprosesan dan bateri peranti ini.

ASUS mengatakan bahawa terdapat tiga tahap penyejukan untuk peranti ROG Phone 6 ini, dimana untuk penggunaan biasa dari hari ke hari, helaian grafit mencukupi untuk memastikan suhu peranti ini kekal rendah. Untuk penggunaan aplikasi-aplikasi seperti YouTube, Netflix ataupun permua-permua biasa, sistem penyejukan kebuk wap akan dimanfaatkan untuk menyejukkan cip tersebut.

Jika anda jenis yang sentiasa menggunakan peranti pintar gaming untuk memainkan permua-permua yang memerlukan lebih kuasa, aksesori ROG AeroActive Cooler terbaru adalah rakan anda dalam memastikan peranti ini boleh beroperasi pada suhu yang optima.

Di bawah kami akan menerangkan serba sedikit mengenai aksesori yang diberikan kepada kami untuk digunakan.

Aksesori

Dua aksesori yang dihantar kepada kami untuk digunakan bersama-sama dengan peranti ROG Phone 6 Pro ini ialah ROG AeroActive Cooler 6 dan juga pengawal permainan ROG Kunai 3.

Bermula dengan ROG AeroActive Cooler 6, ia adalah sebuah kipas penyejuk yang menggunakan konsep Peltier yang menukarkan tenaga elektrik kepada kuasa penyejukan yang seakan-akan peti sejuk. ASUS mengatakan bahawa dengan menggunakan penyejuk ini, peranti ROG Phone 6 boleh disejukkan sehingga 25 darjah lebih rendah berbanding suhu biasa.

Tetapi dalam ujian kami, ia bukanlah semudah itu. Apabila penyejuk ini digunakan untuk menyejukkan peranti dalam keadaan terbiar, ia benar bahawa suhu peranti boleh menjadi lebih rendah daripada 30 darjah Celcius, dan cukup sejuk apabila dipegang.

Dalam penggunaan permua pula, dengan permainan seperti Genshin Impact, dimana kami menetapkan tetapan grafik pada tahap yang tinggi, kami dapati bahawa suhu peranti kekal sekitar 35-38 darjah Celcius apabila menggunakan penyejuk AeroActive Cooler 6 ini.

Satu lagi perkara yang kami suka ialah penyejuk ini juga hadir dengan butang-butang kawalan yang boleh diubahsuai melalui perisian Armory Crate apabila dipasang pada peranti. Secara teorinya, dengan penyejuk ini, pengguna mempunyai 18 butang yang boleh diubahsuai sekiranya diperlukan.

ROG Kunai 3 pula merupakan aksesori pengawal permainan yang boleh digunakan secara nirwayar ataupun disambungkan kepada peranti ROG Phone 6 menggunakan rangka yang turut diberikan.

Pada pendapat kami, pengawal permainan ROG Kunai ini memperlihatkan fungsi terbaiknya apabila digunakan untuk memainkan permainan melalui perkhidmatan penstriman seperti pada Xbox, PlayStation, Google Stadia dan sebagainya.

Sekiranya anda hanya menggunakan peranti ini untuk menggerakkan permua, mungkin penyejuk ROG AeroActive Cooler 6 lebih berbaloi dibeli.

Perisian

Siri peranti ASUS ROG Phone 6 hadir dengan sistem operasi Android 12 dengan antaramuka ROG UI yang diperlihatkan hadir dengan rekaan sama dengan apa yang ditawarkan sebelum ini. Antaramuka peranti ini, walaupun dilihat agak cenderung kearah rekaan gamer yang agresif, masih agak bersih dan mudah digunakan.

Siri peranti ASUS ROG Phone 6 hadir dengan perisian ASUS Armory Crate yang dikemaskini untuk memudahkan anda mengubah pelbagai tetapan peranti ini dengan mudah. Ini termasuklah menukar mod lewahjam CPU, pengoptimasian permua yang dipasang pada peranti, pengubahsuaian butang kapasitif AirTrigger 6 dan sebagainya.

Untuk peranti ROG Phone 6 Pro, satu ciri tambahan yang dapat diperlihatkan melalui Armory Crate ialah pengaktifan dan pengubahsuaian logo animasi pada paparan ROG Vision di belakang peranti ini. Pengguna diberi pilihan beberapa logo untuk digunakan pada keadaan skrin terbuka dan apabila permua sedang aktif digunakan.

Mod lewahjam X-Mode kembali sekali lagi untuk membolehkan pengguna memanfaatkan fungsi melewahjam yang diperkenalkan pertama kalinya melalui cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 845 pada ASUS ROG Phone yang pertama.

Apa yang baru pada ASUS ROG Phone 6 ialah kebolehan lewahjam tambahan X-Mode+. Mod ini akan melewahjam lagi peranti anda secara automatik apabila aksesori AeroActive Cooler 6 dipasangkan pada peranti ini, dan menjanjikan prestasi peranti yang lebih baik lagi pada suhu peranti yang lebih optimum.

