Ulasan OnePlus Nord 2T – Peranti Kelas Pertengahan Baik Yang Dekat Dengan Hati

Diterbitkan pada July 16, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

OnePlus Nord adalah jenama peranti kelas pertengahan OnePlus yang turut mempunyai peminat tersendiri. Di dalam komuniti OnePlus, perbincangan Nord ini agak rancak dari segi pengalaman penggunaan, perisian, kamera dan banyak lagi. Tetapi nama OnePlus di Malaysia sudah kurang meriah dan sukar untuk orang ramai menerima penawaran mereka.

Pertama adalah isu kemas kini yang sejak kebelakangan ini tidak begitu baik, kemudian mengenai jaminan peranti di pasaran Malaysia yang bermasalah dan harga jualan yang agak tinggi berbanding pesaing. Tetapi dengan pelancaran OnePlus Nord 2T dan Nord CE 2 Lite, OnePlus ingin cuba menarik perhatian orang ramai untuk lihat penawaran mereka yang lebih menarik dan mungkin untuk memberi jenama ini peluang baharu.

Selepas sekitar satu minggu menggunakan Nord 2T sebagai peranti harian, saya boleh katakan saya tidak megalami sebarang masalah pun sepanjang penggunaan. Malah peranti ini mungkin antara peranti kelas pertengahan premium terbaik yang pernah saya gunakan setakat ini.


Spesifikasi Dan Rekaan

OnePlus Nord 2T
Skrin6.43″ Fluid AMOLED 2400 x 1080 (410 ppi)
FHD+, 90Hz
PemprosesMedia Tek Dimensity 1300 (6nm)
Cip1x 3.0 GHz Cortex-A78
3x 2.6 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G77 MC9
RAM8/12 GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP Sudut Lebar f/1.8, OIS
8MP Sudut Ultra Lebar 120 darjah, f/2.2
2MP Mono f/2.2
AI Photo Enhancement
AI Video Enhancement
Kamera Swafoto32 Megapixel, EIS
Bateri4500 mAh (dwi-sel)
Pengecasan berwayar 80W SuperVOOC
SIM/TelefoniDwi SIM nano 4G
VoLTE
NFCYa
AudioTiada bicu audio
Pembesar suara stereo
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM1,899 (8/128 GB)
RM2,099 (12/256 GB)

OnePlus Nord 2T masih menggunakan rekabentuk tubuh lebih kurang sama dengan Nord dan Nord 2. beza paling ketara adalah pada panel belakang dengan rekaan bonggol kamera sahaja. Peranti ini mempunyai binaan yang rasa premium, nampak kemas dan cantik di tangan. Bonggol kamera yang aneh dilihat dalam gambar, tetapi sebenarnya nampak cantik di depan mata membuatkan peranti ini mempunyai identiti sendiri. Butang Alert Slider turut dikekalkan pada peranti, memudahkan lagi saya mengawal tetapan nada dering.

Tubuh peranti diperbuat daripada plastik, antara faktor yang membolehkan peranti ini dijual pada harga yang kompetitif di Malaysia. Peranti ini juga cukup selesa di tangan, walaupun sedikit licin ia tidak menjengkelkan. Penggunaan warna cerah juga tidak mudah menampakkan kotoran cap jari.

Skrin pada peranti ini masih sama dengan OnePlus Nord 2 sebelum ini. Ia adalah skrin AMOLED FHD+ 90Hz bersaiz 6.43-inci dengan sokongan paparan HDR10+. Tetapi dalam penggunaan saya, HDR10+ ini tidak disokong pada Netflix. YouTube walau bagaimanapun tiada masalah langsung untuk memainkan video pada kualiti tinggi. Warna skrin juga tidak begitu terang dan tajam seperti yang saya harapkan.

Penggunaan sepanjang hari walau bagaimanapun tidak mengganggu langsung. 90Hz amat laju, cuma sedikit bosan kerana ia adalah ciri sama sejak Nord pertama dan saya mengharapkan sokongan 120Hz. Pengguna biasa mungkin sukar untuk bezakan, tetapi saya yang menguji pelbagai peranti 90Hz dan 120Hz mempunyai beza ketara dan boleh mengubah pengalaman penggunaan.

90Hz sahaja pun tidak menjadi isu besar, kerana tidak akan memakan bateri yang banyak. Sekitar seminggu penggunaan, saya tidak mengalami masalah skrin tersangkut dan melihat peralihan masa yang perlahan. Malah peranti ini cukup laju dan pantas.

OnePlus Nord 2T ini juga nampak lebih menarik dengan peranti dalam kelas sama daripada pesaing seperti Samsung Galaxy A73 5G atau peranti lain yang dijana cip pada taraf kuasa yang sama seperti Snapdragon 778G.

Penggunaan Dan Perisian

OnePlus Nord 2T masih lagi menjalankan sistem operasi OnePlus tersendiri iaitu OxygenOS. Pada peranti ini adalah OxygenOS 12.1 berasaskan Android 12. Di sini saya mula mengalami dilema yang serius. Saya tidak pasti untuk suka OxygenOS baharu ini ataupun lebih menggemari One UI, JoyUI dan lain-lain. Apa yang pasti adalah, saya akan pilih OxygenOS berbanding MIUI – itu keputusan muktamad untuk diri sayas secara peribadi.

Dilema yang saya alami ini adalah kerana OxygenOS 12.1 yang mempunyai banyak persamaan dengan ColorOS daripada Oppo serta memberi pengalaman penggunaan lebih kurang sama dengan Realme UI. Saya keliru dengan strategi untuk sistem operasi mereka ini, dan tidak pasti boleh menerimanya ataupun tidak.

Nord 2T ini memberikan saya pengalaman penggunaan seakan peranti Realme dengan sentuhan OnePlus. OxygenOS mempunyai elemen OnePlus yang sangat kecil. Saya hanya kenal OnePlus Shelf, mod AOD, muka taip dan sedikit pada widget sahaja yang ada identiti OnePlus. Lain-lain hampir sama sepenuhnya dengan Oppo atau Realme. Jangan salah faham, yang ia adalah sistem operasi yang baik.

Saya sudah terima satu kemas kini sejak mula menggunakannya, saya tidak mengalami sebarang masalah memanas, tiada penggunaan memori berlebihan menjadikan peranti lengah masa atau sistem tergendala, semuanya lancar dan kekal pantas. Prestasi peranti ini masih lagi lebih kurang sama dengan Nord 2 atau Nord pertama, yang mana ia memberi satu penggunaan yang baik.

Ciri yang asing untuk saya adalah Work Life Balance, satu mod seakan Focus pada iOS dan juga Scout ciri pencarian seakan Google Lens daripada OnePlus sendiri. Pada saya, walaupun ada banyak elemen ColorOS dalam peranti ini, ia tidak semak dengan iklan, tiada gedung aplikasi tambahan, tidak banyak aplikasi gendut dan masih lagi antara sistem operasi yang menenangkan.

Penanda Aras

Unit ulasan ini adalah variasi 8/128 GB, bermakna memori maya yang disokong adalah sehingga 5GB menjadikan jumlah RAM sehingga 13GB untuk peranti ini. Cip pemprosesan adalah MediaTek Dimensity 1300 pengganti kepada cip hebat Dimensity 1200, antara satu-satunya peranti dengan cip ini di pasaran tempatan. Cip ini sepatutnya mempunyai kuasa setaraf dengan Snapdragon 778G atau Snapdragon 778G+.

Ujian yang saya lakukan adalah melalui AnTuTu 3D dan juga Geekbench 5. Skor yang diperolehi cukup memberangsangkan pada saya dengan sebanyak 593,120 di AnTuTu dan 868/3,333 pada Geekbench. Untuk perbandingan saya ada senaraikan di bawah dengan pesain yang mempunya spesifikasi cip lebih kurang sama iaitu 1+3+4 teras dan mempunyai CPU Cortex-A78 dan Cortex-A55.

AnTuTu 3D

OnePlus Nord 2T: 593,120

Samsung Galaxy A73 5G: 477,570

Geekbench 5

OnePlus Nord 2T: 868/3,333

Samsung Galaxy A73 5G: 736/2740

Peranti ini turut tidak bermasalah dalam bermain permua. Tiada masalah pemanasan yang serius, ujian penanda aras beberapa kali tanpa kipas penyejuk turut boleh berjalan dengan baik. Sesi permua seperti PUBG Mobile dan Asphalt 9 masih boleh memberi satu pengalaman bermain yang lancar lagi-lagi dengan mod permua sedia terbina pada peranti ini yang cukup berkesan.

Kamera

OnePlus Nord 2T menggunakan konfigurasi tri-kamera yang menggabungkan sensor 50 Megapixel Sony IMX766 dengan bukaan lensa f/1.8 serta sokongan OIS + sensor sudut ultra lebar 8 Megapixel dengan bukaan lensa f/2.2 yang menyokong EIS + sensor mono 2 Megapixel dengan bukaan lensa f/2.2 dan kamera swafoto 32 Megapixel daripada sensor Sony IMX615.

Kamera peranti ini bukanlah yang terbaik, walaupun sensor yang sama digunakan pada peranti mercu mereka. Tetapi untuk peranti kelas pertengahan, Nord 2T mempunyai kemampuan kamera yang cukup baik dan memuaskan. Warna yang terang, imej yang tajam serta butiran dipelihara dengan baik. Mod malam juga dilihat mempunyai hasil yang memberangsangkan, tapi sayang sekali mod sudut ultra lebar mempunyai kemampuan sederhana sahaja dan tidak cukup cantik.

Masalah utama pada kamera peranti ini adalah fokus yang tidak begitu baik. Ia kejap konsisten, kejap tidak fokus ke subjek tidak kira dalam mod potret atau biasa. Subjek menjadi kabur dan gambar perlu diambil berkali-kali untuk mempunyai hasil yang memuaskan.

Audio

Speaker peranti untuk OnePlus hebat pada peranti mercu seperti pada OnePlus 7 Pro sebelum ini. Tetapi pada Nord, speaker peranti tidak pernah memuaskan dan lebih kepada sekadar ada sahaja. Speaker stereo peranti ini ditala oleh Dirac, ia tidak cukup kuat dan lantang, serta tidak mempunyai bass yang dalam. Profil audio speaker peranti ini lebih kepada flat dan biasa-biasa sahaja.

Telefoni Dan GPS

Bagus sekali Nord 2T adalah kad SIM Maxis saya boleh berfungsi dengan baik tanpa ada masalah bar menurun seperti iPhone atau peranti Android lain. Panggilan telefon jelas, sambungan data mudah alih untuk akses Internet juga stabil dan memberi saya penggunaan yang tidak mengganggu kerja harian. Penggunaan GPS juga cukup baik, kerana saya tidak perlu melakukan penentukuran semula dan Google Maps mampu berfungsi sebaik mungkin.

Bateri

Bateri berkapasiti 4500mAh adalah satu standard untuk peranti kelas pertengahan. Perkara bukan standard adalah sistem pengecasan yang gila pantas, yang mana peranti ini menyokong sistem SuperVOOC 80W. Sistem pengecasan ini menjanjikan penggunaan sepanjang hari dengan hanya 15 minit pengecasan. Dalam ujian saya, caj sekejap tiada masalah untuk bertahan lama.

Ketahanan bateri peranti ini cukup mantap. Penggunaan ringan dengan penstriman video melampau tidak menjadi masalah untuk capai 8 jam SOT. Manakala dengan penggunaan ekstrem seperti kamera dan permua, tiada masalah untuk capai sehingga 6 jam SOT.

Masalah besar saya dengan pengecasan ini adalah, kabel masih lagi USB-A ke USB-C dan tidak menyokong sistem PD yang mesra dan bersifat universal. Jika saya gunakan pengecas GaN saya, peranti ini boleh dicas pada kadar sekitar 25W atau PD yang asas sahaja. Untuk memanfaatkan SuperVOOC 80W saya perlu sentiasa membawa kabel dan palam pengecas tidak kira di mana saya berada.

Pesaing

OnePlus Nord 2TSamsung Galaxy A73 5GNothing Phone (1)
6.43″ AMOLED 1080 x 2400
(~410 ppi), FHD+, 90Hz
6.67″ AMOLED, 1080 x 2400
90Hz (~395 ppi), HDR10+
6.55″ OLED, 1080 x 2400
(~402 ppi), HDR10+, 120Hz
Dimensity 1300 (6nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-A78
3 x 2.6 GHz Cortex-A78
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 778G (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 670
4 x 1.8 GHz Kryo 670
Snapdragon 778G+ (6nm)
1 x 2.5 GHz Cortex-A78
3 x 2.4 GHz Cortex-A78
4 x 1.8 GHz Cortex-A55
Mali-G77 MC9Adreno 642LAdreno 642L
8/12 GB LPDRR4X8 GB LPDRR4X8/12 GB LPDDR5
128/256 GB UFS 3.1256 GB UFS 3.1128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50+8+2 Megapixel
f/1.8+f/2.2+f/2.2, OIS
Kamera Utama
108+12+5+5 Megapixel
f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4, OIS
Kamera Utama
50+50 Megapixel
f/1.88+f/2.2, OIS
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Kamera Hadapan
16-Megapixel
Tidak kalis airIP67Tiada
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio Stereo, DiracAudio Stereo, Dolby AtmosAudio Stereo
4500mAh
(Berwayar 80W)
5000mAh
(Berwayar 25W)
4500 mAh
(Berwayar 33W)
RM1,899 (8/128 GB)
RM2,099 (12/256 GB)
RM2,099RM2,399 (8/256 GB)
RM2,699 (12/256 GB)

Kesimpulan

Pada hemat saya, OnePlus Nord 2T adalah antara peranti kelas pertengahan premium yang baik. Peranti ini memberikan saya satu pengalaman penggunaan yang cukup memuaskan. Skrin yang pantas, bateri yang tahan lama, cas laju, kamera yang boleh diterima dan rekaan yang ringkas. Walaupun saya ada dilema dalam menggunakan peranti ini, seperti saya katakan tadi OxygenOS lebih baik daripada MIUI – menjadikan peranti ini akan bersaing dengan Realme, Oppo, Nothing atau Samsung.

Prestasi mantap dan bateri yang bagus adalah bonus untuk peranti ini. Harga pula masih sedikit tinggi daripada yang saya harapkan, kerana jika ingin pakej lengkap Samsung Galaxy A73 5G menawarkan harga yang berbaloi. Jadi ini berbalik kepada perisian dan kamera, yang mana juga tidak mempunyai masalah serius. Jadi saya tidak akan ada masalah untuk mencadangkan peranti ini kepada orang ramai.

Apa yang saya risau dengan OnePlus Nord 2T adalah kemas kini perisian yang mungkin tidak konsisten. OnePlus yang sekarang bukan OnePlus yang kita kenal dulu. Kemas kini sistem operasi tidak lagi pantas, kemas kini sekuriti juga ada semputnya. Berdasarkan laporan, OxygenOS ada banyak pepijat dan ada kemungkinan besar lambat menerima naiktaraf ke versi Android baru. Selepas ujian beta dijalankan, versi stabil akan mengambil masa yang lama.

Tetapi jika untuk penggunaan asas, hanya bersahaja dan kegunaan untuk gaya hidup – Nord 2T adalah peranti yang berbaloi untuk dimiliki.


Pro

  • Prestasi yang memuaskan dengan perisian yang lancar
  • Bateri tahan lama dengan pengecasan super pantas
  • Rekaan ringkas yang menarik, selesa dan nampak premium
  • Butang ikonik Alert Slider yang dikekalkan

Kontra

  • Skrin yang tidak begitu cantik
  • Audio yang tidak mantap
  • Harga yang sedikit tinggi berbanding pesaing

komen


© Amanz / 2022 Kami