Cari @ Amanz

OnePlus sudah melancarkan peranti kelas pertengahan baharu mereka OnePlus Nord 2T pada bulan Mei lepas dan peranti Nord CE 2 Lite pada bulan April lalu untuk pasaran terpilih. Selepas pasaran jenama OnePlus menyepi di Malaysia, mereka kini kembali aktif untuk melancarkan kedua-dua peranti ini secara rasmi di Malaysia.

OnePlus Nord 2T

Peranti ini hadir dengan skrin AMOLED FHD+ bersaiz 6.43-inci dengan sokongan kadar segar semula 90Hz, HDR10+ dan menyokong pengimbas cap jari bawah skrin. Peranti ini menggunakan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 1300 yang terhad dengan rangkaian 4G serta dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM LPDDR4X, dan storan sehingga 256GB UFS 3.1.

Untuk kamera ia hadir dengan konfigurasi tri-kamera daripada gabungan sensor 50MP Sony IMX766 f/1.8 OIS + sudut ultra lebar 8MP dan sensor mono 2MP. Manakala kamera swafoto pula adalah daripada sensor 32MP Sony IMX615.

Peranti ini dimuatkan dengan bateri berkapasiti 4500mAh yang menyokong sistem pengecasan pantas SuperVOOC 80W. OnePlus Nord 2T menjalankan sistem operasi OxygenOS 12.1 yang dibina berasaskan Android 12, turut hadir dengan speaker stereo Dirac, masih mempunyai butang ikonik Alert Slider untuk kawalan nada dering.

Peranti ini hadir dengan pilihan warna Gray Shadow atau Jade Fog dan dijual pada harga RM1,899 untuk variasi 8/128 GB dan RM2,099 untuk 12/256 GB. Jualan bermula pada 19 Julai nanti dan kepada pembeli terawal akan menerima OnePlus Nord Buds bernilai RM299 secara percuma.

OnePlus Nord CE 2 Lite

Nord CE adalah peranti Nord yang menawarkan ciri asas untuk orang ramai cuba menggunakan Oxygen OS. Pengganti peranti ini adalah Nord CE 2 yang dilancarkan di Malaysia pada bulan Mac lepas. Kini variasi lebih murah mereka dengan cip Snapdragon pula dilancarkan iaitu OnePlus Nord CE 2 Lite. Ia hadir dengan skrin LCD FHD+ bersaiz 6.59-inci FHD+, menyokong kadar segar semula tinggi 120Hz, dijana Snapdragon 695 5G dan dipadankan dengan memori 8GB RAM LPDDR4X serta storan dalaman 128GB UFS 2.2 dengan slot kad mikroSD mencapai 1TB.

Konfigurasi kamera peranti ini adalah tr-kamera dengan gabungan sensor 64MP (utama) + 2MP (sensor kedalaman) + 2MP (sensor makro). Untuk kamera swafoto pula, OnePlus menggunakan sensor 16MP Sony IMX471. Nord CE 2 Lite menjalankan sistem operasi Oxygen OS 12.1 berasaskan Android 12. Memandangkan ia adalah peranti OnePlus yang asas, butang kawalan nada dering ikonik Alert Slider tidak disediakan. Tetapi peranti ini masih mengekalkan port bicu audio 3.5mm. Untuk keselamatan, pengimbas cap jari sedia terbina pada sisi peranti.

Bateri peranti yang dimuatkan berkapasiti 5000mAh dan ia menyokong kuasa pengecasan 33W SuperVOOC. OxygenOS pada peranti akan dikemaskini untuk dua tahun dan mempunyai kemaskini tampalan sekuriti tiga tahun.

OnePlus menawarkan pilihan warna Black Dusk dan Blue Tide, untuk pasaran Malaysia ia dijual pada harga RM1,199. Peranti ini turut akan dijual secara rasmi pada 19 Julai, pembeli terawal akan menerima diskaun sebanyak RM200.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd