Cari @ Amanz

Sejarah dunia bola sepak pasti berubah jika kesilapan pengadil di atas padang dapat dikurangkan. Gol “Tangan Tuhan” Maradona, kad merah David Beckham dan Korea Selatan menentang Itali adalah sebahagian kecil keputusan penuh kontroversi yang masih dibincangkan sehingga hari ini. Oleh itu penggunaan teknologi diharap dapat mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

Di Piala Dunia Qatar penghujung tahun ini, FIFA mengesahkan akan menggunakan Teknologi Ofsaid Separuh Automatik (SAOT) yang dibantu kecerdasan buatan yang mengesan ofsaid. Sistem ini mengesan kedudukan bola Adidas Al Rihla di atas padang 500 kali sesaat menggunakan sensor terbina.

Dua belas kamera di stadium pula mengesan kedudukan pemain 50 kali sesaat. Dengan bantuan kesemua sensor dan data terkumpul, SAOT boleh membantu pengadil melakukan keputusan betul sama ada pemain ofsaid ataupun tidak.

Dengan SAOT, FIFA berharap keputusan ofsaid dapat diputuskan dalam masa 25 saat dan bukannya 75 saat seperti yang berlaku apabila menggunakan sistem VAR sedia ada. Keputusan masih lagi di tangan pengadil manusia dengan SAOT sekadar membantu. Ini adalah berbeza dari pengumuman asal Disember tahun lalu oleh FIFA untuk menggunakan sistem ofsaid tanpa campur tangan manusia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd