Cari @ Amanz

Pemindahan jantung haiwan ke dalam tubuh manusia sebagai pengganti organ yang rosak cuba direalisasikan ahli saintis sejak sedekad lalu. Kebarangkalian ia akan menjadi pembedahan yang biasa meningkat tahun ini dengan kejayaan pemindahan ginjal dan jantung khinzir ke dalam tubuh manusia.

Penyelidik dari NYU Langone Health telah mengumumkan kejayaan melakukan pemindahan dua jantung khinzir ke dalam tubuh manusia minggu ini. Dalam kedua-dua pembedahan, tubuh penerima tidak menunjukkan sebarang simptom penolakan. Bagi membolehkan jantung khinzir diterima tubuh manusia, ia telahpun menjalani proses perubahan 10 petanda genetik terlebih dahulu.

Pesakit hanya menerima organ selama 72 jam sebelum meninggal dunia. Kedua-dua penerima sebenarnya telah disahkan mengalami kematian otak dan telah menyerahkan tubuh kepada sains. Mereka hanya hidup menggunakan alat bantuan pernafasan. NYU Langone Health sebelum ini melakukan pemindahan ginjal khinzir ke tubuh manusia yang juga kematian otak selama 54 jam.

Sungguhpun pemindahan hanya sementara, penyelidik percaya mereka berada di landasan betul untuk menjadikan pemindahan xenotransplan – yang menggunakan organ haiwan – sebagai penyelesaian kepada isu kekurangan organ penderma. Manusia hidup pertama yang menerima jantung khinzir meninggal dunia Mac lalu selepas dua bulan dengan kematian dipercayai disebabkan oleh virus haiwan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd