Carian
Nothing Phone (1) Kini Rasmi – Sistem LED Glyph, Snapdragon 778G+, Skrin 120Hz
July 12, 2022 Fahim Zahar

Selepas berbulan mengacah kehadiran Nothing Phone (1), peranti ini akhirnya dilancarkan secara rasmi pada malam ini. Ia adalah telefon pintar pertama daripada Nothing, syarikat baharu dari bekas pengasas OnePlus – Carl Pei. Hype Nothing Phone (1) ini agak dahsyat, dengan sisten LED Glyph yang unik, rekaan lutsinar serta permintaan melalui StockX yang mencapai belasan ribu Ringgit.

Nothing Phone (1) adalah sebuah peranti kelas pertengahan premium, ia bukan lagi rahsia kerana sejak sebelum pelancaran lagi kelas peranti ini sudah diketahui.

Peranti ini hadir dengan skrin OLED bersaiz 6.55″ dengan sokongan kadar segar semula tinggi 120Hz. Resolusi skrin adalah FHD+ dengan rekaan bezel nipis sekata serta lubang di tengah atas untuk kamera swafoto. Cip pemprosesan yang digunakan adalah Snapdragon 778G+, dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB UFS 3.1.

Kamera utama adalah gabungan sensor 50MP Sony IMX766 dan 16MP Samsung JN1, dengan kamera swafoto 16MP Sony IMX471. Kamera swafoto turut menyokong nyahkunci berasaskan wajah dengan teknologi oleh ArcSoft. Nothing Phone (1) turut hadir dengan speaker stereo yang ditala oleh Dirac.

Nothing Phone (1) menjalankan sistem operasi Nothing OS (1) yang dibina berasaskan Android 12. Dengan penggunaan cip Snapdragon 778G+, Android 14 adalah versi terakhir yang disokong oleh cip ini.

Nothing OS (1) turut menyokong mod permua, sistem DND tersendiri dan mempunyai sistem LED Glyph. LED ini mempunyai 6 zon iaitu bateri, kecerahan 1 dan 2, kedua-dua kamera dan pada port USB. Sistem Glyph membolehkan nyalaan setiap lampu ini diubahsuai mengikut kehendak pengguna seperti untuk panggilan telefon, muzik, Google Assistant, pengecasan dan notifikasi mempunyai corak lampu menyala berbeza. Muzik turut boleh mengubah corak lampu menyala mengikut rentak.

Nothing Phone (1) akan hadir dengan bateri berkapasiti 4500mAh dengan kuasa pengecasan 33W. Dengan kotak yang nipis, Nothing Phone (1) tidak akan mempunyai palam pengecas di dalam kotak. Tetapi kerangka pelindung lutsinar disediakan untuk perlindungan asas.

Peranti ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu hitam atau putih. Harga jualan peranti ini bermula RM2399 di Malaysia untuk model 8GB RAM, dan RM2699 untuk model 12GB RAM. Pihak Nothing masih belum memberikan tarikh jualan rasmi di Malaysia buat masa ini.

Komen