Ulasan Black Shark 5 – Snapdragon 870 Masih Lagi Cip Berkuasa Sehingga Hari Ini!

Diterbitkan pada July 13, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Black Shark adalah antara pengeluar peranti gaming mampu milik, bersaing dengan jenama seperti ROG Phone. Tahun ini mereka hadir dengan dua peranti baru iaitu Black Shark 5 dan Black Shark 5 Pro. Kehadiran ke pasaran Malaysia agak pantas berbanding Black Shark 4 sebelum ini. Black Shark 5 Pro adalah versi paling berkuasa dan premium dengan cip Snapdragon 8 Gen 1. Manakala Black Shark 5 adalah versi permulaan dengan mengitar semula cip Black Shark 4 iaitu Snapdragon 870.

Pengalaman kami dengan Black Shark 5 Pro cukup memuaskan. Tetapi selepas menggunakan Black Shark 5 pula, ternyata Snapdragon 870 masih lagi cip yang berkuasa sehingga hari ini. Ini kerana pengalaman penggunaan peranti ini turut memberi saya satu kepuasan yang tidak tersangka. Dalam artikel ini, saya kongsi pengalaman penggunaan saya sepanjang hampir satu bulan.


Spesifikasi Dan Rekaan

Black Shark 5
Skrin6.67″, AMOLED, 144Hz, 1080 x 2400, (~395 ppi)
PemprosesSnapdragon 870 (7nm)
Cip1 x 3.2 GHz Kryo 585 Prime
3 x 2.42 GHz Kryo 585 Gold
4 x 1.8 GHz Kryo 585 Silver
Cip GrafikAdreno 650
RAM8/12 GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama64+13+5 Megapixel
f/1.79+f/2.2+f/2.4
4K 30FPS, Mod klon, mod VLOG, kamera AI
Kamera Swafoto20 Megapixel
f/2.45
Bateri4650 mAh
Pengecasan pantas 120W
SIM/TelefoniDwi SIM nano
NFCAda
AudioStereo, Dolby Atmos
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanImbasan jari di sisi
Harga JualanRM2299 (8/128 GB)
RM2699 (12/256 GB)

Rekaan peranti tidak dinafikan nampak sedikit bosan. Ia terus tenggelam dengan versi Pro yang nampak lebih kemas, mengancam dan sedap mata memandang. Tetapi rekaan asas pada peranti ini dengan tidak banyak penggunaan rekaan yang ranggi – membuatkan ia selesa digunakan sebagai peranti harian. Secara keseluruhan, bentuk peranti masih lebih kurang sama dengan Black Shark 4 dan saya tidak rasakan ada banyak perubahan yang unik atau berbeza.

Rekaan kamera sahaja yang nampak cantik dan berlainan. Memberi elemen futuristik serta elemen permua untuk memberitahu orang ramai ia adalah peranti gaming dan bukan peranti biasa sahaja. Butang bahu mekanikal yang boleh dikawal secara manual, di mana slider boleh digunakan sebagai akses pintas ke pelbagai fungsi dan butang bahu turut boleh digunakan untuk kawalan tambahan selain untuk kawalan dalam permua. Setiap butang fizikal pada peranti ini juga sedap ditekan dan butang bahu juga memberikan saya pengalaman bermain permua yang lebih mengasyikkan.

Black Shark 5 turut mempunyai sistem lampu RGB pada logo kecil di belakang peranti. Ia boleh dikawal oleh pengguna dan turut boleh menjadi lampu notifikasi. Peranti ini turut hadir dengan skrin bezel nipis, kecuali pada dagu yang sedikit tebal. Saiz skrin adalah 6.67-inci AMOLED 144Hz, yang cantik dan cukup pantas. Kecerahan juga cukup baik untuk kegunaan di luar dan dalam. Sepanjang penggunaan saya turut puas hati untuk menstrim kandungan YouTube dan Netflix.

Skrin peranti juga tidak pernah ada masalah tersangkut-sangkut dan sentiasa lancar dan pantas untuk setiap tatalan. Buka dan tutup aplikasi tidak memberi sebarang gangguan dan pertukaran aplikasi juga amat laju sehingga saya sendiri terkejut adakah benar ini prestasi Snapdragon 870?

Memori pada peranti ini adalah 8GB RAM dengan pilihan 12GB RAM serta storan dalaman 128GB UFS 3.1 atau 256GB. Kamera peranti adalah lebih baik daripada Black Shark 4 dan 4s, iaitu 64+13+5 Megapixel, dengan kamera swafoto 20 Megapixel. Peranti juga dimuatkan dengan speaker stereo yang ditala oleh Dolby Atmos, imbasan cap jari di sisi terbina pada butang kuasa masih ada sensor infra merah dan dimuatkan dengan kapasiti bateri 4650mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W.

Penggunaan Dan Perisian

Seperti yang saya katakan tadi, sudah hampir sebulan saya menggunakan peranti ini sebagai peranti harian saya. Sepanjang penggunaan tiada masalah serius yang menjengkelkan berlaku pada saya dan saya amat berpuas hati dengan prestasi peranti ini. Saya sudah bercakap mengenai skrin di perenggan sebelum. Skrin yang cantik dengan kawalan kecerahan yang baik atau sokongan kadar segar tinggi yang lancar semuanya boleh kerana perisian.

Pada awal, Black Shark hanya menjalankan sistem operasi MIUI dengan tema gaming. Mereka kemudian hadir dengan JoyUI yang mirip dengan AOSP, kosong dan hanya dengan aplikasi untuk bermain permua dan barulah menggunakan kembali MIUI tetapio telah diolah untuk menjadi sistem operasi tersendiri dengan nama JoyUI. Pengguna peranti Xiaomi tidak akan rasa asing menggunakan Black Shark.

Walaupun nampak sama, banyak perubahan yang telah dilakukan. Apa yang pasti pengalaman seakan menggunakan versi AOSP sudah tiada lagi. Dalam JoyUI pada tetapan sistem ada pilihan Performance Manager untuk melihat penggunaan CPU, kualiti WiFi, penggunaan memori dan memantau bateri. JoyUI turut mempunyai aplikasi sistem Light Effect untuk mengawal lampu RGB pada belakang peranti dalam antaramuka yang mesra pengguna dan lebih memudahkan. Akhir sekali paling penting, tetapan sistem turut mempunyai bahagian khas mengawal Shark Space.

Lain-lain penggunaan adalah mirip menggunakan peranti Xiaomi, Redmi atau Poco. Walaupun JoyUI dibina berasaskan MIUI, Black Shark tidak mengalami masalah-masalah MIUI lain. Contoh masalah notifikasi tidak berlaku dalam peranti ini. Penggunaan memori yang tidak efisien juga tidak berlaku pada peranti jika maklumat pada Performance Manager tepat.

JoyUI memberikan saya pengalaman penggunaan peranti MIUI yang terbaik. Masuk sahaja ke gudang tema Xiaomi, tukar tema untuk set ikon MIUI biasa, JoyUI akan menyerupai MIUI. Saya tidak faham kenapa Black Shark boleh lakukan dengan jayanya, tetapi Poco dan Redmi tidak boleh?

Shark Chan

Dalam JoyUI, selain daripada pembantu digital Google Assistant sedia terbina – ia turut mempunyai pembantu digital lain tersendiri. Shark Chan adalah satu karakter maya yang boleh membantu pengguna dalam mengawal notifikasi atau memberi sorakan semangat untuk bermain permua.

Shark Chan boleh memberitahu mesej masuk dalam Shark Chan ketika sesi bermain sedang aktif. Shark Chan turut boleh kekal aktif pada kunci skrin untuk berinteraksi dengan pengguna. Ia agak aneh dan menjengkelkan, tetapi satu ciri yang cukup unik yang tiada pada peranti gaming lain.

Penanda Aras

Snapdragon 870 adalah cip Snapdragon 865+ yang dijenamakan semula. Tidak pasti kenapa Black Shark 5 masih menggunakan cip yang sama pada Black Shark 4, tetapi ia adalah satu pilihan yang bijak kerana penggunaan kedua-dua peranti tidak rasa beza yang banyak selain daripada kemampuan mengubah tetapan dalam permua. Snapdragon 870 juga sudah terbukti sebagai cip berkuasa yang tidak ada masalah pemanasan.

Saya bandingkan Black Shark 5 dengan Poco X4 GT dan Realme GT Neo 3 yang menggunakan cip Dimensity 8100 kerana mempunyai kemampuan lebih kurang sama. Dimensity jelas sekali mempunyai skor lebih tinggi jika memori lebih besar. Tetapi 8GB RAM dengan 3GB RAM maya adalah mencukupi.

AnTuTu 3D

Black Shark 5: 718,873

Poco X4 GT: 751,720

Realme GT Neo 3: 742,992

Geekbench 5

Black Shark 5: 897/2,855

Poco X4 GT: 905/3,536

Realme GT Neo 3: 963/4,008

Saya sudah uji permua PUBG Mobile dan juga Asphalt 9. Black Shark 5 memberikan pengalaman bermain permua yang mengasyikkan sehingga saya lupa yang peranti ini bukan dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 dan hanya Snapdragopn 870. Sesi hampir sejam pada kedua-dua permua tidak membuatkan peranti rasa panas, suam pun tidak sampai. Ia cukup sejuk dan normal seperti tidak bermain permua dan hanya menstrim video beberapa jam.

Selepas sesi ujian penanda aras dan beberapa permua dijalankan, peranti turut beroperasi dengan baik tanpa ada masalah sistem tergendala atau berlakunya lengah masa.

Telefoni Dan GPS

Peranti ini tidak ada masalah dengan rangkaian sama ada telefoni atau juga GPS. Penggunaan data mudah alih saya sedar sentiasa stabil dan dapat memberi akses 4G+ atau VoLTE sepanjang masa. Jika bar rangkaian lemah, peranti masih boleh bersambung dengan Internet dengan baik. Panggilan telefon juga jelas kedengaran, cuma jika aplikasi bergantung kepada Internet seperti panggilan audio – ia boleh tersangkut sedikit tetapi masih boleh diterima.

Penggunaan aplikasi peta dan GPS juga lancar sentiasa. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban dan berulang kembali mampu memberikan arahan selok-belok yang baik dan mengunci lokasi dengan jitu. Waze atau Google Maps, peranti ini mampu memberikan prestasi yang terbaik.

Kamera

Aplikasi kamera pada JoyUI adalah Xiaomi Camera sahaja. Malah jika ingin pasang versi 4.3, ciri Leica turut boleh digunakan tanpa sebarang masalah. Aplikasi kamera mudah digunakan dan mirip sahaja dengan Xiaomi, tetapi pada tetapan ada tambahan tetapan untuk mengawal kamera dengan butang bahu fizikal.

Kualiti kamera Black Shark 5 bukanlah yang terbaik dalam pasaran. Malah peranti seperti Redmi Note 11 Pro mempunyai prestasi kamera yang lebih baik dalam pengalaman penggunaan saya. Kamera pada peranti gaming jarang memberikan hasil yang memuaskan kerana ia bukan ciri utama dan paling penting untuk mereka fokus.

Pada Black Shark 5 ini, kamera 64MP dilihat mampu memberikan hasil imej yang cukup terang dengan butiran yang baik. Tetapi ia tidak mempunyai sistem fokus yang bagus untuk memastikan subjek lebih menyerlah dalam gambar. Mod sudut ultra lebar pula mempunyai kesan hingar yang banyak dengan kesan herotan yang terlampau jelas.

Mod malam pada peranti ini adalah mengecewakan dengan prestasi yang tidak konsisten. Mod auto dengan HDR dan AI juga tidak menentu dengan kadangkala memberikan warna yang tajam, terang dan cantik – tetapi kadangkala hasil warna yang pudar turut dipaparkan. Keseluruhan kamera Black Shark 5, ia adalah kamera asas yang sekadar ada dan cukup baik untuk mengambil saat penting berlaku dalam hidup sambil permua dimainkan.

Audio

Biasanya jika peranti gaming, Asus ROG Phone akan mempunyai pembesar suara yang sedap dan hebat. Kali ini, saya rasakan Black Shark 5 mempunyai kualiti audio yang mantap. Ia mempunyai bass yang dalam, majoriti muzik yang dimainkan cukup merdu serta ia cukup lantang dan kuat memberikan pengalaman mendengar muzik atau menstrim video mengasyikkan. Audio juga cukup seimbang, tidak ada bahagian yang rasa aneh atau mempunyai kekurangan yang jelas. Speaker peranti ini sudah berjaya berada di dalam kategori speaker premium yang pasti tidak akan mengecewakan pengguna.

Bateri

Bateri 4650mAh untuk peranti gaming bukanlah yang terbaik. Tetapi untuk penggunaan ringan, peranti ini tidak menjadi masalah untuk mempunyai ketahanan mencapai 8 jam SOT dengan penggunaan ekstrem sekitar 5-6 jam SOT. Penggunaan kuasa pada peranti ini jelas sekali efisien kerana peranti boleh berjalan seperti biasa tanpa ada masalah bateri cepat habis walaupun banyak aplikasi berjalan di latar.

Black Shark 5 turut menykong pengecasan pantas 120W yang terlampau pantas, sehinggakan kurang 30 minit bateri 0% boleh penuh ke 100%. Bergantung pada keadaan peranti, kadangkala 0%-100% pun boleh dicapai dalam masa sekitar 15 minit.

Pesaing

Black Shark 5Realme GT Neo 3Poco X4 GT
6.67″, AMOLED, 144Hz,
1080 x 2400, (~395 ppi)
6.7″ AMOLED, 120Hz,
1080 x 2412, HDR10+,(~394 ppi)
6.6″ IPS LCD, 144Hz, Dolby Vision
1080 x 2460, HDR10,(~407 ppi)
Snapdragon 870 (7nm)
1 x 3.2 GHz Kryo 585 Prime
3 x 2.42 GHz Kryo 585 Gold
4 x 1.8 GHz Kryo 585 Silver
Dimensity 8100 (5nm)
4 x 2.85 GHz Cortex A78
4 x 2.0 GHz Cortex A55
Dimensity 8100 (5nm)
4 x 2.85 GHz Cortex A78
4 x 2.0 GHz Cortex A55
Adreno 650Mali-G610 MC6Mali-G610 MC6
8/12 GB RAM LPDDR5
128/256 GB UFS 3.1
8 GB RAM LPDDR5
256 GB UFS 3.1
8 GB RAM LPDDR5
/128256 GB UFS 3.1
64MP, f/1.8 (utama)
13MP, f/2.4 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
50MP, f/1.9, OIS (utama)
8MP, f/2.3, (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
64MP, f/1.89 (utama)
13MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
20MP16MP16 MP
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmAda bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4650 mAh
Pengecasan pantas 120W
5000 mAh
Pengecasan pantas 80W
5080 mAh
Pengecasan pantas 67W
RM2299 (8/128 GB)
RM2699 (12/256 GB)
RM2099 (8/256 GB)RM1499 (8/128 GB)
RM1599 (8/256 GB)

Kesimpulan

Peranti gaming dengan Snapdragon 870 masih lagi berbaloi untuk dimiliki. Ia adalah cip yang terbukti cukup berkuasa untuk sesi permainan mudah alih yang akan memuaskan pengguna. Ia pantas dan tidak akan panas. Tetapi untuk Black Shark 5, ia adalah peranti untuk mereka yang belum pernah memiliki peranti jenama Black Shark da tidak pernah menggunakan peranti gaming dengan butang fizikal pada bahu untuk kawalan permua.

Black Shark 5 adalah peranti gaming asas hampir sempurna. Ia menawarkan pakej lengkap untuk digunakan sebagai peranti main permainan video mudah alih, untuk digunakan sebagai peranti biasa, serta untuk kegunaan produktiviti yang cukup baik.

Black Shark 5 adalah peranti berkuasa untuk mereka yang baru ingin mencuba peranti yang dijana dengan cip Snapdragon siri 8xx atau belum bersedia mencuba Snapdragon 8/8+ Gen 1. Black Shark 5 adalah peranti yang sukar untuk memberi sebarang komen negatif kerana apa yang anda mahukan semuanya ditawarkan dalam pakej yang masih mampu.

Pro

  • Prestasi mantap dan tidak sangka pantas
  • Audio hebat yang mengasyikkan
  • Pengecasan yang super pantas
  • Harga yang tidak koyak kocek
  • JoyUI yang mesra pengguna
  • Ada butang fizikal tambahan untuk kawalan memudahkan

Kontra

  • Rekaan terlampau biasa
  • Netflix tidak menyokong HDR10+
  • Kamera kurang memuaskan

komen


© Amanz / 2022 Kami