Sama seperti sebelum ini, fungsi AirTrigger 6 ialah untuk memudahkan pengguna untuk mengakses butang-butang di dalam permua menggunakan butang pada bahu peranti. Dengan pengenalan sistem AirTrigger yang baru, fungsi butang kapasitif ini dilanjutkan lagi dengan sistem sensor gerakan yang membolehkan pengguna menggunakan gerakan peranti sebagai kawalan pintasan juga.

Semua ini boleh diubahsuai melalui perisian Armory Crate yang terbina, yang juga boleh diakses melalui tatalan dari bahagian sisi atas peranti apabila didalam permua. Dalam pada itu, tetapan butang pada AeroActive Cooler 6 dan ROG Kunai 3 juga boleh ditetapkan melalui perisian ini.

Satu isu yang saya dapati dengan sokongan aksesori pada peranti ROG Phone 6 Pro ini ialah untuk aksesori-aksesori ROG yang bukan AeroActive Cooler ataupun ROG Kunai 3, anda masih akan perlu memuat-turun aplikasi Armory Crate tambahan dari Google Play Store untuk menyokongnya.

Ini termasuklah untuk aksesori-aksesori seperti fon telinga ASUS ROG Cetra True Wireless dan beberapa aksesori gaming ROG lain yang juga menyokong penggunaan bersama peranti ROG Phone 6 ini.

Pengalaman Pengguna

Salah satu masalah terbesar untuk siri peranti ROG Phone 5 ialah suhu peranti yang dilihat sangat panas, khususnya apabila digunakan untuk menggerakkan perisian ataupun permua yang memerlukan kuasa pemprosesan yang lebih tinggi dari biasa.

Dengan ROG Phone 6, khususnya ROG Phone 6 Pro yang kami ulas ini, suhu peranti tidak lagi menjadi masalah yang besar. Apabila digunakan untuk menggerakkan permua-permua seperti Genshin Impact, Honkai Impact 3rd dan sebagainya, kami mendapati bahawa suhu peranti ini secara lazimnya naik sehingga sekitar 40-43 darjah Celcius tanpa menggunakan sebarang penyejuk luaran.

Ini adalah lebih baik daripada suhu sekitar 45-50 Celcius yang diperlihatkan pada ROG Phone 5 sebelum ini yang menjadikan peranti tersebut sukar untuk dipegang dan dimainkan, walaupun secara teorinya, prestasi cip Qualcomm Snapdragon 888 cukup berkuasa untuk menggerakkan permua-permua ini.

Buat masa ini, masih tidak begitu banyak permainan yang menyokong kadar segar semula lebih tinggi daripada 120Hz, tetapi dengan kebolehan peranti ini untuk menggerakkan permainan-permainan berkualiti tinggi seperti Genshin Impact dan Call of Duty Mobile pada segar semula 60FPS secara konsisten, kami tidak mempunyai sebarang keraguan untuk peranti ROG Phone 6 ini menggerakkan permua-permua lain pada kadar segar semula tinggi.

Digabungkan lagi bersama-sama dengan penyejuk AeroActive Cooler 6 yang terbaru, anda akan dijanjikan pengalaman gaming permua yang terbaik dari segi prestasi dan juga suhu peranti yang jarang diperlihatkan sebelum ini.

Bukan itu sahaja, menonton video pada platform Netflix dan YouTube juga merupakan satu pengalaman yang sangat baik, khususnya apabila dipadankan dengan penyejuk AeroActive Cooler 6 yang juga hadir dengan fungsi penegak peranti yang sangat berguna.

Kualiti olahan audio dan visual yang ditawarkan pada ROG Phone 6 Pro ini bagi saya merupakan salah satu daripada penawaran yang terbaik pernah saya lihat pada sesebuah peranti, gaming ataupun tidak. Walaupun dipasarkan sebagai sebuah peranti gaming, kualiti

Dari segi jangka hayat bateri, sepanjang penggunaan ROG Phone 6 Pro ini, saya dapati bahawa peranti ini mempunyai SOT sekitar 6-7 jam, bergantung kepada corak penggunaan. Saya tidak begitu risau mengenai perkara ini kerana secara ia mempunyai sistem pengecasan pantas 65W.

Lebih daripada itu, siri peranti ASUS ROG Phone 6 ini juga tampil dengan sokongan untuk sambungan WiFi 6E yang terbaru. Sekiranya anda menggunakan penghala WiFi 6 ataupun 6E yang terbaru dan mempunyai sambungan internet yang pantas, anda boleh memanfaatkannya untuk memuat-turun aplikasi permua yang semakin besar kebelakangan ini.

