Asus ROG baru sahaja melancarkan peranti gaming terbaru mereka iaitu ROG Phone 6 dan ROG Phone 6 Pro. Ia dijana dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 dengan sistem penyejukan baharu, serta turut menyokong ekosistem aksesori baharu seperti kipas penyejuk dengan butang kawalan untuk bermain permua.
ROG turut mempunyai beberapa produk audio seperti ROG Delta dan ROG Cetra. Produk audio terbaru mereka yang lain adalah Asus ROG Centra Pro TWS. Set fon telinga nirwayar sebenar ini hadir dengan pemacu audio 10mm serta menyokong codec aptX Lossless dengan audio 24-bit.
Apa yang menarik dengan TWS ini adalah, tangkai pada fon telinga boleh disambungkan dengan wayar USB-C yang mempunyai cip audio ESS 9280 Quad DAC terbina. Secara tidak langsung mengubah TWS ini menjadi set fon telinga berwayar dengan sokongan DAC.
Asus ROG menjanjikan padanan terbaik jika digunakan bersama dengan ROG Phone 6 dan ROG Phone 6 Pro, di mana secara nirwayar boleh mempunyai sela masa rendah mencapai 45ms dan mempunyai respon lebih baik dengan sambungan USB-C. Bateri dikatakan boleh bertahan sehingga 28 jam untuk penggunaan berterusan dan menyokong pengecasan pantas melalui pod pengecas yang disediakan.
Harga jualan masih belum diumumkan lagi, tetapi ia akan dilancarkan pada sekitar September atau Oktober akan datang.