Beberapa Lagi Gambar Dari Teleskop James Webb Dikongsi Oleh NASA

Diterbitkan pada July 13, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Gambar pertama dari teleskop angkasa James Webb – Webb’s First Deep Field – telah dikongsi oleh NASA semalam menunjukkan imej yang lebih beresolusi tinggi, terang, tajam dan memperlihatkan objek yang sebelum ini tidak dapat dilihat. Hari ini NASA berkongsi beberapa lagi gambar yang berjaya ditangkap oleh teleskop angkasa yang mempunyai cermin sebesar gelanggang tenis ini.

Gambar pertama dalam set ini ialah kawasan NGC 3324 di Carina Nebula. Dari jauh ia kelihatan seperti bukit dan gunung tetapi sebenarnya adalah debu-debu angkasa yang akan membentuk bintang-bintang baharu. Nampak kecil tetapi “gunung” tertinggi dalam gambar infra merah di atas adalah setinggi 7 tahun cahaya. Dengan James Webb keperincian pada debu-debu dan bintang di latar belakang nampak lebih jelas berbanding imej yang diambil oleh Hubble sebelum ini.

Seterusnya ialah Stephan’s Quintet yang terdiri daripada lima galaksi yang terletak berhampiran. Gambar ini dihasilkan dengan menggabungkan 1000 gambar dengan saiznya mencecah 150 Megapixel. Imej dari James Webb menunjukkan gas, debu dan bintang ditarik oleh graviti dari beberapa galaksi serta lebih banyak kluster bintang di dalam galaksi ini.

Southern Ring Nebula terletak 2500 tahun cahaya dari bumi. Ia adalah gumpalan debu yang bertebaran selepas sebuah kematian sebuah bintang. Dengan resolusi yang lebih tinggi, saintis dapat melihat bagaimana debu bertebaran dengan lebih jelas serta apakah molekul yang wujud selepas kematian sebuah bintang. Gambar di sebelah kiri diambil oleh James Webb sementara gambar sebelah kanan diambil oleh Hubble.

Akhir sekali ialah imej spektrum WASP-96b. Berdasarkan cahaya dari objek yang terletak beratus tahun cahaya dari bumi, James Webb boleh mengesan kehadiran air. Ini adalah penting dalam pencarian eksoplanet yang mungkin boleh diduduki oleh manusia apabila kita memulakan penerokaan ke angkasa najam di masa hadapan.

komen


© Amanz / 2022 Kami