Memuat-turun permainan seperti Genshin Impact dan Honkai Impact 3rd memakan masa beberapa minit sahaja dengan kadar penghantaran data sekitar 30-40MB/s tanpa masalah.

Penanda Aras

Ini adalah skor yang didapati daripada beberapa aplikasi penanda-aras yang kami gunakan untuk menguji kebolehan ASUS ROG Phone 6 Pro ini.

  • Geekbench 5 – 1312/4191 Markah
  • Antutu 3D – 1,099,5132 Markah
  • Wild Life Extreme – 2786 Markah

Markah yang dicatatkan ini adalah yang tertinggi untuk sebuah peranti Android. Nyata sekali Snapdragon 8+ Gen 1 adalah cip pemproses paling berkuasa untuk peranti Android setakat ini.

Sebagai perbandingan Black Shark 5 Pro dengan Snapdragon 8 Gen 1 mencatatkan 1202/3693 markah dalam Geekbench 5 dan 1,018,939 markah dalam Antutu 3D. Sungguhpun begitu markah Geekbench 5 untuk Apple 15 Bionic masih lebih tinggi iaitu 1716/4678 markah tetapi markah Antutu 3D sekadar 789,647 markah sahaja.

Kamera

Jujur saya katakan bahawa untuk peranti gaming, kamera dilihat sebagai salah satu daripada aspek yang tidak begitu diketengahkan. Akan tetapi pada pendapat saya, kamera ROG Phone 6 Pro ini cukup baik untuk mengambil gambar kasual dengan sumber cahaya yang mencukupi.

Di dalam senario cahaya rendah seperti di persekitaran dalaman, peranti ini masih lagi dilihat dapat mengambil gambar yang agak tajam dan dengan warna yang tepat, tetapi masih memerlukan bantuan sedikit pencahayaan untuk mendapatkan gambar yang berkualiti.


Pesaing

ASUS ROG Phone 6 ProASUS ROG Phone 6Black Shark 5 Pro
6.78″ AMOLED, 1080 x 2448, 165Hz, (395 PPI), HDR10+
6.78″ AMOLED, 1080 x 2448, 165Hz, (395 PPI), HDR10+6.67″ AMOLED, 1080 x 2400, 144Hz, (395 PPI), HDR10+
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Adreno 730Adreno 730Adreno 730
18GB RAM12/16 GB RAM12/16 GB RAM
512GB UFS 3.1
256/512 GB UFS 3.1

256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50MP, f/1.9 Sudut Lebar
13MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar
5MP Makro
Kamera Utama
50MP, f/1.9 Sudut Lebar
13MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar
5MP Makro
Kamera Utama
108MP, f/1.8 Sudut Lebar
13MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar
5MP, f/2.4 Makro
Kamera Hadapan
12-Megapixel
Kamera Hadapan
12-Megapixel
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.45
IPX4IPX4Tidak kalis air
Bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mmTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
6000 mAh
Berwayar 65W
6000 mAh
Berwayar 65W
4650 mAh
Berwayar 120W
Harga RM4999Bermula RM3599Bermula RM3699

Dalam Kotak

Ini adalah aksesori-aksesori yang ditawarkan didalam kotak ASUS ROG Phone 6 Pro ini:

  • 1x ASUS ROG Phone 6 Pro
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas 65W
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Manual
  • 1x Pin SIM

Kesimpulan

ASUS ROG Phone 6 boleh dilihat sebagai kemuncak rekaan, ciri dan prestasi yang boleh diperlihatkan daripada sebuah peranti gaming. Gabungan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 dengan paparan Samsung AMOLED HDR10+ dan penggunaan sistem pembesar suara stereo menjadikan peranti ini sebagai sebuah peranti multimedia, dan bukan sahaja gaming terbaik yang pernah saya gunakan.

Pada tanda harga RM4999, peranti ROG Phone 6 Pro mungkin sedikit sukar untuk disyorkan, tetapi jika anda mahukan sebuah peranti untuk permua paling ekstrem dan berkuasa sekarang, inilah sahaja pilihan yang ada di pasaran sekarang.

Jika anda tidak boleh mendapatkan peranti model Pro ini, anda juga boleh mendapatkan model ASUS ROG Phone 6 dengan pilihan memori 16GB dan storan 512GB, dan saya yakin ia akan hampir setaraf dengan apa yang ditawarkan pada ROG Phone 6 Pro.

Pro:

  • Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 boleh dilihat menawarkan prestasi dan suhu yang seimbang
  • Rekaan garang
  • Kualiti audio-visual mantap
  • Perisian terbina yang mudah digunakan
  • Penawaran aksesori berguna
  • Sokongan teknologi-teknologi terbaru

Kontra:

  • Harga bangsawan
  • Sokongan aksesori yang aneh
  • Paparan masih lagi mempunyai dahi dan dagu yang tebal
  • Pengecasan 65W sahaja
Komen