Pada minggu lepas, Xiaomi telah mengumumkan ketibaan siri peranti pintar terbaru mereka yang terdiri daripada beberapa peranti termasuklah Xiaomi 12S, Xiaomi 12 Pro Dimensity Edition dan Xiaomi 12S Ultra.
Xiaomi 12 Pro Dimensity Edition dilihat hadir dengan cip pemprosesan MediaTek yang terbaru, iaitu MediaTek Dimensity 9000+, cip pemprosesan untuk peranti kelas mercu yang dilihat mahu menandingi penawaran oleh syarikat-syarikat seperti Qualcomm dan juga Samsung.
Baru-baru ini, skor penanda-aras untuk cip Dimensity 9000+ ini sudahpun tertiris ke arena web melalui Antutu dan juga GeekBench yang rata-rata memperlihatkan skor yang tidak begitu berbeza apabila dibandingkan dengan cip pemprosesan Qualcomm yang paling berkuasa setakat ini, iaitu Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1.
Pada penanda-aras Antutu, Xiaomi 12 Pro memperlihatkan skor keseluruhan 1,041,416 dan pada GeekBench, ia memperlihatkan skor satu teras 1332 dan skor multi-teras 4299.
Memperlihatkan pada perbandingan kami sendiri, cip MediaTek Dimensity 9000+ ini mempunyai skor penanda-aras yang setaraf dengan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 dan juga cip pemprosesan Apple A15 Bionic.
Sayangnya buat masa ini, nampaknya Xiaomi 12 Pro Dimensity Edition hanya ditawarkan untuk pasaran China. Walaupun begitu, ada kemungkinan kita akan dapat melihat cip pemprosesan terbaru dan terhebat oleh MediaTek ini pada peranti-peranti pintar yang lain kelak.